Yang perlu difikirkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas mulai sekarang ialah kewajaran mengubah sistem pilihan raya yang terpakai sekian lama agar lebih realistik, representatif dan demokratik pada tahun 2013 nanti.
Kewajaran itu memang ada jika keputusan pilihan raya umum ke-12 (PRU Ke-12) pada 8 Mac diambil kira secara rasional, adil lagi saksama.
Ambil sahaja kawasan parlimen Seputeh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai contoh. Pemilih kawasan berkenaan memberi 47,230 undi kepada calon DAP Teresa Kok.
Jikalau sistem perwakilan berkadar diamalkan, kawasan sebesar dan sepadat itu sepatutnya mempunyai lima wakil di Parlimen, tidak seorang kerana pilihan raya negara mengamalkan sistem ‘satu kawasan satu wakil’ sejak 1952 apabila pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur diadakan.
Wakil DAP itu, komponen Barisan Alternatif (BA) yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat majoriti terbesar peringkat parlimen sebanyak 36,492 undi.
Barisan Nasional (BN) yang meraih 10,738 undi melalui calonnya Carol Chew sewajarnya ada seorang wakil di Parlimen seandainya sistem ‘perwakilan berkadar’ terpakai seperti amalan beberapa negara Eropah terutamanya Jerman, Belgium, dan Scandinavia malahan Australia.
Ambil pula contoh pertarungan sengit kerusi parlimen Sarikei di Sarawak apabila Ding Kuong Hiing (BN-SUPP) meraih 10,588 undi membolehkannya mengatasi Wong Hua Seh (DAP) dengan kelebihan 51 undi sahaja. Kalau mengikut sistem ‘perwakilan berkadar’, BN dan DAP masing-masing ada seorang wakil di Dewan Rakyat.
Majoriti besar dan kecil memberi wajaran pertama kepada perubahan berkenaan.
Kewajaran perubahan kedua dapat diperhatikan daripada perwakilan tidak seimbang warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jumlah pemilih nampaknya tidak setimpal apabila melihat WP Putraja ada wakil dengan hanya 6,608 orang pemilih.
Sebaliknya Seputeh dengan pemilihnya 76,891 orang, juga seorang wakil, nisnah yang tidak seimbang, bagai langit dengan bumi berbanding Putrajaya. WP Labuan lebih rasional kerana mempunyai wakil tunggal dengan jumlah pemilihnya 21,521 orang.
Yang lebih ironi apabila barisan kabinet menyenaraikan seorang menteri WP yang terpaksa berdepanan dengan sepuluh orang AP daripada BA mengandungi DAP (5), PKR (4) dan PAS (1). Putrajaya dan Labuan masing-masing dimenangi calon BN.
Memanglah sistem ‘satu kawasan satu wakil’ itu mudah dikendalikan berbanding ‘sistem berkadar’ yang banyak kerenah dan likunya. Tetapi SPR tidak sepatutnya berasa terbiasa dan selesa dengan sistem mudah seperti ini demi kewajaran pilihan raya hendak dikendalikan seadil dan sedemokratik mungkin.
Tentulah ada alasan konkrit di sebalik cetusan pemikiran John Stuart Mill terhadap ide sistem perwakilan ini. Secara kasarnya, perwakilan berkadar menunjukkan jumlah kerusi di Parlimen yang diwajarkan kepada satu-satu parti politik berkadar dengan jumlah peratusan undi yang diraihnya pada satu-satu pilihan raya.
Ambil keputusan PRU Ke-12 sebagai contoh. Dengan berdasarkan sistem ‘satu kawasan satu wakil’ dan ‘first-past-the-post’, keseluruhannya, BN memperoleh 63.06% undi berbanding dengan BA sebanyak 36.94%.
Dengan mengambil kira undi kerusi Parlimen yang dipertandingkan 222 buah, maka BN memenangi 140 kerusi sementara BA 82 kerusi. BN menang dengan majoriti mudah, berulangnya sejarah pilihan raya 1969.
Fenomena lain bakal berlaku seandainya sistem ‘perwakilan berkadar’ dilaksana dengan sewajarnya, telus lagi demokratik.
No comments:
Post a Comment