Wednesday, March 30, 2011

"Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Aziz" (5)

Pelaksanaan perlu cekap, bijaksana, tepat, lagi cepat untuk mengejar penetapan waktu bagi sesuatu projek dan program. Tentulah pemantauan perlu dilakukan secara profesional lagi bijaksana agar yang tercapai selari dengan perancangan yang diatur sejak mulanya.
Kejayaan kesemuanya ini sudah membuktikan kesempurnaan kaki tangan diamanahkan menjalankan tugas dan tanggungjawab daripada segi beribadah kepada Allah ta’ala tanpa sekali-kali melakukan kerosakan dan kezaliman di atas muka bumi ini.
Insan Muslim tidak sewajarnya mengharapkan balasan dan ganjaran kerana pemberian bonus tahunan sebulan gaji misalnya bukanlah satu perangsangan dan desakan motivasi ke arah kecekapan prestasi dan mutu kerja dan khidmatan serta peningkatan produktiviti.
Segala-galanya itu perlu bersumber dari dalam diri. Jika misalnya bisikan tasawwuf sudah terbetik melalui kecapi al-Ghazali dan Hamzah Fansuri, kesedaran dalam perjalanan rohani yang suci murni itu haruslah kekal berkesinambungan sampai ke hujung objektif, jangan seperti kata peribahasa kita ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Dalam proses pelaksanaan pembangunan atas nama ‘kemajuan’, banyak pertimbangan perlu diambil kira perancang ekonomi khusus daripada segi pengekalan habitat semula yang ada kaitannya dengan pengekalan warisan bangsa seperti pemilikan tanah Melayu misalnya.
Maka di sinilah, pujian wajar diberikan kepada warga Kelantan yang nampaknya sekian lamanya tetap mempertahankan warisan tradisi atas nama tanah milik Melayu.
Maksudnya di sini seperti warga Kampung Baharu di Kuala Lumpur, mereka bukan menolak pembangunan dan kemajuan, tetapi kedua-duanya dapat diterima asalkan tidak menghakis pemilikan sedia ada.
Apalah ertinya kemajuan jika sedikit demi sedikit pemilikan dan identiti diri kian terhabis dan pewarisan kian tercantas.
Khurshid Ahmad (1980) berpendapat bahawa pembangunan Islam prihatin kepada pembangunan insan itu sendiri. Pembangunan itu sendiri bersifat menyeluruh yang mengandungi aspek-aspek moral, kerohanian, dan kebendaan.
Aspek-aspek kemanusiaan yang luhur seperti akhlak, nilai, kepercayaan, dan sosial tidak dapat dipisahkan daripada aspek kebendaan seperti pembangunan ekonomi, harta benda, dan kekayaan. Kedua-duanya mempunyai asas yang sama iaitu untuk mendapat keredhaan Allah swt.
Agama suci itu sendiri amat mementingkan konsep kesyumulan ataupun holism yang bererti penekanan kepada semua aspek kehidupan. Di sinilah letaknya nilai tauhid uluhiyyah dan rububiyyah dalam perancangan pembangunan dan kemajuan agar kedua-duanya dapat memenuhi tuntutan Islam.
Muslim sebagai khalifah di bumi Allah perlu melakukan tazkiyah atau penyucian diri sepanjang hayat mereka! Khurshid Ahmad menyatakan pendapat ini dalam artikelnya “Economic Development in an Islamic Framework” dalam Khurshid Ahmad (ed.) : Studies in Islamic Economics, U.K. seperti dihuraikan Mohammad Kamal Hassan, “Islam Asas Pembangunan” dalam Shafie Mohd Hassan dan Mohd Affandi Hassan (eds). (Op.cit. 1990: 185-86).
Peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz itulah yang mempersonakan rakyat yang diterajui dan dipimpininya. Rata-rata bersetuju bahawa beliau mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak mahu bermewah-mewah kerana sayang akan rakyat jelata.
Beliau sanggup tinggal di rumah kayu yang serba sederhana di Pulau Melaka, dengan menafikan haknya untuk hidup selesa di rumah rasmi kerajaan disediakan untuk Menteri Besar. Rumah rasmi MB di JKR 10, digunakan sebagai tempat persinggahan tetamu kerajaan, sebagai tempat berbincang urusan rasmi dengan barisan pemimpin kerajaan negeri, dan tempat pertemuan dengan pihak tertentu. (Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain. (Op.cit:117).
Malah Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertindak memotong sebahagian gajinya dan menolak untuk mengambil beberapa elaun yang disediakan kepada penjawat Menteri Besar (Ibid.).
Secara lebih spesifik, beliau telah menyumbangkan elaun bulanannya hampir separuh jumlahnya kepada Pas (40%) dan Perbendaharaan Negeri (5%), dan tidak pula mengambil elaun bulanan perumahan sebanyak RM3,000. (Hilley, John. Op.cit.: 194).
Sikap serba sederhana ini membuktikan luhur dan murni hati nurani ulama tersohor ini betapa beliau tidak pernah menjadikan kekuasaan yang ada pada tangannya sebagai pintu kekayaan untuk kepentingan diri dan keluarganya. Pada aspek lain, beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai yang terbaik sehingga bersikap menutup ‘segala ruang untuk orang lain bersuara bagi menyatakan kebenaran.
Sebaliknya, jika beliau benar-benar berada pada landasan yang salah, dan orang lain tahu akan kebenaran sebenar, maka beliau sentiasa bersedia mendengar teguran dan cadangan yang dapat membantu beliau untuk membetulkan keadaan’ (Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain. (Op.cit:54-55).
Tetapi jangan lupa di sebalik kelembutan dan kesederhaan sikap yang jelas kelihatan pada pandangan luaran, terserlah kejituan dan ketegasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz baik menghadapi tentangan dari luar mahupun dari dalam parti, dalam menyuarakan dan menegakkan pendirian demi keadilan.
Sesudah kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum kedua belas 8 Mac 2008, banyak cakap berkisar di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan Pas-Umno.
Walaupun tidak tepat mengatakan penubuhan parti Pas tercetus daripada pengharaman PKMM dan HAMIM, akan tetapi prinsip perjuangannya bersendikan objektif Hisbul Muslimin lantaran empat orang anggota Jawatankuasa parti kemudiannya menjadi tokoh penting PAS.
Slogan perjuangannya untuk membela “bangsa, agama dan Tanah Melayu”, PAS bukanlah sebuah parti yang ekstrim pada tahap awalnya, jika ditinjau akan objektif utama pembentukannya untuk membentuk perikatan persaudaraan Islam dan menumpukan usaha dan tenaga bagi menyatukan perlembagaan dan pentadbiran agama Islam di seluruh Tanah Melayu.
Benar parti bekerjasama dengan Umno lantaran peringkat awalnya sama-sama berhasrat hendak mencapai kemerdekaan negara. Namun begitu kemudiannya, disebabkan oleh beberapa soal dasar, PAS berhadapan dengan krisis kepemimpinannya sendiri sehingga mengakibatkan tindakan parti menarik diri daripada memberi sokongan politik kepada UMNO.
Lantas PAS meneruskan perjuangan menurut landasannya sendiri di bawah kepemimpinan yang silih berganti Haji Abbas, Dr Burhanuddin al-Helmy, dan Muhammad Asri Haji Muda, malah diteruskan Haji Yusuf Rawa, Datuk Haji Fadzil Mohd Noor hinggalah kini di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

No comments: