Justru memang ada rasionalnya apabila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta penjelasan Ketua Audit Negara tentang takrif istilah ‘kemajuan’ yang digunapakai apabila merumuskan aktiviti jabatan dan agensi kerajaan negeri bagi tahun 2007 tidak menunjukkan kemajuan ketara.
Permintaan ikhlas Tuan Guru itu jelas mencerminkan ketiadaan takrifan, konsep, dan pendekatan yang diterapkan sebagai ukurtara, terungkap dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007, selain rumusan umum bahawa aktiviti agensi dan jabatan kerajaan negeri Kelantan tidak menunjukkan kemajuan ketara.
Menurut laporan itu, masalah membabitkan kelemahan perancangan, pelaksanaan, dan pemantauan terus berlaku membabitkan agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian, Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan projek usahasama Pembangunan Bandar Baru Tanah Merah.
Konsep dan takrifan ‘kemajuan’ yang dipertalikan dengan ‘pembangunan’ sesuatu yang subjektif, bergantung kepada persepsi dan pandangan alamiah indivindu dan agensi tertentu.
Pastinya laporan yang turut menyelitkan takrifan kemajuan dan pembangunan dapat merungkai kekeliruan Datuk Nik Abdul Aziz yang bertanya: “Saya nak tahu apakah takrifan kata maju itu dulu. Ukuran maju ke atau tak maju ini dikira daripada mana?”
Keraguan yang berputik dalam sanubari Tuan Guru itu memang beralasan sebab beliau telah menerajui kepemimpinan kerajaan Negeri Kelantan dua dekad lamanya.
Sejak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Semut Api pada pilihan raya umum tahun 1990, Musyidul Am Pas itu langsung tidak menoleh belakang lagi, memenangi pilihan raya demi pilihan raya kecuali tewas kerusi parlimen Bachok (1986).
Selaku pemimpin yang disegani dan dihormati, Nik Abdul Aziz telah menunjukkan ciri kepemimpinan yang baik seperti jujur, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab sehingga dapat diteladani dan diikuti anak buah ADUNnya. Maka di sebalik nilai murni inilah Tuan Guru Nik Abdul Aziz memajukan Kelantan ‘Bersama Islam’.
Tetapi jangan lupa bahawa pembangunan dan kemajuan tidak wajar diindikatorkan kepada fizikal atau indikator kuantitatif semata-mata seperti tahap pendapatan perkapita, kadar kelahiran, kadar kematian, tahap pendapatan dan perindustrian, tetapi juga kepada indikator kualitatif atau sosial lebih bercorak nilai yang dapat dirasai dan dinikmati penduduk seperti taraf hidup, kesejahteraan hidup, moral, nilai, ketenteraman, dan budaya. (Rozalli Hashim. (1997:209).
Tamsil ibarat mudah ialah begini bahawa prestasi pelajaran anak bangsa masih dianggap lemah jika tidak memperoleh kelulusan baik biarpun belajar di bangunan sekolah yang cantik tersergam indah.
Samalah juga halnya dengan graduan tidak dapat dikatakan cemerlang jika tidak dapat mencapai keputusan kelas pertama biarpun belajar di institusi pengajian tinggi yang cangih, lengkap dengan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi hebat-hebat.
Sama halnya dengan prestasi ummah daripada segi beragama belum lagi cukup baik dan murni seperti tuntutan Islam malah ada yang tidak dapat membezakan kebenaran daripada kejahilan dan kebatilan biarpun di sekeliling mereka tersergam indah bangunan masjid yang cantik-cantik. Kemajuan tidak dapat diunjurkan jika ummah yang datang berjumaah dapat dihitung dengan jari.
Pandangan relatif umum pula ialah kemajuan dicapai apabila terjadi anjakan perubahan positif terhadap sesuatu. Pakar sosiologi sependapat tentang perkara ini baik di barat mahupun kalangan pemikir Islam.
Keghairahan mengkaji konsep kemajuan dan pembangunan khususnya sesudah Perang Dunia Kedua telah mendorongi sarjana dalam pelbagai disiplin ilmu seperti ekonomi, tadbiran, sosiologi, dan politik, mencetuskan teori moden untuk menakrifkan kata maju dan pembangunan.
Malangnya, kian banyak teori dikeluarkan, kian sulit dan sukar pula hendak menakrifkan konsep kemajuan dan pembangunan. Kedua-duanya menerapkan indikator sama, baik indikator kuantatif mahupun kualitatif seperti dapat dirasai rata-rata penduduk Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Dalam konteks hubungan dengan pelanggan, seperti yang selalu didepani oleh Pejabat Tanah dan Daerah di mana-mana juga sepatutnya lebih mementingkan indikator kualitatif kerana pendekatannya lebih bercorak sosial, nilai yang dapat dirasai pelanggan seperti keselesaan taraf hidup, kesejahteraan, moral, budaya, sistem nilai, dan ketenteraman awam seperti disebutkan tadi.
Kesemuanya ini amat payah hendak dihitung seperti indikator kuantatif. Sebab itu pemikir Islam melihat kemajuan dan pembangunan berbeza daripada pandangan pemikir Barat seperti Max Weber dan Karl Marx.
Barat melihat kemajuan dan pembangunan daripada segi perubahan fizikal semata-mata. Jika sudah ada bangunan fizikal yang cantik-cantik dan gagah menjulang angkasa, sudah majulah namanya itu, biarpun terpaksa mengorbankan entiti kampung Melayu yang diwarisi zaman berzaman sebagai contohnya.
Sebaliknya, pembangunan dan kemajuan ekonomi Islam menuntut perubahan secara kuantitatif dan kualitatif. Ertinya kemajuan dan pembangunan perlu bersifat menyeluruh dan komprehensif, merangkumi aspek moral, kerohanian dan material.
Teras kemajuan dan pembangunan Islam ialah pembangunan insan. Kaki tangan itu dulu yang sepatutnya dimajukan dan dibangunkan agar melihat dunia pekerjaan yang didepani secara positif, tidak negatif.
Pastinya ilmu pengetahuan dan pendidikan menjadi mekanisme penting ke arah pengubahan sikap dan mentaliti insan biar apapun bidang pekerjaan diceburi. Sebab itulah Allah ta’ala mengangkat darjah insan berilmu berbanding dengan yang tidak berilmu.
Begitulah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang bahasa Arab dan Ijazah Sarjana dalam Perundangan Islam daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, telah mempersiap dirinya dengan disiplin ilmu untuk pulang ke tanah air bergelar ulama bulan Februari 1962, atas jemputan dan pelawaan Ustaz Yusuf Bakar, bekas pensyarah di Kolej Islam Kelang. (Wan Ji Wan Husin dan Saifulamri M. Hussain, Op.cit.: 11).
Sebelum itu, lima tahun lamanya beliau berguru dengan mahaguru hadis terkenal waktu itu, Maulana Hussain Ahmad Madani, Maulana Mahmud Hasan, dan Maulana Syeikh Ali, di Universiti Darul Ulum Deoband, India.
Pada 1957, beliau berpeluang mendalami ilmu daurah tafsir di Pakistan. Maka dapatlah dikatakan bahawa “ilmunya cahaya, perwatakannya idola, dan sentuhan pentadbiran dan pembangunannya adalah untuk keberkatan seluruhnya. Ilmu agama di dadanya sentiasa dicurahkan …” (Wan Nik Wan Yusoff., Ibid.).
No comments:
Post a Comment