Wednesday, March 2, 2011

Komunikasi melalui Telefon Olok-olok




Kreativitiku sudah terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya tidak berapa pasti sama ada ketika itu saya sudah kenal akan Alexander Graham Bell ataupun tidak.
Pun begitu, saya sudah mencuba mencipta telefon olok-olok bersama-sama seorang anak jiran yang nampaknya sekreatif diriku juga.
Kami menggunakan tin susu kosong yang ditebuk sebesar paku bersaiz kecil di tengah-tengahnya. Seutas dawai sepanjang sepuluh meter diregang tegang-tegang melalui lubang kedua-dua tin berkenaan.
Aku bersuara pada satu hujung dawai sementara rakanku bersuara di hujung talian yang satu lagi. Kami langsung berbual-bual dalam keadaan suara jelas kedengaran, membuktikan dawai mengalirkan bunyi dan suara.
Inovasi begini terhasil daripada daya kreativiti yang kuat lagi keazaman yang tinggi.
Sesudah mempelajari sejarah, barulah aku tahu bahawa pencipta alat telefon yang pertama di dunia ialah Bell pada tahun 1876. Alat ini hanya mampu membuat perhubungan sejauh tiga kilometer di antara Boston dengan Cambridgepot.
Sistem telefon diperbaiki dari semasa ke semasa. Ketajaman akal fikir pereka telah membolehkan hubungan di antara Amerika Syarikat dengan Eropah, menggunakan satelit ECHO dan TELSTAR.
Pokoknya komunikasi yang bermaksud penyampaian maklumat dari sumber kepada penerima melalui medium tertentu termasuklah telefon.
Maklumat tercetak dan tersiar melalui radio dan televisyen juga dianggap proses komunikasi.
Kini telefon semakin canggih dalam keadaan tidak lagi memerlukan talian seperti telefon bimbit. Malahan, sistem telefon di rumahpun sudah tidak memerlukan talian lagi.
Pelbagai jenama telefon bimbit dapat dijengahi dan dibeli di pasaran terbuka. Dugaan tahun-tahun tujuh puluhan kini sudah menjadi realiti apabila wajah insan di hujung talian dapat ditatapi ketika kita berbual-bual dengannya, biar sejauh mana sekalipun jaraknya.
Maka tiap-tiap kali aku terbaca bentuk dan jenama terbaru telefon bagi memudahkan insan berkomunikasi demi kepentingan masing-masing, tiap-tiap itulah pula, aku teringat akan kretivitiku mencipta telefon olok-olok, cuma memerlukan dua tin susu dan seutas dawai kira-kira seratus meter panjangnya.
Nokia telefon bimbit yang paling kuminati disebabkan banyak keistimewaan dan kelebihannya.

No comments: