Wednesday, March 16, 2011

"Datuk Onn Jaafar : Anak Terbilang Malaysia"

RANGKA DAN ISI-ISI KARANGAN TOKOH
1. Pengenalan tokoh
• Penobatan tokoh sebagai anak terbilang Malaysia
• Beri sedikit komen tentang penobatan itu

2. Isi-isi karangan tokoh
• Mutiara kata bermakna pernah diucapkan oleh tokoh
• Di manakah ucapan itu disampaikan dan apakah kesannya?
• Pandangan tokoh lain terhadap tokoh ini seperti Ahmad Boestamam
• Kerjaya awal tokoh sebagai editor akhbar
• Bilakah dan apakah faktor mendorongi tokoh menceburi politik?
• Apakah idealisme pegangan tokoh?
• Idealisme dipegang apabila meninggalkan Umno menubuhkan parti lain
• Apakah sumbangan utama tokoh kepada bangsa dan negara?
• Apakah julukan yang dapat diberikan kepada tokoh?

3. Akhiran karangan tokoh
• Petikan peribahasa untuk menggambarkan sumbangan bererti tokoh

MODEL KARANGAN
Datuk Onn Ja’afar dinobatkan sebagai anak paling terbilang Malaysia sempena ulang tahun setengah abad kemerdekaan negara pada 2007. Penobatan ini memang kena pada tempatnya kerana jasa terbilangnya dapat mengembleng perpaduan orang Melayu di tengah-tengah keghairahan kerajaan Inggeris memperkenalkan sistem pemerintahan ala Malayan Union pada tahun 1946.
“Marilah kita tunjukkan bahawa seberat-berat paluan dapat kita pertahankan dengan tersenyum dan hidup dengan lebih segar dari dahulu, marilah kita tunjukkan bahawa dengan perpaduan antara kita, maka kita berkehendakkan melahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan teguh, boleh berdiri atas kaki sendiri dan mengambil tempat yang sebenar di sisi bangsa-bangsa lain yang tegap dan bersatu”.
Mutiara kata semangat Datuk Onn ini diucapkan pada Kongres Melayu dihadiri 107 peserta mewakili 41 pertubuhan Melayu serta 56 pemerhati rasmi di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur sehingga melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946. Apabila Umno diisytiharkan secara rasmi, Dato’ Onn dipilih menjadi presiden pertamanya.
Kepada Datuk Ahmad Boestamam dalam bukunya Dato’ Onn yang Saya Kenali, “Dato’ Onn meresapi jiwa rakyat dan memenangi hati mereka dengan semboyan hidup Melayunya. Keistimewaan Dato’ Onn terletak antara paduan pidato yang baik dengan ucapan pembakar semangatnya”.
Nama Datuk Onn dikenali umum sejak 1930 lagi apabila beliau memimpin akhbar Warta Malaya, selama empat tahun. Selepas 1934, beliau bertukar menjadi editor Lembaga dan Lembaga Malaya, sehinggalah akhbar-akhbar ini dijual kepada Alwi bin Omar Albar tahun 1938.
Pendidikan awal tokoh ini ialah di Sekolah Melayu Johor Baharu dan kemudian bersama-sama tiga putera Sultan Ibrahim, beliau melanjutkan pelajaran di Suffolk, England. Apabila pulang ke tanah air, beliau mendapati dirinya lebih Inggeris daripada Melayu, lalu beliau memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar MCKK arahan bapanya. Tokoh bersuara lantang ini berkhidmat dengan kerajaan Johor sejak berusia 16 tahun.
Pada 1946, dalam usia 51 tahun, ketika menjawat jawatan Menteri Besar Johor, timbul kesedaran dalam dirinya hendak bergiat dalam politik secara aktif dengan jasanya bermula daripada penubuhan sebuah pertubuhan Melayu bagi menentang Malayan Union.
Periode tiga tahun berikutnya 1949-1951 menampakkan kesungguhan Datuk Onn hendak mengalihkan kedudukan sebagai ‘bapa perpaduan orang Melayu’ kepada taraf negarawan seluruh Malaya dan kemudian ‘Bapa Kemerdekaan Malaya’.
Datuk Onn merasai dasar yang dibawanya tidak secocok lagi dengan kehendak UMNO, akhirnya beliau meninggalkan parti pada Ogos 1951 lalu menubuhkan IMP dan Parti Negara.
Pemergian allahyarham 19 Januari 1962 menyaksikan kemerosotan Parti Negara pimpinannya, hingga akhirnya lenyap daripada arena politik tanah air.
Keterbilangan jasa Dato’ Onn terletak pada pembakaran semangat juang dan jati diri orang Melayu untuk menumbangkan Malayan Union. Jasa besar ini bakal dikenangi sejarah sampai bila-bila. Justru tokoh ini dapat diibaratkan sebagai “Harimau mati meninggalkan belang, gajah meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama”.

(429 perkataan)

ULASAN FORMAT DAN ISI KARANGAN TOKOH DI ATAS
1. Pada keseluruhannya karangan tokoh bernama Datuk Onn bin Jaafar ini ditulis dengan baik, bermula dengan peristiwa terbaru apabila tokoh diangkat sebagai anak paling terbilang Malaysia sempena setengah abad kemerdekaan negara.
2. Penulis turut memberi komen tentang penobatan itu disifatkannya sebagai wajar dan memang kena pada tempatnya.
3. Penulis turut mengutip mutiara kata si tokoh apabila berucap pada Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1946 sehingga tertubuh parti UMNO.
4. Pandangan tokoh relavan turut diberikan bagi mengukuhkan kehebatan tokoh terutama daripada segi perpaduan Melayu untuk menghapuskan Malayan Union.
5. Secara ringkas, penulis memberikan rentetan kerjaya tokoh sebagai editor beberapa akhbar sebelum menceburi politik. Jasanya bermula ketika menjadi Menteri Besar dengan penubuhan Pertubuhan Melayu.
6. Latar belakang kelahiran dan pendidikan tokoh juga memadai sebab dengan begitu dapat memberi gambaran umum kepada khalayak.
7. Jolokan penulis kepada tokoh sebagai ‘bapa perpaduan orang Melayu’ adalah tepat, biarpun akhirnya tokoh meninggalkan Umno lalu menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaysia (IMP) dan Parti Negara. Sesungguhnya idealisme mahu menubuhkan parti bercorak Malaya yang dipeganinya sehingga akhir hayat.
8. Keterbilangan jasa dan pengorbanan besar si tokoh dalam pembakaran semangat orang Melayu bagi menentang Malayan Union dapat diterima.
9. Panjang karangan pada keseluruhannya dalam lingkungan 429 perkataan dapat dianggap wajar dan tepat.

ULASAN ASPEK GAYA BAHASA

1. Karangan tokoh ini ditulis menggunakan dua laras bahasa sains sosial, gabung jalin gaya persembahan semasa dengan gaya bahasa ucapan melalui petikan mutiara kata tokoh, penggabungan yang baik lagi berkesan. Hal demikian telah menghasilkan kesan variasi persembahan.
2. Gaya bahasa petikan tokoh lain terhadap kehebatan semangat juang tokoh ini turut sama memberi kesan variasi persembahan yang lain lagi.
3. Ayat gramatis melalui proses normalisasi dapat dikesani biarpun tidak dominan seperti ‘penobatan’, ‘keterbilangan’, dan ‘pembakaran semangat’.
4. Karangan turut ditandai penggunaan ungkapan indah dengan maksud yang luas seperti “Harimau mati meninggalkan belang,gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama”. Maksudnya ialah “sesudah mati, yang kenang orang ialah nama baik ataupun nama buruk”.

No comments: