Tuesday, March 29, 2011

"Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Aziz" (4)

(4)
Keikhlasan hati sesuatu yang memang dituntut agar apa juga kerja yang dilakukan bakal mendapat berkah.
Sanya Islam melihat pembangunan ekonomi sesuatu yang suci, yang tidak wajar dinodai oleh amalan curang dan jahat seperti pecah amanah, rasuah, penindasan, dan salah guna kuasa demi kepentingan diri, keluarga, dan kronologi terdekat.
Barat melihat pembangunan daripada segi menghambat kemajuan biarpun dalam banyak hal telah menghalalkan cara asalkan objektif tercapai.
Amalan curang ini termasuklah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, dan penipuan yang sejak kebelakangan ini menjadi budaya kerja rata-rata warga Malaysia yang kurang daya kesedaran Islamiah dalam sanubari mereka.
Maka di sinilah istimewanya urus-tadbir dan pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz selama dua dekad lebih, yang dapat dikatakan sudah teguh menobatkan 20 nilai pembangunan negeri berlandaskan ciri dan ajaran Islam.
Nilai dimaksudkan antara lain merangkumi ‘sifat cakna rakyat penuh berkebajikan’, ‘pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah tiap-tiap tahun’, ‘kolej, universiti, dan sekolah bestari semakin bertambah’, ‘perancangan pembangunan sentiasa berlaku’, ‘punca hasil tani terus diterokai’, ‘kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi’, ‘prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh’, ‘kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasar raya’ sehinggakan ‘baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas’ (Ibid.).
Daripada segi sejarah politik Malaysia, “Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mencipta pembaharuan dalam pemerintahan dengan memilih Islam sebagai dasarnya. … Penutupan premis judi dan nombor ekor, pembatasan jualan arak, pewajiban pekerja wanita di pasaraya bertudung, pewajiban pasaraya menyediakan laluan pembayaran berasingan untuk pelanggan laki-laki dan wanita, pewujudan ar-rahn iaitu sistem pajak gadai Islam dan sebagainya adalah antara tindakan yang telah berjaya dilaksanakan di Kelantan dalam usaha menjadi Islam sebagai teras gaya hidup rakyatnya” (Wan Ji Wan Husin dan Saifulamri M. Hussain (Op. cit. :18-19).
Ciri keikhlasan dan nilai keislaman mendasari perancangan program dan pelaksanaan pembangunan negeri tidak dapat dinafikan telah melonjak tahap kemajuan Kelantan sekali gus memperkasa pendapatan rakyat menjadikan mereka tidak lagi terpinggir dan tersisih daripada arus perdana pembangunan rakyat negeri lain khusus di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ciri keikhlasan yang hadir bertakhta dalam sanubari Tuan Guru Nik Aziz dapat dipertalikan dengan kesederhanaan peribadi dan sikap hidup hariannya.
“Dengan cara hidup yang zuhud, meletakkan Islam di ancala kehidupan, tiada siapa lagi yang mampu menafikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah ikon pejuang Islam alaf baru di Malaysia, bahkan di dunia.
"Kini dalam usia emas yang menjejaki angka 78 tahun, tokoh ini tidak pernah letih memperjuangkan Islam. Biar jasad semakin dimamah usia, kudrat semakin menipis, tetapi tenaga jiwa dan mindanya tidak pernah surut daripada mengalirkan nyali perjuangan Islam.
"Rekahan bibirnya tidak pernah terhenti melafazkan kebenaran lantas setiap bait katanya pasti bersulam dengan firman dan sabda, guna menyebarkan kebenaran yang selamanya tidak akan terkalah oleh kebatilan” (Wan Ji Wan Husin dan Saifulamri M. Hussain (Ibid. : 37).
Justru, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memiliki perwatakan lembut, ucapannya berhikmat, pakaiannya sederhana, dan amat mementingkan hujah dalam semua perkara (Ibid.:8).
Ciri-ciri ini terwaris daripada pendidikan agama yang selamanya melingkari hidupnya. Beliau dilahirkan pada 10 Januari 1931, di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
Ayahandanya bernama Tuan Guru Nik Mat, ulama terkenal dengan sikap agresifnya dalam memerangi khurafat, bidaah, syirik, dan penyelewengan agama dalam kalangan masyarakat. Allahyarham mengasaskan dan meneraju pondok Pulau Melaka.
Sejak kecil lagi Nik Aziz berguru agama dengan ayahandanya sendiri. Ketika berusia enam tahun, beliau belajar formal di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, hanya untuk tempoh tiga bulan sahaja apabila kemudiannya, ayahanda menghantarnya mengaji di pondok Kenali, diasaskan Tok Kenali selaku ulama terkenal di Nusantara.
Begitu berat insan bernama Tuan Guru Nik Aziz ini hendak menerima tawaran sebagai Menteri Besar Kelantan seperti katanya: “Berat saya hendak pegang jawatan ini. Ia merupakan khizyun fi addunya, wa an-nadamah fi al-akhirat, iaitu kesengsaraan di dunia dan penyesalan di akhirat kelak”. (Ibid.:53). Biar bagaimanapun, beliau akhirnya menerima tawaran itu sesudah dapat dipujuk oleh barisan pemimpin parti yang beberapa kali berkunjung ke rumahnya.
Kerusi MB menjadi taruhan kepada Tuan Guru Nik Aziz untuk melaksanakan amanah yang amat besar, menjadi ‘khalifah’ di bumi Serambi Makkah itu.
Maka tentu ada mekanisme bagi menggerakkan motivasi dan keinginan pencapaian tinggi dalam kalangan kaki tangan awam baik peringkat Negeri mahupun Persekutuan.
Motivasi secara keselruuhannya merangkumi kerajinan, dorongan, keinginan, kesungguhan, sikap murni dan baik, dan keikhlasan dan niat yang suci. Lebih spesifik, motivasi ialah “satu daya dalaman seseorang yang menggerakkan dan mendesaknya melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh, komited, dan penuh tanggungjawab”.
Perlu disedari bahawa rata-rata agensi kerajaan dianggap tinggalan penjajah termasuk Pejabat Tanah dan Daerah. Tanya kepada sesiapa yang pernah berurusan dengan pejabat ini di mana-mana sahaja cerok rantau tidak terbatas kepada negeri Kelantan sahaja, akan sampai kepada keluhan “kaki tangan yang lemah, lembik, tidak cekap, motivasi yang rendah dan tidak berminat bekerja dan tidak sungguh-sungguh dengan tugas”.
Barangkali penambahbaikan dalam konteks inilah yang dituntuti Ketua Audit Negara dalam laporannya itu. Perancangan menuntut unjuran masa depan yang tepat bagi mendapatkan Al-Falah iaitu kejayaan duniawi dan ukhrawi.

No comments: