B.A. Hons (Komunikasi) Kelas Pertama dengan Kepujian, Universiti Malaya M.A (Komunikasi dan Sastera), Universiti Malaya Ph.D. (Komunikasi, Sastera, Pemikiran Islam dan Sastera), Universiti Malaya e-mel: drilias_zaidi99@yahoo.com Tel. Bimbit: 017-2915101
Saturday, March 5, 2011
'Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama'
Rangka karangan
Pengenalan
• Tarifan mengenai ‘alam sekitar’.
Isi karangan
• Usaha gigih kerajaan menjaga alam sekitar.
• Keprihatinan kerajaan ini perlu disokong.
• Sejak rebung lagi, rakyat perlu dididik tentang alam sekitar.
• Objektif di sebalik pendidikan alam sekitar.
• Kesedaran sivik perlu ada dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulan
• Isyarat telah dihantar daripada segi bencana seperti tanah runtuh, banjir lumpur, dan malahan tsunami.
MODEL KARANGAN JENIS RENCANA
Penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama
Oleh : Aimal Aqil bin Asri Afendi
Alam sekitar dapat ditakrifkan sebagai “Satu ruang yang terangkum di antara dasar lautan paling dalam dengan atmosfera angkasa sehingga mencecah ketinggian 15 kilometer dari aras bumi yang dihuni oleh segala makhluk bernyawa”. Litupan ruang inilah yang biasa dirujuki sebagai biosfera, dianggap alam sekitar bagi manusia. Namun begitu, sebagai warga satu-satu negara, alam sekitar ialah alam sekeliling yang dekat dengan diri kita. Contohnya kawasan kediaman, tasik, sungai, dan padang permainan. Sebagai warganegara yang prihatin, mereka perlu sepanjang masa menjaga kebersihan dan keindahan alam sekeliling.
Kerajaan sendiri amat prihatin tentang penjagaan alam sekitar melalui penggubalan undang-undang serta kempen kesedaran yang konsisten. Kerajaan telah mewajibkan pemaju hartanah memperuntuk beberapa peratus kawasan pembangunan mereka sebagai medan hijau untuk rekreasi atau sebagai kawasan tadahan air. Kerajaan turut berbelanja besar bagi membina sebuah insinertor hijau di Broga untuk mengatasi masalah pelupusan sampah khususnya di Lembah Kelang.
Segala usaha ini perlu mendapat sokongan tiap-tiap individu yang cinta akan alam sekitar. Mereka seharusnya terdidik supaya tahu mencintai dan menghargai serta ada rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. Rasa tanggungjawab ini patut disemai dan dipupuk sejak masih rebung lagi. Syabas kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui JAS memperluas pendidikan alam sekitar kepada tahap prasekolah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pendidikan alam sekitar dapat membudayakan ciri mesra dan lestari alam sekitar dalam kalangan mereka supaya apabila dewasa nanti, mereka tidak akan merosakkan alam sekitar dengan sewenang-wenangnya. Pada tahap pengajian tinggi, Universiti Sains Malaysia (USM) contohnya, sudah lama menjalankan program Kejuruteraan Alam Sekitar.
Kesedaran sivik rakyat dapat dibuat melalui kempen menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar ataupun melalui media massa. Sebagai contoh, orang ramai hendaklah cukup terdidik agar tidak tidak membuang sampah dengan sesuka hati. Tindakan begini mencemari nama baik negara dalam kalangan pelancong asing. Longgokan sampah sarap boleh mengundang tikus dan lalat sehingga menerbitkan bau busuk yang mencemari udara.
Tayar-tayar buruk dan tin-tin kosong yang dibuang sesuka hati boleh pula menjemput pembiakan nyamuk aedes, pembawa penyakit demam denggi. Saliran yang tidak berfungsi baik akibat pembuangan sampah sarap dan sisa makanan ke longkang dapat mempelawa banjir kilat.
Kejadian tanah runtuh, gempa bumi, banjir lumpur, dan dikemuncaki dengan ombak besar tsunami pada akhir Disember 2004 sepatutnya menjadi pengajaran kepada umat manusia akan perlunya mereka menjaga keseimbangan ekosistem yang diwujudkan oleh Allah Ta’ala.
Malapetaka berkenaan semacam menghantar isyarat agar manusia jangan terlalu ghairah membinasakan alam sekitar. Keganjilan pada kelakuan haiwan dan kebocoran mata air yang menjadi tanda awal bencana alam seperti ombak besar tsunami adalah pengetahuan am yang harus diketahui serta dipelajari sebab tanda-tanda itu dapat menyelamatkan nyawa jika berlaku bencana.
Yang terpenting ialah penerapan pengetahuan mengenai sains kejadian alam atau bumi serta proses tabii alam yang sentiasa berlaku. Hakikatnya manusia perlu sedar akan makna alam sekitar itu sendiri, seperti yang ditakrifkan pada awal rencana ini.
(454 perkataan)
ULASAN FORMAT DAN ISI KARANGAN
• Format karangan rencana di atas didahului takrifan alam sekitar seperti yang diberikan UNESCO misalnya.
• Takrifan secara spesifik ini diperluas sehingga meliputi pengertian yang difahami penduduk biasa satu-satu negara.
• Karangan dikembangkan melalui keprihatinan kerajaan terhadap penjagaan alam sekitar, isi yang berfokus kepada spesifik tertentu.
• Usaha kerajaan ini perlu mendapat sokongan individu yang cinta akan alam sekitar.
• Usaha ini perlu dipupuk sejak dari rebung lagi.
• Pendidikan alam sekitar dapat membudayakan ciri mesra dan lestari alam sekitar dalam kalangan rakyat.
• Beberapa contoh relevan diberikan secara konkrit bagi membukti kepentingan penjagaan alam sekitar sepanjang masa.
• Pada keseluruhannya karangan ini padat dengan fakta berkaitan dengan kepentingan menjaga alam sekitar.
• Format karangan terjaga dengan baik bermula daripada takrifan secara spesifik, bergerak kepada umum dengan pendalilan yang terkini lagi relevan.
• Karangan juga mengandungi isi yang bernas lagi bermakna dalam usaha hendak menjaga keindahan dan kecantikan alam sekitar.
ULASAN ASPEK GAYA BAHASA KARANGAN
• Gaya bahasanya mudah difahami dan ringkas sesuai bagi karangan bercorak rencana.
• Gaya bahasa begini memang sesuai untuk karangan rencana sebab dibaca tiap-tiap lapisan khalayak tanpa mengira kelulusan, pangkat, dan kedudukan sosial mereka.
• Bahasanya pula berkembang meluas secara berperingkat-peringkat. Contohnya ialah ‘atmosfera’ dan ‘biosfera’ ikasi’, dan kedua-dua istilah ini menunjukkan penerapan laras bahasa saintifik dalam karangan ini.
• Pada keseluruhannya, penulis banyak menggunakan laras bahasa sains sosial.
• ‘Malapetaka berkenaan semacam menghantar isyarat’ contoh bahasa perbandingan menarik, seperti penggunaan unsur personafikasi dalam puisi.
• Kekurangannya di sini ialah penulis rencana tidak ada menerapkan bahasa yang indah melalui penyelitan peribahasa dan pantun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment