Wednesday, March 23, 2011

Analisis Keputusan SPM 2010: Jom Kita Bermain Angka

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM di Putrajaya semalam (22 Mac 2011), Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, 10,488 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya cemerlang (A+,A dan A-) dalam kesemua subjek diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Kepada kami, prestasi cemerlang ini lebih bermakna jika markah kelulusan dikekal tanpa perlu berdasarkan graf, ikut prestasi calon keseluruhannya.
Maksudnya markah 90+ baru dianugerahi A+, 86-89 (A) dan 80-85 (A-). Zaman kita dulu awal enam puluhan begitu keadaan, seperti kata guru kami, yang bijak-bijak belaka.
Nombor juga menunjukkan 9,239 calon daripada jumlah berkenaan membabitkan sekolah KPM, bertambah jika dibandingkan dengan 7,987 calon pada 2009.
Yang amat cemerlang 403 calon memperoleh gred cemerlang tertinggi (kesemua A+) bagi kesemua mata pelajaran berbanding 255 calon pada tahun sebelumnya.
Setinggi-tinggi tahniah serta syabas diucapkan kepada pelajar cemerlang SBP Intergrasi Selandar, Melaka Ameerul Asharaf Harunrashid (11A+), pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Izzat Zaid (11A), pelajar cemerlang Sekolah Sains Seri Puteri (SESERI), Nur Syahira Zulkefli (10A), Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SABKL), May Lee Cai Ling, dan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Wong Yujing, antara 17 pelajar cemerlang Terengganu mendapat 10A+ termasuk subjek Tassawwur Islam.
Namun begitu, Abdul Ghafar tidak pula mengumumkan peratusan calon paling tercorot, kecuali gembira dengan peningkatan calon luar bandar yang menunjukkan peningkatan termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains yang lebih baik berbanding calon bandar.
Banyak lagi pelajar cemerlang sehingga tiada ruang hendak dicatatkan di sini.
Calon luar bandar juga, rata-ratanya Melayu, dikaitkan dengan kelemahan subjek-subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Tahun demi tahun begitulah keadaannya sehingga nampak benar usaha selama ini tidak berkesan bagi merapatkan jurang prestasi calon-calon luar bandar dengan bandar.
Angka juga membuktikan pencapaian keseluruhan SPM 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dengan 368,559 calon berjaya memperoleh sijil berbanding 364,046 calon pada tahun sebelumnya.
Tahun ini tahun kedua sistem penggredan baru diguna pakai yang dapat secara lebih tepat mendiskriminasi pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang, selain turut dipengaruhi pelaksanaan Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum 10 Mata Pelajaran dan Penambahan Dua Mata Pelajaran Tambahan Dalam SPM yang mula diperkenalkan tahun lepas.
Sebanyak 467,970 calon mendaftar menduduki SPM di 3,594 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 23 November hingga 20 Disember. Pecahannya ialah 410,083 calon sekolah KPM, MRSM dan Sekolah Perantis Tentera (7,216), Sekolah Menengah Agama Negeri (8,127), Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Sekolah Swasta (11,248) serta persendirian perseorangan (31,296).
Prestasi sekolah yang dinilai berdasarkan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) menunjukkan 67 sekolah mencapai tahap cemerlang, baik (340), memuaskan (1,683) dan berpotensi (2,156).
Keputusan ini dikatakan hasil tawaran baru antara sekolah dengan kementerian dalam usaha meningkatkan prestasi akademik sekolah.
Cemerlang tetap cemerlang, membuka jalan cerah ke puncak. Tetapi apalah halnya calon yang tercorot, tidakkan hendak dibiarkan begitu sahaja? Adakah fakulti otak mereka tidak cerdas, tidak langsung dapat menerima pelajaran? Adakah mereka memang sebenarnya malas hendak belajar? Tepuk dada tanya seleras. Sesuatu yang konkrit perlu dilakukan untuk golongan pelajar kurang bernasib baik ini! Carilah ketenangan dengan mendengar muzik radio Hitz.FM.
Syabas dan tahniah sekali lagi kepada calon cemerlang dengan panjatan doa agar terus meniti tangga kejayaan gemilang pada tahap pengajian tinggi. Lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama, barulah dikatakan cemerlang lagi terbilang.

No comments: