Kita sekarang sudah ada Pusat Kecemerlangan Badminton Negara.
Penubuhannya dengan peruntukan RM24 juta memang tepat dan kena pada waktunya demi kelangsungan kejayaan dan kecemerlangan sukan itu peringkat nasional apatah lagi global.
Pada pertandingan akhir kejohanan All-England di Arena Tertutup Birmingham, sebaik sesudah tengah malam Ahad, dua hari lepas, Datuk Lee Chong Wei dapat mempertahankan kejuaraannya dua tahun berturut-turut, menewaskan musuh tradisi, Lin Dan, dari China 21-17, 21-17 dalam masa 51 minit.
Tahun lepas, beliau menewaskan pemain muda dari Jepun pada pertandingan akhir.
Keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan terhadap kemajuan sukan negara memang sudah terbukti sejak sekian lama khususnya badminton, yang pada temasya Sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 menyaksikan jagoan negara itu sekadar meraih pingat perak dan tahun 1996, Rashid Sidek meraih gangsa.
Dengan kemenangan itu menurut janji kerajaan, Lee yang dikurnai gelaran Datuk oleh kerajaan Pulau Pinang dan jurulatih peribadinya Misbun Sidek bergelar Datuk daripada kerajaan Melaka, memperoleh ganjaran RM300,000 serta pencen bulanan RM3,000 sejak September 2008.
Malangnya, Datuk Lee tidak dapat mengekalkan reputasinya selaku pemain nombor satu dunia sesudah kecundang demi kecundang pada bertemu dengan Lin Dan dalam pertandingan yang disertainya kemudian.
Yang terbaru ialah kekalahannya Januari lepas pada kejohanan Terbuka Korea Selatan, kejohanan paling lumayan di dunia setakat ini.
Dalam konteks ini, kejurulatihan dan latihan sistematik lagi saintifik amat diperlukan untuk mengekang kekonsistenan pemain seperti Lee sehingga tiba masanya yang sesuai pemuda lebih muda dan berpotensi mengambil alih tempatnya.
Biarpun Chong Wei tetap unggul dan cemerlang tanpa Misbun, tetapi krisis Misbun dengan BAM perlu dirungkai dengan kadar segera demi kepentingan anak didiknya itu khususnya dan mutu badminton negara amnya.
Justru itu, saya secara peribadi lebih bersetuju bahawa Pusat Kecemerlangan Badminton Negara dinamai Akademi Kecemerlangan Badminton Negara, biarpun tidak bermaksud hendak menyaingi tetapi sebaliknya melengkapi program pembangunan sukan Fakulti Sains Sukan dan Reaksi anjuran beberapa universiti tempatan sekarang.
Iqtizam yang tinggi dan jati diri yang kental kalangan pemain khusus badminton dalam konteks ini patut benar menyamai ganjaran kerajaan untuk terus kekal dan unggul sepanjang masa lebih-lebih lagi keazaman kerajaan melihat kejayaan atlit negara meraih pingat emas Olimpik tahun depan di London.
Datuk Misbun menyahut cabaran dengan keyakinannya pada Sukan Olimpik di London tahun depan nanti, atlit negara mampu meraih kilauan emas seperti harapan kerajaan itu.
Syaratnya, beliau mahu sokongan semua pihak tanpa gangguan terhadap keteraturan program latihan yang dijalankan. Maksudnya, beliau bersedia memupuk bakat murid seawal usia 17 tahun untuk bertanding pada kejohanan All-England yang berprestij itu.
Seharusnya kerjasama erat dan intim terpupuk antara BAM dengan jurulatih dengan maksud memberikan fleksibel setidak-tidaknya pada tahap paling minima agar kepentingan kedua-dua pihak tercapai dalam pelahiran atlit berpotensi untuk lahir sebagai jagoan negara.
Sanya dengan peruntukan sebesar itu kepada Pusat Kecemerlangan Badminton Negara pastinya negara dapat mengetengahkan bakat-bakat besar penuh potensi kepada pertandingan tersohor peringkat global.
Dengan ketersohoran itu, sukan badminton sejak tahun-tahun 1949-56 lagi akan terus menyemarakkan prestij dan imej nama negara pada pandangan dunia. Kejayaan badminton ini patut dicemburi sukan-sukan lain untuk menempa kejayaan lebih cemerlang.
Sesungguhnya sukan dapat memupuk nilai murni serta daya saing tinggi lagi produktif kalangan atlit yang seterusnya memperkasa perpaduan kalangan masyarakat pelbagai kaum seperti terbuka pada keeratan pelukan Misbun-Chong Wei.
No comments:
Post a Comment