Saturday, March 26, 2011

"Tergarik Tidurku"

Tergarik tidurku
Ketika sapaan dinihari di pintu
Baung-baung mengelupur di kolam
Jelas kedengaran dalam momen berbalam
Kekeli menyodak dalam sejuta perhitungan
Tanpa pertimbangan rasa kemanusiaan
Dendam berdekad mahu dilunaskan

Tergarik tidurku
Ketika sentuhan subuh di pintu
Berkumandang azan memecah kesepian
Terpanggil seekor tedung
Daripada susuran akar pepohon rendang
Dalam suasana mendung
Tanpa simpati daripada kolam hati
Berbisa amat tanpa tepi
Menjalar dan terus menjalar
Siapakah mangsanya?

Bangkitlah kabilah
Dari tiap-tiap penjuru tanpa berbalah
Nun di seberang sana kelihatan si gajah
Telinga lebarnya tidak pernah kebah
Mengibas lelangau berterbangan tanpa betah
Langsung si gajah jatuh rebah
Melata anai-anai dari segala arah
Mengurungi si gajah kehilangan tuah!

Bangkitlah kabilah
Ketika momen yang baik lagi bertuah
Tegakkan keadilan dan maruah
Perjuangan silam terhasil sudah
Berkat keramat penuh berakah
Nur cahaya bersinar gagah
Dari hujung terowong terpercik megah!

Tidurku tidak tergarik lagi
Lena dalam dakapan mimpi
Manis, nikmat, lagi bersemi
Kelak meranum buah mewangi!

No comments: