Kekalahan mengecut skuad badminton Malaya 4-5 kepada Indonesia pada pertandingan akhir Piala Thomas tahun 1958 menimbulkan keghairahan luar biasa dalam kalangan anak muda belasan tahun dan golongan remaja untuk merampas piala keagungan itu kembali.
Mereka semacam tidak dapat mempercayai kekalahan itu sebab negara mengungguli kejuaraan berprestij itu tiga kali berturut-turut sejak diperkenalkan di England pada tahun 1948-49. Malaya terus unggul pada kejohanan 1952 dan 1955, diadakan selang tiga tahun sekali.
Begitulah serata kampung, mukim, dan bandar terbina gelanggang badminton biarpun keadaannya serba tidak sempurna seperti sekarang.
Kalau dibandingkan dengan bola sepak, permainan badminton menuntut pengorbanan wang yang agak banyak bagi membeli buli tangkis selain jaring.
Ketika itu, aku yang baru berusia 13 tahun turut mengalami demam dan kegilaan badminton, tetapi apakan daya lantaran keluarga miskin dan langsung tidak menunjukkan minat, maka terpaksalah aku bereketkan papan nipis dengan anyaman tali guni untuk dijadikan jaring.
Rakan sebaya keturunan orang berada lebih bernasib baik dan bermain selesa dengan jaring dan reket berjenama. Mereka juga berkasut berjenama biarpun aku tidak pasti jenamanya apa, entah barangkali sudah ada jenama Nike, kasut popular permainan badminton. Entahlah.
Jika keadaannya begitu, anak muda dan remaja perlu berlatih bersungguh-sungguh seperti Datuk Lee Chong Wei yang terus unggul pada ranking pertama dunia, biarpun tidak pernah menang dengan pemain nombor satu China, Lin Dan.
Sejarah Piala Thomas, seperti dikatakan tadi, bermula di England apabila seorang dermawan, yang terkenal sebagai pemain badminton unggul, berhasrat hendak meninggalkan sesuatu demi kecergasan dan kehandalan generasi akan datang melalui badminton.
Nama hartawan itu ialah Sir George Alan Thomas, dan Piala Thomas dinamai sempena nama jagoan ini, menjanai arena badminton England buat lebih dua dekad lamanya.
Betapa tidak, dalam tempoh 1903 hingga 1927, Sir Thomas melakar sejarah kemenangan
melalui kejohanan All-England, termasuk bergelar juara empat tahun berturut-turut.
Kegilaan dan keghairahan berbadminton anak-anak kampung tadi tinggal begitu sahaja apabila skuad negara terus kecundang kepada Indonesia tiga tahun berturut tahun 1961 dan 1964.
Ketika itu aku sudah bersekolah menengah di Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan dan kemudian Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur (1963-66).
Baru pertandingan akhir 1967, di bawah kepemimpinan Mohd Khir Johari, skuad negara dapat merampas Piala Thomas kembali sesudah berlaku rusuhan penonton memasuki gelanggang ketika Malaysia berkedudukan kukuh hampir pasti meraih kemenangan.
Kali terakhir skuad kita menang ialah pada 1972, dan sesudah itu komuniti global khusus peminat badminton menyaksikan pasukan China begitu bermaharajalela di gelanggang.
No comments:
Post a Comment