Munsyi Abdullah malu hendak mengaku dirinya Melayu. Ngapa agaknya? Sebab dia amat meluat tengok perangai orang Melayu.
Dengar apa kata beliau dalam bukunya yang tersimpan rapi dalam rak koleksi buku saya:
“Sebermula, maka apabila saya ketahui akan segala perbezaan dan ‘kelainan adat
Melayu dengan adat-adat Inggeris itu’, maka mengucap syukurlah saya dengan beribu-ribu syukur kepada Allah, sebab saya telah diperanakkan di bawah bendera Inggeris, dan beroleh aman sentiasa, bukannya seperti orang yang telah merasa siksa dan sengsara pada sediakalanya dalam bodoh, dan kejahatan itu adanya’.
Pemerihalan ini dipetik daripada Kisah Pelayaran Abdulah karya Abdullah bin Abdul Kadir, Munsyi, terbitan Malaya Publication Limited Singapura, tahun 1961, halaman 110.
Mesej beliau di sini jelas Melayu itu bodoh dan jahat.
Jahat itu bermacam-macam termasuklah fitnah dan caci mencari sesama sendiri.
Saya begitu setuju dengan pandangan rakan blog bernama Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah :
“Banyak tokoh besar dalam sejarah Melayu tumbang akibat fitnah. Misalnya Hang Tuah, Hang Nadim, dan Dang Anum. Perwira Melayu ini bukan tumbang di medan perang tetapi akibat hasad dengki”.
Beliau daripada Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya tidak sembunyikan kebimbangannya mengenai kesan krisis politik negara yang terus bergelora kepada generasi muda di Malaysia.
Nah, seratus peratus lebih saya menyetujui pandangan Tan Sri Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim: Melayu belum begitu pandai membezakan ahli politik yang benar-benar berwibawa daripada yang tidak berwibawa untuk memimpin mereka.
Persis katanya, dan kita orang Melayu sepatutnya berasa malu: Masyarakat Melayu masih dalam proses peralihan. Mereka mudah terpengaruh oleh tokoh yang pandai bercakap sementara rakyat tidak dapat membezakan pemimpin yang benar daripada yang bayangan.
Malang sekali kita jadi orang Melayu. Perangai hodoh tak ubah-ubah sejak Abdullah melahirkan persepsinya ratusan lampau.
Peniaga gerai pisang goreng amat marah lalu mencari ‘bomoh’ untuk membunuh rakan niaga gerai sebelah yang begitu maju dan laris jualannya.
Pensyarah marah apabila orang baru datang daripada perkhidmatan lain terus diangkat kepada jawatan kanan dan setahun berikutnya diangkat pula jadi dekan fakulti.
Malang nasib si dekan itu apabila depan pintunya ditaburi kemenyan, dengan maksud biar tidak berupaya bertugas.
Maka dua contoh inilah perangai Melayu, berpelajaran atau tidak, berpendidikan dalam negara mahupun di London ataupun Amerika Syarikat, serupa saja. Mereka tidak pernah nak ukur keupayaan dan kekurangan diri sendiri.
Yang dianiaya bukan kecil anak. ‘Pendinding’ mereka berpaksi ayat-ayat al-Quran amat kuat dan dengan izin Allah Ta’ala akhirnya mereka tegak sebagai tokoh yang berjaya lagi berwibawa. Melayu tahu fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh musuh, tetapi ngapa dibuat? Ngapa buat fitnah? Ngapa tak mahu berusaha gigih dan berazam mengatasi orang lain yang lebih berjaya dan mampu daripada kita?
Sanya mari kita panjatkan doa kepada Ilahi agar peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim terus unggul, tegak, teguh, kukuh, dan utuh, tidak sekali-kali rebah demi kebenaran dan keadilan! Amin!
1 comment:
Saya setuju dengan perspektif penulis.Orang Melayu kini terutama para pemimpin yang berkuasa nampak moden pada fizikal-hebat.Dari segi pemikiran kolot.Masih bersikap feudal.Tidak sedar bahawa mereka ialah hamba Allah.Wajar mencontohi hamba Allah yang paling mulia Nabi Muhammad.Walau pun Rasul pilihan Allah dan berasal dari kelas bangsawan tetapi penuh dengan kerendahan diri. Tawadhuk kepada Ilahi.Jika dapat memasukkan sedikit sifat "Muhamamd" ke dalam diri mereka alhamdulllah
Post a Comment