Belia wajar memperluas horizon matlamat hidup dengan penampilan diri yang segak bergaya, berketrampilan, tampan lagi beridentiti, baik daripada segi fizikal bertubuh tegap sasa mahupun daripada segi dalaman berperibadi mulia lagi terpuji!
Penambilan diri yang kemas dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, sentiasa berpakaian kemas, memperagakan diri dengan eksesi yang berpatutan, daripada jam tangan dan cincin hingga kepada baju, seluar berjenama, tali pinggang, dan kasut.
Ketampanan anda dengan wajah manis, bersih, dan berseri-seri pastinya anda menjadi buruan gadis cantik jelita si pinggang ramping, molek menawan seperti di atas.
Ketika menjadi Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan pernah mengutip laporan bertajuk ‘In Larger Freedom’, bahawa “HIV/AIDS kini ancaman berat kepada pembangunan dan keselamatan manusia. Penyakit ini telah menghancurkan berjuta-juta keluarga dan meninggalkan berjuta-juta kanak-kanak menjadi yatim.
Yang lebih membimbangkan daripada krisis kesihatan awam, AIDS turut memusnah ekonomi, merosakkan kestabilan sosial, sistem kesihatan, pendidikan, pertanian dan sistem kebajikan kebangsaan sesuatu negara.
AIDS turut melemahkan sistem tadbir urus dan struktur keselamatan, dan ini sebenarnya dapat dianggap ancaman yang lebih besar kepada manusia dan kemanusiaan itu sendiri.
Dalam konteks negara kita, dalam tempoh dua dekad sejak pertama kali kes HIV/AIDS dilaporkan, jumlah kes baru terus meningkat dengan kadar yang berganda.
HIV/AIDS kini dikatakan berada pada tahap amat berbahaya dan telah hampir menjadi epidemik. Pada penghujung tahun 2004, lebih kurang 64,000 rakyat dijangkiti HIV.
Hampir 9,400 orang daripada jumlah ini, menghidap AIDS, membabitkan sejumlah besar belia. Menurut Kementerian Kesihatan, yang terbabit wabak ini ialah golongan berusia 20-29 tahun (21.9%) dan 30-39 tahun (43.9%).
Angka ini amat membimbangkan lantaran tenaga produktif ini sepatutnya dialurkan kepada penjanaan dan pembangunan diri, keluarga, bangsa, dan negara.
Justru anjakan paradigma diri golongan ini patut bersendikan pandangan dan matlamat hidup menurut horizon dan perspektif lebih luas, holistik lagi menyeluruh.
Pengilmuan diri mereka perlu melihat segala-galanya menurut pandangan Islam dengan perenungan ke dalam diri sebagai sebaik-baik kejadian dicipta Ilahi untuk menjadi hamba sekali gus khalifah Allah SWT di maya pada.
Penolehan kepada pembinaan negara-bangsa oleh generasi pejuang kemerdekaan sebaik-baik alternatif kepada pemupukan diri belia kini dengan semangat juang sekental karang dan ketabahan diri menghadapi cabaran secara lebih berani lagi berwawasan.
Cogan kata gagasan hidup ialah ‘tidak ada sesuatu yang mustahil dalam hidup’ asalkan ada komitmen dan keberanian melakukan apa saja yang halal diredhai ajaran Islam.
Katakan tidak kepada dadah kerana penagih dianggap bertanggungjawab menyebarkan virus ini melalui perkongsian jarum suntikan dan ini menyebabkan hampir tiga perempat daripada jumlah pengidap HIV/AIDS terdiri daripada golongan ini.
Peribadi belia sewajarnya peribadi Muslim dengan amalan hidup harian bertunjangkan ajaran agama suci bersifat universial itu bersekali dengan nilai yang hadir dalam diri insan sepatutnya menjadi pegangan hidup demi pencapaian cita-cita dihajati.
Kepada sesetengah orang, kuasa dan kekayaan dianggap penting, tetapi bagi sesetengah yang lain, persahabatan dan persaudaraan melalui khidmat masyarakat, menjadi lebih bermakna. Marilah sama-sama kita renungkan.
No comments:
Post a Comment