Tuesday, March 1, 2011

Tip Nur Amalina memperoleh 17 1A SPM 2004


“Saya mahu catat rekod baru dan bertindak mencabar diri sendiri sesudah menonton televisyen memapar kejayaan pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia SPM sebelum ini”.
Begitulah kata-kata dan azam tinggi Nur Amalina Cik Bakri, kira-kira lima bulan sebelum mengambil peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Ulu Tiram, Kota Tinggi, Johor, pada 2004.
Falsafah pegangan puteri kesayangan Cikgu Sabariah Hassan, 50, ini ialah kata-kata perangsang Mahatma Ghandi: ‘Keputusan terletak pada usaha, tidak pada pencapaian’.
Azam dan cita-cita tidak tinggal begitu sahaja, tetapi dituangi dengan usaha gigih, semangat yang kental dan cekal, serta kerajinan membaca dan mengulangkaji pelajaran.
Doa restu ibu bapa di samping keberkatan Ilahi yang dipohon tiap-tiap kali sujud menyembah-Nya, melengkapi usaha dan kerajinan membaca tanpa tebing itu.
Usahanya diretui Ilahi dengan mencatat rekod memperoleh 1A bagi kesemua 17 mata pelajaran yang diambilnya.
Pencapaian ini satu rekod kerana pencapaian terbaik sebelumnya ialah 13 1A dan kemudian 16 1A. Seorang pelajar sama tahun dengan Amalina mendapat 14 1A.
Amalina belajar sekurang-kurangnya empat jam sehari selain menyiapkan kerja-kerja rumah dengan penuh daya usaha dan kreativiti.
Dia menganggapi kerja sekolah di rumah itu sesuatu yang menyeronokkan, tidak sesuatu yang membebankan sehingga ada ibu bapa yang menyiapkan bagi pihak anak-anak.
Amalina mengimbangi kecemerlangan akademiknya dengan kegiatan ko-kurikulum.
Dia sedar insan yang sempurna ialah yang cemerlang daripada segi intelek dan emosi. Amalina ada kedua-duanya.
Ertinya, Amalina sudah membina kekuatan diri melalui pendekatan refleksi tentang kekuatan dan kelemahan diri selain menghormati kemampuan dan kekuatan rakan seperjuangan yang lain.
Kita panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Amalina terus unggul dalam apa juga bidang akademik yang diceburinya di universiti tersohor di United Kingdom, serta arena kerjayanya sepulang ke tanah air tercinta.

No comments: