B.A. Hons (Komunikasi) Kelas Pertama dengan Kepujian, Universiti Malaya M.A (Komunikasi dan Sastera), Universiti Malaya Ph.D. (Komunikasi, Sastera, Pemikiran Islam dan Sastera), Universiti Malaya e-mel: drilias_zaidi99@yahoo.com Tel. Bimbit: 017-2915101
Monday, February 28, 2011
Hendak Seribu Daya
Pepatah yang menjadi tajuk esei ini satu daripada beratus-ratus ribu peribahasa yang dipusakai orang Melayu sejak zaman berzaman.
Maksudnya ialah ‘Kalau mahu macam-macam usaha, kalau tidak mahu macam-macam alasan’.
Selamanya masyarakat Melayu terkenal dengan pengucapan beradat lagi berbudi bahasa.
Satu-satu hajat ataupun maksud tidak dinyatakan secara berterus terang kerana hal demikian dianggap tidak beradab lagi berkelakuan kasar dan biadap. Begitu juga nasihat diberikan secara lembut tanpa melukakan hati.
Begitulah peribahasa dicipta oleh nenek moyang kita dahulu kala untuk maksud tersirat dalam suasana kemesraan, bersopan santun lagi berbudi bahasa.
Peribahasa seperti tajuk esei ini berkias ibarat, tetapi tidak terselam akan kedalaman dan keluasan maknanya.
Tujuannya ialah hendak memberi semangat, pengajaran, motivasi, dorongan agar dapat bangkit daripada kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Kita kutip kisah Jusuh sebagai contoh membuktikan kesahihan maksud pepatah ini. Dia berasa berbesar hati kerana memperoleh pekerjaan baru!
Usaha kerasnya: mencari kerja kosong melalui iklan-iklan dalam media cetak, menjelajahi internet, menelefon, menghadiri temuduga akhirnya membuahkan hasil.
Dia berasa sungguh gembira. Betapa tidak, berapa tahun lamanya dia terpaksa menganggur biarpun ada ijazah jurusan kejuruteraan elektrik.
Selamanya, dia sedar, ijazah sahaja belum memadai untuk melamar kerja jika tidak disertai dengan kemahiran dan pengalaman bekerja dalam bidang berkenaan.
Kim Pak Ooi menangis teramat sangat sehingga tidak dapat mengawal perasaannya apabila mengenangkan kekasih hatinya tergamak memutuskan ikatan tali pertunangan.
Peristiwa itu benar-benar menyayat hatinya dan dia berasa sedih dan kecewa seolah-olah hidup sudah berakhir buatnya.
Ibu bapa dan rakan bersimpati dengannya banyak memberi nasihat, dengan kata-kata ‘kumbang tidak seekor, bunga tidak sekuntum,’.
Kata perangsang inilah yang menguat semangat untuk mengorak langkah dan azam baru yang lebih bersemangat sehingga akhirnya dia menjadi akauntan bertauliah.
Brian Maria begitu marah pada dirinya sendiri sehinggakan hidup dan perasaannya begitu gementar.
Dia pada mulanya begitu marah akan ibu bapanya kerana mereka tidak merestui cita-citanya hendak menjadi juruterbang.
Dakwa mereka, profesion demikian bahaya dan berisiko tinggi. Kian berengsut usia, dia kian sedar dan faham akan larangan mereka.
Demikianlah dia akhirnya mengubah haluan menjadi jurutera genetik sehingga berjaya menghasilkan ciptaan dan inovasi turut membanggakan rakyat dan negara.
Perasaan yang dialami oleh Jusuh, Kim, dan Brian, berbauran di antara gembira, sedih, marah, dengan damai adalah wajar dan sesuatu yang umum, lumrah dialami oleh insan di maya pada ini.
Tiap-tiap orang sesungguhnya mengalami perasaan yang bermacam-macam. Insan tidak dapat melayari bahtera hidup dalam erti kata sebenar-benar jika tidak berperasaan.
Perasaan tersemat dalam sanubari sewajarnya bersendi ketekunan dan kegigihan menghadapi cabaran hidup.
Ertinya, sekali gagal bukanlah bererti gagal selama-lamanya.
Pendek kata, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu daleh’ dan ‘jika rajin mengakas, namun selera lepas juga’.
Kesemua genre khazanah puisi lama seperti pepatah dalam esei contoh ini dicipta dengan kekuatan intelektual orang Melayu zaman silam.
Penciptaannya mendukung maksud tertentu.
Kepada anak remaja misalnya, banyak peribahasa terhasil bermaksud hendak mendidik, mengasuh dan tunjuk ajar, memberi nasihat serta perangsang agar mereka tidak mudah putus asa, sekali gus berani menghadapi cabaran seperti maksud pepatah ini demi kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment