Wednesday, February 9, 2011

Karangan BM : Ulasan Carta 2

2

BAHAGIAN A
KARANGAN BERDASARKAN
BAHAN RANGSANGAN

1.1. PENGENALAN

·         Huraian pendapat anda perlu berpandukan bahan rangsangan dalam bentuk tiga keping gambar di bawah, yang bererti tiga AYAT TAJUK perlu disediakan.
·         Tiap-tiap perenggan huraian perlu disusuli dengan HURAIAN, CONTOH, dan AYAT KESIMPULAN.
·         HURAIAN dan AKIBAT menjelaskan pernyataan khusus dalam AYAT TAJUK, diperkukuhi dengan contoh yang relevan dan semasa.
·         AYAT KESIMPULAN menyimpulkan pendapat dalam tubuh huraian sebelumnya, tanpa mengulangi isi perenggan pertama, kedua, dan yang ketiga.
·         dikhuatiri bakal memanjangkan huraian melebihi had patah kata yang disyaratkan.    
·         Masa dicadangkan ialah 45 minit sementara markah penuhnya 30 peratus.
·         Panjang huraian 200 hingga 250 perkataan, ditulis dalam masa 45 minit untuk memperoleh 30 peratus markah penuh.

1.2.  MODEL SOALAN 1

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kaedah-kaedah hendak mengekalkan kebersihan sungai di negara ini.


1.3.    KAEDAH-KAEDAH MENGEKALKAN
KELESTARIAN SUNGAI

1.3.1. Pembuangan sampah sesuka hati.
1.3.2.  Pembuangan sisa dan bahan buangan kilang.
1.3.3.  Tebing sungai yang rebak, pecah, dan runtuh.


1.4.  KEHENDAK SOALAN

·         Isu utama soalan ialah pencemaran sungai disebabkan tiga faktor iaitu pembuangan sampah sesuka, pembuangan sisa toksid dan bahan buangan kilang, dan tebing sungai yang rebak dan runtuh.
·         Yang perlu dihuraikan ialah kaedah yang perlu dilakukan bagi mengekalkan kelestarian sungai.


1.5.       ISI-ISI YANG PERLU ADA DALAM HURAIAN

§         Masyarakat perlu disedarkan akan penjagaan kebersihan sungai seawal rebung lagi.
§         Kebersihan sungai penting demi kesejahteraan hidup manusia.
§         Pendidikan alam semula jadi perlu diajari di sekolah.
§         Penguasa tempatan perlu anjurkan kempen ‘Sayangilah Sungai Anda’.
§         Masyarakat perlu sama-sama prihatin menjaga kebersihan sungai.
§         Sungai perlu diuruskan secara mesra alam sekitar.
§         Pelan kebangsaan jangka panjang perlu diwujudkan bagi penghapusan pencemaran sungai.
§         Sistem pengurusan mesra alam bagi bahan kimia berbahaya serta buangan toksid perlu diperkukuh.
§         Kerjasama dan pelarasan bersepadu perlu wujud sektor kerajaan dengan swasta.
§         Segala mekanisme perlu diselaraskan untuk memperoleh pelaksanaan, pengawasan, serta maklum balas berkesan lagi cekap.

    
                    Perenggan Isi 1:

                    Tahap kesedaran awam terhadap kebersihan sungai perlu dipupuk seawal peringkat kanak-kanak. (AYAT TAJUK). Tujuannya hendak melahirkan keinsafan dan kesedaran akan kepentingan sungai kepada kesejahteraan manusia. Kesedaran begini dapat mengatasi masalah pencemaran sungai. (HURAIAN). Pendidikan alam semulajadi perlu diajari di sekolah. Penguasa tempatan hendaklah menganjurkan kempen ‘Sayangilah Sungai Anda’. (CONTOH). Serentak itu, masyarakat perlu sama-sama prihatin dan bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai tanpa membuang saraf sarap ke dalamnya. (AYAT KESIMPULAN).    
                 
                     (62 perkataan)
                   
                    ULASAN PERENGGAN ISI 1 DI ATAS
                     
1.        Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian, contoh, dan ayat kesimpulan.
2.        Ulasan terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran dengan menyelitkan cadangan bernas serta relevan.
3.        Ayat tajuk diperkembang melalui huraian tentang tujuan pemupukan kesedaran awam terhadap plestarian sungai melalui kata ‘Tujuannya’. Biasanya calon memulakan ayat kedua dengan diksi ‘Ianya bertujuan…, menjadikan ayat demikian tidak gramatis.
4.        Keseluruhannya, penulis menggunakan ayat gramatis seperti ‘… kesedaran akan kepentingan sungai’ selain kosa kata luas lagi tepat seperti ‘sayangilah sungai anda’.
5.        Ada keselarian penggunaan imbuhan seperti ayat kedua melalui perulangan ke … an (keinsafan, kesedaran, kepentingan, dan kesejahteraan) sehingga melahir kesan keindahan.
6.        Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.
   
                  
                   Perenggan Isi 2:

                   Pengurusan lembangan sungai serta projek pembangunan berkaitan, perlu digabung untuk memastikan kelestarian. (AYAT TAJUK). Yang terangkum di sini termasuklah prosedur tertentu bagi perancangan khusus terutama daripada segi pengkelasan penggunaan bermanfaat, penyelarasan, dan pemantauan. (HURAIAN). Sungai mesti diuruskan menurut pengurusan mesra alam sekitar termasuk mencegah amalan tidak berperikemanusiaan seperti menuba ikan sungai, natijahnya membahayakan kesihatan insan yang memakannya. (CONTOH). Oleh itu, pelan kebangsaan jangka panjang perlu diwujudkan bagi penghapusan pencemaran sungai. (AYAT KESIMPULAN).     
                  (68 perkataan)
                  
                   ULASAN PERENGGAN ISI 2 DI ATAS
                     
1.      Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian, contoh, dan ayat kesimpulan.
2.      Cadangan penulis relevan dan menarik pada ayat terakhir.
3.      Ayat kedua semacam tidak gramatis sebab dimulai dengan kata sendi ‘Yang’. Sebenarnya tidak begitu kerana kegramatisannya terasa daripada ayat ini ‘Yang datang semalam saya’, disongsangkan daripada ayat ‘Saya datang semalam’.
4.      Penulis menggunakan ungkapan menarik lagi indah melalui proses normalisasi seperti ‘pengkelasan’, ‘penyelarasan’, dan ‘pemantauan’ selain kesan keindahan melalui perulangan imbuhan awalan dan akhiran ‘peN … an’.
5.      Kosa kata luas bervariasi seperti ‘kelestarian’ dan ‘natijahnya membahayakan kesihatan’.  

                     Perenggan Isi 3:

                     Sistem pengurusan mesra alam bagi bahan kimia berbahaya serta buangan toksid perlu diperkukuh. (AYAT TAJUK). Sistem begini dapat mengawal dan memantau pembuangan bahan ke sungai melalui penyimpanan, pengangkutan,  pengolahan, dan pelupusan. (HURAIAN). Industri perlu digalakkan membuat kajian untuk mencegah dan mengawal pencemaran sungai melalui peraturan kawal dan bantu-diri. Kerjasama dan pelarasan bersepadu dalam kalangan sektor kerajaan dengan swasta perlu ada bagi membina benteng di tebing sungai berisiko tinggi untuk rebak dan runtuh. (CONTOH). Segala mekanisme perlu diselaraskan untuk memperoleh pelaksanaan, pengawasan, serta maklum balas berkesan lagi cekap. (AYAT KESIMPULAN). 
                    
                     (83 perkataan)


                                          ULASAN PERENGGAN ISI 3 DI ATAS
                     
1.      Aliran fikiran dalam ayat tajuk sepatutnya turutan daripada ayat terakhir perenggan sebelumnya seperti perenggan isi ketiga ini, melalui huraian kepada pelan kebangsaan jangka panjang.
2.      Ayat-ayat isi ketiga ini amat indah lagi gramatis melalui proses pengimbuhan  ‘meN … an’ dan ‘peN … an’ menghasilkan keselarian bentuk seperti ‘mengawal dan memantau’ dan ‘penyimpanan, pengangkutan, pengolahan, dan pelupusan’.
3.      Penggunaan kata sendi juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa seperti ‘dalam kalangan sektor kerajaan’ dan ‘Kerjasama kerajaan dengan swasta’, tidak ‘Kerjasama kerajaan dan swasta’.


                    Perenggan kesimpulan:
                 
                    Lestari sungai terpelihara dengan berkesan daripada rasa tanggungjawab terpupuk melalui program kesedaran dan latihan alam sekitar. (AYAT TAJUK). Agensi kerajaan dan swasta perlu bekerjasama dalam pembentukan tata kelakuan bagi pengawasan diri, penilaian diri, dan pengauditan diri dalam prestasi sungai. (CADANGAN DAN KESIMPULAN).                
                   (37 perkataan)

  
                  ULASAN PERENGGAN KESIMPULAN DI ATAS
                     
1.      Dua ayat terakhir membentuk perenggan ini menurut pola dikehendaki kerana mengandungi saranan bernas bagi menjaga kelestarian sungai.
2.      Penulis menggunakan kata sendi ‘dan’ dengan tepat berdasarkan pola ayat berbeza daripada pola ayat dalam perenggan isi ketiga tadi, yang menuntut penggunaan sendiri ‘dengan’.
3.      Penulis menggunakan pola kata yang gramatis seperti ‘dalam pembentukan’ iaitu proses membentuk tata kelakuan’, tentu sahaja agak janggal apabila digunakan frasa ‘dalam membentuk tata kelakuan’.
4.      Penguasaan dan kemahiran berbahasa penulis kukuh dan mantap melalui daya kreativiti dan imaginasi yang kuat lagi luas terutamanya melalui proses pengimbuhan ‘peN … an’ seperti ‘pengawasan diri, penilaian diri, dan pengauditan diri’.
5.      Ulasan di atas memaparkan kebolehan dan pengetahuan penulis yang mendalam terhadap fakta, maklumat dan idea berkaitan dengan isu pencemaran sungai.
6.      Penulisnya mampu menggunakan fikiran serta kemahiran secara kritis dan logik untuk mempersembah fakta serta hujah dengan sistematik.
7.      Penulis dapat mengawal kepanjangan ulasannya dalam lingkungan 250 patah kata (gugurkan diksi patah jika menggunakan perkataan) seperti dikehendaki oleh syarat peperiksaan.

                                                     ******

1 comment:

Anonymous said...

bapa kalau karangan perlu letakkan peribahasa kan ?