Wednesday, February 9, 2011

SPM: Kertas 1 Bhg A

 



KARANGAN BERDASARKAN
BAHAN RANGSANGAN

1.   PENGENALAN

·         Karangan berpandukan bahan rangsangan menghendaki anda memberi pandangan dan pendapat dalam bentuk huraian terhadap satu-satu isu.
·         Huraian anda perlu bersandarkan rangsangan dalam bentuk gambar atau gambar-gambar, carta ataupun dialog yang diberikan dalam kertas soalan.
·         Jika bahan rangsangan itu mengandungi empat atau tiga bahan bergambar atau carta, anda perlu menyediakan empat ataupun tiga AYAT TAJUK berpandukan tiap-tiap rangsangan, agar huraian anda tidak terkeluar daripada isu yang dihendaki.
·         Keempat-empat ataupun ketiga-tiga isu misalnya menjadi ayat tajuk iaitu pokok pangkal persoalan bagi tiap-tiap perenggan pembina huraian keseluruhannya.
·         Tiap-tiap perenggan huraian perlu disusuli dengan HURAIAN, CONTOH, dan AYAT KESIMPULAN.
·         HURAIAN dan AKIBAT menjelaskan pernyataan khusus dalam AYAT TAJUK, diperkukuhi dengan contoh yang relevan dan semasa.
·         AYAT KESIMPULAN menyimpulkan pendapat dalam tubuh huraian sebelumnya. AYAT KESIMPULAN tidak mengulangi isi dalam perenggan pertama, kedua, ataupun yang ketiga dikhuatiri bakal memanjangkan huraian melebihi had patah kata yang disyaratkan.    
·         Masa dicadangkan ialah 45 minit sementara markah penuhnya 30 peratus.
·         Panjang huraian 200 hingga 250 perkataan. Syarat ini hendaklah dipatuhi dengan sekeras-kerasnya. Ertinya pemeriksa akan hanya menanda karangan anda pada tahap 250 patah kata sahaja.

2.      MODEL SOALAN 1

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan tindakan rakus manusia terhadap alam sekitar.

3.      KEHENDAK SOALAN

·         Isu utama soalan ini ialah pencemaran alam sekitar akibat kerakusan manusia terutama golongan pemaju yang mementingkan keuntungan besar dalam masa singkat.
·         Yang ditanyakan ialah kesan-kesan kerakusan tindakan manusia berkenaan terhadap alam sekitar.
·         Kesan-kesannya ialah kejadian tanah runtuh di lereng bukit, keruntuhan rumah khususnya rumah mewah di kawasan terbabit, kerakusan pembalakan di kawasan ulu yang mengakibatkan air melimpah tebing sungai ketika hujan lebat, dan kecemaran alam semula jadi yang hijau lagi mencantikkan pemandangan.



4.      ISI-ISI YANG PERLU ADA DALAM HURAIAN

-         Pemotongan lereng bukit yang tinggi lagi curam mengakibatkan tanah runtuh.
-         Lereng bukit dipotong untuk memberi laluan pembinaan rumah mewah lagi ekslusif.
-         Ikatan akar tunjang pokok menjadi longgar.
-         Ikatan ini kian longgar akibat hujan lebat berterusan beberapa hari.
-         Akibatnya rumah-rumah elit dan mewah runtuh menyembah bumi.
-         Kejadian seperti ini berlaku di Highland Tower, Ampang, Selangor.
-         Penghuni menjadi miskin seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
-         Pemaju perumahan perlu prihatin terhadap alam sekitar.

    
5.      KESAN-KESAN KERAKUSAN MANUSIA
TERHADAP ALAM SEKITAR

1.             Kejadian tanah runtuh di lereng bukit
2.             Rumah-rumah yang didirikan di lereng-lereng bukit runtuh
3.             Air melimpahi tebing sungai ketika hujan lebat akibat pembalakan di kawasan ulu
4.             Kehijauan dan keindahan alam semula jadi tercemar dengan teruk

Perenggan Isi 1:

Kerakusan manusia memotong lereng bukit yang tinggi lagi tajam mengakibatkan tanah runtuh di tempat berkenaan. (AYAT TAJUK). Tujuan insan khususnya pemaju kawasan perumahan berbuat demikian ialah hendak membina rumah kediaman ekslusif, lagi strategik bagi mengaut keuntungan besar dalam sekelip mata. Pemotongan kawasan tersebut melonggarkan ikatan bumi semula jadi kepada pokok besar berakar tunjang. (HURAIAN). Akibatnya apabila hujan lebat, ikatan tanah menjadi kian longgar sehingga meruntuhkan rumah-rumah elit tadi seperti yang berlaku di bukit tidak jauh dari Highland Towers. (CONTOH). Serentak itu, penghuni rumah berkenaan mendakwa diri mereka jatuh miskin, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tuntasnya, pemaju perlu prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar bagi mengelakkan kesan buruk supaya penduduk sekitar dapat hidup selesa. (AYAT KESIMPULAN).    
(108 perkataan)

ULASAN PERENGGAN ISI 1 DI ATAS


1.        Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian, contoh, dan ayat kesimpulan.
2.        Ulasan terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran daripada satu ayat kepada ayat berikutnya.
3.        Ayat tajuk, huraian, contoh, dan kesimpulan dapat dianggap relevan.
4.        Ayat gramatis dengan penggunaan kos kata yang luas lagi tepat seperti ekslusif, elit, tuntas, dan strategik, serta percampuran laras bahasa saintifik seperti ikatan bumi dan berakar tunjang.
5.        Penulis menggunakan ungkapan menarik lagi indah seperti ‘dalam sekelip mata’ dan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
6.        Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.
   
                  
Perenggan Isi 2:
Kerakusan manusia terbukti daripada pembalakan yang keterlaluan demi keuntungan tidak terhingga tanpa memikirkan khazanah hutan untuk generasi akan datang. (AYAT TAJUK). Pemugaran hutan mengakibatkan tanah gontol sehingga kehijauan dan keindahan alam semula jadi menjadi tercemar dengan teruknya. (HURAIAN). Selain hal itu, air sungai turut tercemar apabila reja-reja balak dihumbankan ke perutnya. Air hujan di kawasan ulu melimpahi tebing kerana pengalirannya tersekat seperti pencemaran di Lembah Kelang. (CONTOH). Oleh itu, tiap-tiap orang perlu terdidik agar terpupuk nilai murni akan kepentingan pemuliharaan hasil hutan. (AYAT KESIMPULAN).      
(84 perkataan)
ULASAN PERENGGAN ISI 2 DI ATAS

1.      Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian, contoh, dan ayat kesimpulan.
2.      Ulasan terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran daripada satu ayat kepada ayat berikutnya.
3.      Ayat tajuk, huraian, contoh, dan kesimpulan dapat dianggap relevan.
4.      Ayat gramatis dengan penggunaan kos kata yang luas lagi tepat seperti khazanah dan pemugaran hutan, kehijauan dan keindahan alam, dan nilai murni.
5.      Penulis menggunakan ungkapan menarik lagi indah melalui proses normalisasi seperti ‘kerakusan manusia’, ‘pengautan untung’, dan ‘pemugaran hutan’.
6.      Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.
7.      Kata sendi digunakan dengan tepat seperti ‘selain itu’. Biasanya, calon menggunakan kata sendi secara salah apabila menggandingkannya dengan ‘dari’ ataupun ‘daripada’ seperti begini ‘selain dari itu’ ataupun ‘selain daripada itu’ kerana melanggari hukum tatabahasa baku Bahasa Melayu.
8.      Justru, kata sendi sepatutnya digandingkan dengan kata nama seperti ‘Selain hal itu’ seperti contoh isi kedua di atas.     

Perenggan kesimpulan:

Akhirnya dapat disimpulkan pencemaran alam sekitar berpunca daripada salah laku dan kerakusan manusia hendak mengejar kemewahan hidup. Fenomena alam ciptaan Ilahi dengan kehijauan dan keindahan semula jadi perlu dipertahankan seprihatin mungkin. Hal demikian ini bertepatan dengan tuntutan Islam yang sekeras-kerasnya melarangi umat merosakkan alam semula jadi. Oleh itu, amalkan cara hidup, pola penggunaan, dan pengeluaran yang lestari.
(57 perkataan)
 
ULASAN PERENGGAN KESIMPULAN DI ATAS

1.      Perenggan kesimpulan terbina dengan baik menurut pola dikehendaki kerana mengandungi saranan bernas bagi menjaga fenomena alam sekitar.
2.      Penulis menggunakan ayat-ayat gramatis menurut pola tatabahasa baku Bahasa Melayu. Contohnya ‘Hal demikian ini’, sedangkan rata-rata calon menggunakan kata ‘Ini’ sebagai pembuka ayat, suatu yang tidak gramatis misalnya ‘Ini bertepatan …’
3.      Ayat dimulai dengan diksi ‘Akhirnya’ yang menunjukkan kesimpulan yang dapat diambil daripada isi pertama dan kedua sebelumnya.
4.      Penulis menggunakan pola kata kerja transitif yang perlu dipasangi dengan objektif semestinya kata nama seperti ‘… yang sekeras-kerasnya melarangi umat..’. Biasanya calon membina ayat tidak gramatis begini ‘… yang melarangi sekeras-kerasnya umat ..’. 
5.      Kosa kata adalah luas seperti fenomena, seprihatin, pola penggunaan, dan pengeluaran yang lestari.
6.      Ulasan pada keseluruhannya terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran daripada satu ayat kepada ayat berikutnya.
7.      Selain hal demikian, ulasan memancarkan kemampuan penulis memahami dan menafsirkan tajuk dengan cekap dan jelas.
8.      Ulasan memaparkan kemampuan serta pengetahuan penulis terhadap fakta, maklumat dan idea yang berkaitan dengan isu yang dibincangkan lebih-lebih lagi diukur daripada keupayaan dan kemampuan penulis menggunakan fikiran serta kemahiran untuk mempersembah fakta serta hujah dengan tajam, logik lagi sistematik.
9.      Penguasaan dan kemahiran berbahasa penulis kukuh dan mantap melalui daya kreativiti dan imaginasi yang kuat lagi luas.