Orang Melayu mesti berani berubah baik dari segi persepsi mahupun pandangan hidup atau world-view sebab kedua-duanya menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kemajuan ummah mulai sekarang.
Sesungguhnya persepsi dan pandangan hidup orang Melayu inilah yang selamanya melemahkan kemajuan dan perpaduan ummah sejak zaman Munsyi Abdullah lagi yang menyifatkan Melayu satu bangsa pemalas dan pengotor.
Yang terkhusus di sini ialah perubahan mindset dan persepsi murid, pelajar, dan remaja, terhadap kemajuan seperti tuntutan Islam. Pandangan negatif terhadap satu-satu isu bakal mengembalikan mereka kepada zaman lampau dalam keadaan ajaran Islam disaluti dengan pemikiran kolot, tahyul, bidaah, dan jumud.
‘Persepsi’ diibaratkan sebagai tanggapan, pengertian dan penglihatan seseorang terhadap sesuatu. Rata-rata Melayu berpersepsi buruk dan negatif terhadap hidup dan kehidupan biarpun kitab suci al-Quran diterima menjadi benteng ketauhidan yang diidam-idamkan bagi menempiasi segala cabaran dan dugaan hidup dalam usaha hendak mencari dan menegakkan kebenaran.
Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syura: Ayat 17 yang bermaksud: “Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan.”
Sehubungan dengan inilah, Islam tidak membezakan umatnya dari segi rupa bangsa, keturunan, latar belakang kekeluargaan, kedudukan, pangkat, ataupun lelaki dan wanita malah kesemuanya mempunyai kedudukan yang sama-sama penting dalam pembangunan ummah dan negara dengan berpaksikan tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Maksud firman Allah lagi dalam Surah Al-Hujuraat: Ayat 13 bermaksud: “Allah telah menjadikan manusia daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadi kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak untuk kamu saling kenal mengenal ( dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Ke arah maksud ini, tokoh reformasi sepanjang zaman benar-benar memperjuangkan perpaduan ummah lantaran perpaduan dianggap pencetus reformasi pemikiran.
Tiap-tiap insan diberi kebebasan untuk menimba ilmu demi peningkatan taraf hidup diri dan seterus dapat memberi sumbangan serta berbakti secara muafakat dan bersepadu ke arah pembangunan ummah.
Islam agama sejagat yang liberal sifatnya, dalam erti kata tidak membelenggu umatnya terhadap doktrin pemikiran.
Kesejagatan agama Islam dapat diperhatikan daripada perentasannya melepasi sempadan negeri, negara, wilayah, benua dan hatta seluruh dunia, tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Yang kurang arif dan mengenali Islam sahaja yang menganggapinya agama yang membawa unsur keganasan dan kekejaman.
Allah berfirman dalam Surah al-Faatihah: ayat 2 bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan “dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar) seperti firman-Nya dalam Surah al-Baqarah: Ayat 119.
Dengan ciri kesejagatannya, Islam dapat memupuk ikatan persaudaraan Islam sedunia bercirikan kasih sayang, dapat menyatupadukan pelbagai lapisan umat manusia merentasi sempadan wilayah dan kedudukan geografi, dan sekaligus itu pula dapat menegakkan kebenaran dan keadilan.
Sebagai agama sejagat, Islam membenarkan perbahasan tentang keagungan dan kebenarannya secara terbuka dan logik, agama yang dianuti secara sukarela tanpa paksaan tanpa ugutan dan tanpa ancaman.
No comments:
Post a Comment