Tahniah dan setinggi-tinggi tahniah buat calon STPM yang memperoleh markah cemerlang semalam. Bila? Semalam tu lebih spesifik hari Isnin, 21 Feb, tarikh pesara dapat pencen.
Ranjau masih tajam dan jauh berliku di hadapan. Pastinya kegigihan belajar dan ulangkaji pelajaran selama dua tahun sebelum ini dapat dimanfaatkan untuk tiga empat tahun lagi bagi memperoleh cemerlang kelas pertama tahap ijazah pertama baik apa disiplin sekalipun.
Kesemuanya 46,780 lulus penuh tapi belum tentu cemerlang. Tak kiralah siapa, baik punya keluarga miskin dan sederhana, baik keluarga berada dan kaya mewah, asalkan gigih semua berjaya cemerlang.
Saya amat kagum dengan kejayaan cemerlang Syivero Patrick yang sambil tekun belajar sambil pula bekerja sebagai tukang rumah hujung minggu. Belia begini yang mahu kita cari, watak dan peribadi tinggi begini yang perlu hadir dalam kalangan pelajar kita.
Jangan asyik nak gila-gila berpolitik dan menunjuk perasan, sekadar hendak menutup kelemahan diri punya IQ yang rendah.
Tak apalah mereka orang kaya dan banyak wang. Saya dulu orang miskin. Masuk Sekolah Alam Shah tahun 1963 seudah dapat 8A tahap SRP di Sekolah Sultan Abdul Aziz (sebelumnya Govenment English School), Teluk Intan, hanya mampu sediakan dua helai uniform sekolah dan sehelai baju Melayu untuk makan malam. Ada teman dari Bagan Datuk baik hati berikan saya sehelai baju Melayu. Saleh nama teman itu.
Baik Syivero bersekolah di Kota Marudu, Sabah itu, yang amat saya kagumi dan sanjungi, baik yang lain-lain, harus mengambil ingatan bahawa belajar di universiti berbeza amat daripada belajar di sekolah selama ini. Ha, tengoklah Syivero, tak payah susah-susah menggunakan kabel dan menyembah ke sana ke mari macam pengemis lapar tak makan dan minum seminggu, untuk masuk sekolah asrama penuh. Bak kata orang tua-tua, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau!
Masuk SBP mesti dan mesti berdasarkan merit bukan berdasarkan pengaruh dan kedudukan. SBP tempat untuk mendisiplinkan diri untuk uruskan masa dengan baik, bukan nak tunjuk lagak membuli junior sehingga ada yang mati. Sesungguhnya budaya kurang ajar ini jangan diteladani. Komuniti tidak pandang pada kehandalan ini berpencak dan bersilat, kerana menunjukkan keturunan kita drp keluarga 'yang tak berajar' atau 'tidak makan ajar', tetapi mereka pandang insan berilmu dan cemerlang dalam apa juga peperiksaan yang diduduki.
Ya, pencapai cemerlang STPM sekalian, teruskan kecemerlangan tahap IPT nanti, dan lebih baik lagi jika peroleh first class honors. Caranya mudah, tekun belajar dan buat nota lengkap awal, sedia hadiri kuliah dan tutorial, buat assignments sungguh-sungguh, serah kepada pensyarah tepat pada waktunya, sebaiknya lebih awal lagi. Saya dulu buat macam ini, dan sekarang, saya nak beri dorongan kepada anda sekalian. Saya bersyukur kerana Ilahi memberi saya kekuatan dan azam tinggi, sihat tubuh badan dan mental sehingga saya peroleh 17A daripada 30 subjek yang saya ambil 3 tiga tahun belajar di UM. Jasa Profesor saya Profesor Emiratus Datuk A Bakar Hamid, tetap saya kenal sampai hari ini, pensyarah yang penuh disiplin, tekun, dan dedikasi. Syukur saya kepada Ilahi kerana dengan keputusan itu, saya peroleh Kepujian Kelas Pertama dan dianugerahi Pingat Emas.
Anda sekalian juga dapat mencapai keputusan lebih cemerlang daripada ini asalkan tekun dan gigih belajar. Sifat kedekut mesti ada dalam diri untuk menyaingi kawan2.
Tahniah sekali lagi buat anda dengan meneruskan semangat perjuangan tinggi dan gigih belajar. pilihan disiplin ilmu sesuai dengan kemampuan kita. Kepada Syivero, saya menunggu berita gembira mengenai diri anda memperoleh Kepujian Kelas Pertama dalam tempoh tiga tahun akan datang. Salam buat semua, yang membaca blog saya ini. Terima kasih.
1 comment:
tahniah bapa , sy amat terharu dgn blog bapa nie , semoga bapa success dlm hidup ......
Post a Comment