Betapa tidak terlompat-lompatnya. Kuasa graviti di bulan lebih lemah daripada di bumi.
Dia terus terapung-apung di udarakasa bulan tanpa udara. Pakaian angkasa lepas yang serba putih dan lengkap itu membekalinya oksigen. Kiri-kanannya kelihatan padang pasir luas terhampar persis Sahara lakunya. Ah, macam bumi juga! Aiman mendengus. Kawah besar, lurah dalam dan melebar, dataran terhampar dan gunung-ganang. Semuanya ada dan wujud.
Heh, tengok di sana itu. Gelap. Tidak nampak apa-apa. Oh barangkali inilah yang dikata ‘lautan’. Penamaan yang pelik dan ganjil. Ada unsur sinisnya. Sebab: Kajian saintifik membukti air tidak wujud di planet bulan.
Tidak ada udara. Tidak ada air. Bagaimanakah umat bumi hendak dipindahkan ke bulan? Sesuatu yang mustahil. Tidak sesiapa pun dapat wujud di sini. Sekali lagi dia terperanjat kaget. Kawah besar ternganga tidak jauh daripada situasi keterapungannya.
Cuaca cukup membahang panas dan ganas. Dia merasai bahangnya macam sudah cecah angka 150 darjah Celsius. Amat panas. Kepanasan yang begitu menakjubkan.
Suara itu datang lagi biarpun dia berusaha menepisinya beberapa kali. Suara halus yang mendesah di tengah-tengah keterasingan diri menghamparkan keinsafan dan kesayuan. Insaf dan sayu di tengah-tengah keluarbiasaan benar-benar memilukan. Dirinya semacam terpenjara ratusan tahun lamanya. Dia mahu berangkat pulang segera ke planet bumi.
Pucuk kelapa yang berbalam-balam tadi, sedikit demi sedikit dan beransur-ansur cerah di kelir pandangannya. Sentuhan ratina matanya kian mempamerkan pohon seribu guna itu. Bezanya, pohon itu sudah berusia, daunnya kian keras dan lidinya kian liat.
Proses keremajaan diri sendiri mulai terasa. Dia giat melemparkan pandangan ke bawah dari pucuk kelapa yang tinggi menjulang.
Heh, wajah geruh babah dan ibunya bersedia hendak menyambutnya dengan hamparan tilam empuk yang gebu, persis sambutan penuh kemeriahan dan istiadat kepulangan angkawan negara sesudah beberapa minggu di ISS dan kemudian beberapa minggu lagi di permukaan bulan.
Fikir Aqil, adakah dia akan terjun bersama-sama beberapa biji buah kelapa seperti terjun Si Lunchai dengan labu-labunya?
Tengok sekarang, dia sedang menyusun sepuluh jarinya. Babah dan ibunya sedar akan perkara itu. Jari-jemarinya jelas montok dan gebu. Padat berisi tanda perut tergalas secukupnya. Makanan seimbang dan amalan hidup sihat selalu menjaduali rutin hariannya di tengah-tengah keluarga yang bengis dan kasar.
Kepada Aqil, layanan seperti itu tidak wajar dilakukan ke atas dirinya. Tamparan selalu singgah di pipiku. Sudah-sudahnya, aku jadi gagap. Di manakah harmonisnya? Di manakah humanisnya? Mengapakah tidak dimanfaatkan saja teknologi tingkah laku?
Tenaga berlebihan? Oh tidak. Kudrat melebihi ketepuan? Tidak juga. Kelebihan kalsium semasa proses penghamilan? Barangkali si ibu mengambil bahan kimia ini secara berlebihan semasa proses berkenaan? Kemungkinannya ada. Keberangkalian tidak berlaku juga ada.
Tetapi jika dikatakan otakku tidak berfungsi menurut patutnya, oh, tidak. Aku bakal tentang habis-habisan. Jika dia masih hidup, dia dapat membuktikannya. Siapakah tokoh itu?
Paul Broca, seorang anatomis dan antropologis berbangsa Perachis. Kucintai penemuan tahun 1861itu fungsi otak manusia bergantung kepada bahagian yang membina otak itu sendiri.
Broca memeriksa pesakit gagap melalui pendekatan rawatan khusus dan terapi. Yang lebih penting layanan mesra berpaksikan pendekatan humanis melalui teknologi perlakuan dan sahsiah rupa diri. Dia hanya dapat mengucapkan satu suku kata, biarpun dia faham penuh akan pertuturan yang dilafazkan. Akhirnya dia fasih berbicara.
Keadaan diriku lebih baik, fikir Aqil. Situasiku tidak segagap itu. Aku dapat bertutur biarpun mulutku ternganga lebar dahulu sebelum lahir diksi berisi. Babah barangkali tidak tahu akan penemuan Broca. Babah lebih dekat kepada kejuruteraan mekanikal. Ibu juga saintis tetapi lebih kepada bidang geologi.
Aqil teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika dalam keterasingan di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Jangan kaubinasai habitat semula di planet bumi. Salahnya barangkali menganggap pucuk kelapa muda sebagai kapal Soyuz, yang menghantuinya sekian lama. Tidak perlu latihan intensif dan istimewa itu, babah. Tidak perlu latihan terapi itu, ibu. Aqil akan usahakan sendiri.
Dia mendongaki langit. Sisik-sisik awan berarak tenang, seteduh air kolam waktu malam jernih. Suria terus setia memancarkan cahaya. Sayup-sayup kedengaran muzik beralun, lembut dan penuh makna, semacam mengubati kelukaan hatinya ketika menjenguki lereng cerun bukit di hadapannya. Jauh-jauh di sudut hati, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi!
1 comment:
Slm dr, sy nk tanya mengapakh tajuknya hipertensi???
Post a Comment