Thursday, March 3, 2011

Kepentingan Bioteknologi kepada Pembangunan Negara

Tuliskan sepucuk surat kepada sahabat anda menceritakan pengalaman anda mendengar ceramah ‘Kepentingan Bioteknologi kepada Pembangunan Negara’. Butiran ceramah itu mengesani jiwa sehingga anda bercita-cita hendak melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang berkenaan.




RANGKA DAN ISI PERLU DITULIS DALAM SURAT TIDAK RASMI DI ATAS

1. Pengenalan surat
• Alamat dan tarikh
• Kata-kata penghadap surat

2. Isi-isi surat
• Surat sahabat diterima dan faham akan isinya
• Kebetulan sempat mendengar ceramah ‘halutuju dan jurusan pengajian’
• Topik diceramahkan ialah bidang bioteknologi
• Pakar asing memanfaatkan bioteknologi untuk hasilkan produk
• Contohnya serbuk pemanis semula jadi jenama Greenlite.
• Asal mula dan sejarah ‘kejuruteraan genetik’
• Jurusan bioteknologi menjanjikan kerjaya masa depan
• Anda bercita-cita mengambil jurusan ini jika keadaan mengizinkan

3. Akhiran surat
• Surat diakhiri dengan ucapan terima kasih dan serangkap pantun.




MODEL KARANGAN


Tingkatan 5 Cekap,
Sekolah Menengah Sains Muar,
Tanjung Agas,
84009 Muar, Johor.

1 Mac 2011

Kepada sahabatku yang sentiasa dalam ingatan, Baha bin Mohd Arif, kini belajar dalam Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Sains Raja Azlan Shah, Taiping, Perak Darul Ridzuan, dengan beroleh selamatnya.
Surat saudara selamat saya terima dan faham akan kandungannya. Saya dan keluarga berada dalam kandungan sihat. Saya berharap saudara juga berkeadaan begitu.
Kebetulan semasa cuti semesta yang lepas, saya berpeluang mengikuti ceramah motivasi dan kerjaya, anjuran Unit Bimbingan Kerjaya, kampus cawangan pusat pengajian tinggi yang ada di tempat kediaman saya di Lendu, Masjid Tanah, Melaka. Tajuknya “Kepentingan Bioteknologi kepada Pembangunan Negara”.
Saudaraku yang sentiasa dalam ingatan,
Saya menyetujui pendapat penceramah undangan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa selamanya kita mengagumi kepintaran pakar asing memanfaatkan bioteknologi untuk menghasilkan produk demi produk melalui pemprosesan hasil tani untuk penjagaan kesihatan. Contohnya serbuk pemanis semula jadi jenama Greenlite. Bahan ini dapat mengantikan gula, bahan yang dikatakan penyebab kencing manis. Serbuk pemanis ini diproses daripada stevia, sejenis tumbuhan yang berasal dari Bolivia dan Paraguay. Republik Rakyat China memanfaatkan bahan ini dengan menanamnya secara komersil untuk dibekalkan kepada pengilang yang memerlukannya.
Kepada masyarakat biasa, bioteknologi semacam gabungan di antara sains hayat yang disebut biologi dengan teknologi. Dari segi istilah yang lebih spesifik, bioteknologi bermaksud “Pemanipulasian psiologi, biasanya dibuat melalui teknik genetik, serta mikroorganisme, terutamanya bakteria, untuk menghasilkan bahan-bahan kimia, secara industri”.
Penceramah juga menghuraikan maksud istilah berkait rapat dengan bioteknologi “kejuruteraan genetik”. Istilah ini bermaksud “Modifikasi struktur kromosome orgarnisme hayat, terutamanya bakteria dan virus, dengan begitu cara untuk memanfaatkan kehidupan manusia. Teknik begini telah berjaya diterapkan dalam sektor pertanian dan perubatan.
Kejuruteraan genetik berkembang pesat sejak April 1988 apabila Pejabat Paten dan Tanda Niaga Amerika Syarikat meluluskan permohonan Universiti Harvard serta dua orang saintisnya untuk mendapatkan paten bagi sejenis tikus. Jurutera genetik juga mendapati sekawan kambing biri-biri dekat Edinburgh, Scotland, mampu menghasilkan susu berisi bahan pembekuan darah, sejenis bahan yang sebelumnya hanya dapat ditemui dalam darah manusia.
Ya, saudaraku, pembaharuan nilai baru terhadap pertanian misalnya dapat mengubah persepsi sektor itu secara umumnya dan biotek khususnya. Perubahan nilai itu datangnya daripada manusia sendiri. Sebab itulah, pembangunan modal insaniah penting dan malahan menjadi agenda utama DBN. Inisiatif ini bakal dibuat melalui pembinaan keupayaan sumber manusia berasaskan biotek negara melalui skim khas, program, dan latihan.
Saudaraku yang sentiasa dalam ingatan,
Peningkatan penggunaan tekologi dan inovasi dapat melonjakkan sektor pembangunan dan bioteknologi demi pembangunan ekonomi negara. Nah, apa lagi yang hendak kita tunggu-tunggukan. Pilihan saya tetap bioteknologi demi jaminan kerjaya masa depan. Yang lebih baik apabila biotek itu digabungjalinkan menjadi biotekmedik. Tepuk dada tanya selera. Saya akhiri dengan serangkap pantun: Jika ada sumur di ladang, dapat kita menumpang mandi; jika ada umur panjang, dapat kita berjumpa lagi pada lembaran yang lain. Terima kasih.

Saya yang benar,
t.t.
…………………
(Cecelia Yap)
(465 perkataan)



ULASAN FORMAT DAN ISI
SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI DI ATAS

1. Surat kiriman rasmi di atas tertulis menurut format yang betul dan tepat. Ertinya surat yang ditulis Cecelia Yap dari Sekolah Menengah Sains Muar kepada rakannya di Sekolah Menengah Sains Raja Azlan Shah, Taiping, Perak ini adalah contoh karangan bercorak surat tidak rasmi yang baik.

2. Surat diakhiri dengan ucapan terima kasih dengan harapan berjumpa lagi pada lembaran lain. Ada surat dibiarkan tergantung begitu sahaja tanpa kesimpulan.

3. Surat tidak rasmi ini agak panjang kerana tertulis dalam lingkunan 465 perkataan.

4. Pada dua perenggan awal penghadap lembarannya, Cecelia menyebut penerimaan surat si kawan serta faham akan kandungannya. Dia juga mengkhabarkan diri dan keluarga dalam keadaan baik dan berharap Baha bin Mohd Arif serta keluarganya begitu.

5. Urutan kandungan surat Cecelia pada keseluruhannya baik dan lancar bermula daripada sikap kagum kita terhadap keupayaan pakar asing memanfaatkan biotek untuk menghasilkan produk seperti serbuk pemanis semula jadi jenama Greenlite.

6. Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian dan contoh, seperti perenggan di atas. Karangan biar dalam bentuk sekali pun, nampak lemah dalam konteks ini. Maksudnya ada AYAT TAJUK, tetapi tidak ada huraian dan tidak ada contoh. Jika ada contoh pun, tidak relevan.

7. Cecelia seterusnya mengutip maksud istilah ‘bioteknologi’ dan ‘kejuruteraan genetik’ seperti huraian penceramah. Secara lebih spesifik, dia juga menghuraikan sejarah asal ‘kejuruteraan genetik’ itu.

8. Cecelia juga menyelitkan idea dan pandangan bernas terhadap kepentingan biotek kepada pembangunan pertanian pada masa depan. Pandangan bernas dan jitu ini terungkap pada tiga perenggan terakhir suratnya itu.

9. Dengan keadaan begitu, dia bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang biotekmedik iaitu gabung-jalin biologi, teknologi, dan medik ataupun perubatan.



ULASAN ASPEK GAYA BAHASA

1. Surat ini ditulis menggunakan laras bahasa sains dengan tepat dan relevan seperti kehendak soalan. Kelemahan calon yang ketara dalam konteks begini ialah tidak jelas akan pengungkapan laras sains.
2. Selain diksi dan frasa sains dan teknologinya, calon juga perlu menerapkan gaya dan lengguk ayat-ayat sains. Maksudnya ayat laras lebih tepat, jitu, ringkas, dan padat berbanding laras bahasa sains sosial.
3. Ayat gramatis dengan penggunaan kos dan frasa kata yang luas lagi tepat menyebabkan surat Cecelia ini sedap dibaca. Misalnya ialah ‘mengagumi kepintaran pakar’, ‘pemprosesan hasil tani’, ‘permanipulasian psiologi’, dan ‘modifikasi struktur kromosome orgarnisme hayat’.
4. Jesica turut menggunakan ungkapan menarik lagi indah yang dipetik daripada peribahasa Melayu seperti ‘tepuk dada tanya selera’, yang bermaksud ‘fikir dahulu, baru bertindak’.
5. Penyelitan ungkapan indah seperti peribahasa menarik ini bakal mengindahkan karangan anda biar apa corak sekalipun.
6. Begitu juga dengan pengungkapan serangkap pantun sebagai penutupan surat kiriman terutama bagi yang bercorak tidak rasmi seperti tulisan Cecelia ini.
7. Calon digalakkan menerapkan bahasa indah seperti peribahasa dan pantun Melayu, lantaran kedalaman maksud dan pengajarannya, selain dapat mempopularkan kedua-dua genre berkenaan oleh kalangan generasi sekarang.
8. Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.

1 comment:

hrgroup2u said...

Dr. kenapa saya cuba menghubungi Dr. tak dapat nih, ada masalah ke? - Mahfuz