Kun fayakun firman Allah Ta’ala dalam kitab suci al-Quran, surah Yasin, ayat 82. Undian sudah dijalankan dan aku akan memulakan servis dengan penuh keyakinan dan ketakwaan kepada Pencipta Sekalian Alam.
“Sesungguhnya keadaan kekuatan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanya Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu, ‘Jadilah engkau, maka ia terus menjadi’, dengan lafaz bismillah dan keazaman berpijak pada maksud ayat ini, aku memulakan servis. Ace demi ace dapat kucipta, syukur kupanjatkan kepada Ilahi.
Aku meletakkan bola betul-betul di titik pertemuan garisan belakang, memberi mata 15-0 untuk ace pertama dan seterusnya memenangi set pertama 6-2.
Permainan baru bermula, sorakan berpihak kepada pemain tuan rumah dan ejekan melantun kepadanya. Aku terpaksa melawan sorakan ribuan penonton dengan kekuatan batin menyahkan belenggu kuasa penjajah Barat.
Kesempatan terluang dalam studi Ph.D. dimanfaatkan ayah ibu untuk menelaah kitab suci al-Quran. Keluasan dan kedalaman ilmu kitab suci dibaca, dihalusi, ditelaahi, dan dihayati mereka, sedikit demi sedikit. Kekuatan ayat-ayat itulah yang hadir dalam diriku, memberi suatu pasakan kekisian perjuangan gigih, tempias daripada kesungguhan ayah ibu hendak menjadi al-hafiz bersama-sama selembar ijazah Doktor Falsafah.
Pertandingan masih panjang. Takbur amat dikutuki Islam. Ayahku mengajariku begitu.Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Aku tepat-tepat merenungi wajah lawanku apabila dia memenangi set kedua, menjadi kedudukan terikat satu-satu, persis terikatnya rundingan Tunku-Britain untuk mengkeramatkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan negara, seperti ceritera moyangku dalam catatan hariannya.
Kupalingkan pandangan kepada wajah ayah dan ibu. Wajah mereka memercikkan kegundahan jika aku terus melakukan double faults dan unforced errors. Servisku kali ini tidak berapa menjadi, terkandas di jaring ataupun melepasi garisan belakang untuk menerima hukuman double faults. Lebih malang apabila aku memukul bola ke jaring, yang tidak sepatutnya, bagi memberi mata mudah kepada lawan, terhukum akibat unforced errors.
Akal fikir dan renungan firasatku menggemuruhkan gelanggang utama dengan tepuk sorak serta kibaran Jalung Gemilang oleh kalangan penuntut Malaysia yang menjadikan Universiti Oxford dan Cambridge tempat penimbaan dan pengukiran ilmu atas nama kegemilangan minda kelas pertama.
Aku bangun daripada kekhilafan. Aku sedar daripada sintakan dan kejutan kilasan silang yang tajam lagi tepat daripada Herman Jr.
“Kekuatan fizikal dan mental perlu seiring dalam apa juga permainan.”
Pesanan ayah selaku jurulatihku sentiasa menjadi kekuda kekuatan diriku.
Begitulah, aku dapat menjinakkan Curia dari Argentina pada pusingan pertama. Kilasan lintang dengan letakan bola tepat di ruang kosong menjadi senjataku mematikan langkah lawan bernama Styvain Marconnet dari Peranchis pada pusingan kedua.
Penjajahan Paris ke atas Algeria menjana kudrat kilasanku memaksanya membuat kesilapan demi kesilapan, suatu pembalasan dendam atas nama khianat terhadap bangsa terjajah seagama denganku.
No comments:
Post a Comment