Tuesday, March 1, 2011

Syawani Insan Pilihan Ilahi


Syawani insan pilihan. Gadis awal dua puluhan ini insan istimewa memiliki kepintaran akal-budi dan kecantikan. Ketika mengikuti program Doktor Falsafah dalam bidang bio-tek-medik (gabungan disiplin biologi, teknologi, dan perubatan), dia mengakui hakikat bahawa ‘brain and beauty must come together’.
Ibu bapanya orang biasa, tidak pernah injaki dan belajar di universiti. Ertinya, maksud ‘bapa borek, anak rintik’ memang dapat dipertikaikan dalam kes gadis cerdik ini.
Pada tahap SPM, Syawani memperoleh kesemua 1A bagi kesebelas subjek yang didudukinya. Dia sendiri tidak berapa percaya dengan kecemerlangan itu lantaran kedua-dua orang kakaknya tidaklah secemerlang begitu.
Yang sulung melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sesudah lulus agak baik tahap SPM. Sudah berkahwin dan dikurniai dua cahaya mata.
Yang tengah berkelulusan lebih baik sedikit lalu melanjutkan pelajaran tahap ijazah pertama dan kedua (MA), kedua-duanya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Juga sudah berumah tangga pada tahun 2010 dan kini sudah ada seorang anak kesayangan.
Syawani lebih bernasib baik. Grey dan white matters dalam kedua-dua bahagian otaknya sama kuat, sama seimbang, beriringan pacu memacu satu sama lain. Masakan tidak, selain subjek sains dan matematik, dia juga memperoleh pangkat 1 A bagi subjek seni lukis, bakat yang mengalir daripada ayahanda tercinta.
Sesudah mengikuti Program Matrikulasi setahun di bumi bertuah, pada kali ini, Syawani berasa bertuah dapat terbang dengan Air Asia ke Melbourne, Australia, persis titisan air matanya ketika merenungi kakaknya menaiki pesawat yang sama ke Kuching Sarawak, sehingga hilang daripada pandangan.
Kini, dia juga merasai keseronokan itu. Aduh, alangkah gembiranya teluk hati Syawani. Kegembiraan itu berkinja-kinja sambil terbang nyaman, selesa, dengan layanan mesra pramugara kacak-segak dan pramugari cantik-molek, terapung tenang membelahi awan-gemawan, merenungi keteduhan lautan membiru, seteduh tasik bening waktu dinihari.
Bonda juga terbang dengan pesawat Air Asia ketika memberi semangat kepadanya pada semester terakhir. Restu ayah bonda dan semangat gigih hendak terus unggul, maka akhirnya dia memperoleh Ijazah B Sc dengan kepujian Kelas Pertama.
Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Dengan keterbilangan begitu, Syawani menerima tawaran biasiswa universiti melanjutkan pengajian tahap Ph.D.
Kepadanya, Air Asia dengan tawaran tambang istimewanya banyak memberi kesempatan untuk pulang ke Petaling Jaya, tempat ayah dan ibunya tinggal dan bekerja.
Pada tahun 2010, kesempatan untuk terbang dengan Air Asia terbuka tiga kali : Meraikan majlis perkahwinan kakak keduanya; majlis pertunangannya; dan cuti Hari Natal.

No comments: