Monday, March 28, 2011

"Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz" (1)

Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana ada segelintir dalam kalangan umat kita yang mendoakan kelahiran tokoh beriman maksudnya ulama untuk menerajui kepemimpinan negeri dan negara.
Sekali gus itu pula, kita memanjatkan doa agar Allah ta'ala memberi kemenangan kepada pihak yang benar dalam kemelut politik negara yang nampaknya cukup meresahkan waktu kebelakangan ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memang insan pilihan dan istimewa pada sisi Allah ta’ala. Ulama terkenal ini bermula dengan langkah kanan dan percubaan pertama benar-benar membawa tuah dan rahmat.
Pada pilihan raya umum parlimen dan negeri 1990, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Semut Api bagi membolehkannya mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 21 Oktober 1990. Pilihan raya itu menyaksikan beliau yang mendapat 9,504 undi menewaskan calon BN, Hj Wan Mat dengan majoriti 6,993 undi.
Sehingga kini pentadbiran Kelantan di bawah kepemimpinannya dapat bertahan lebih dua dekad lamanya, sesuatu yang amat luar biasa dalam sejarah, berakibat daripada kesenangan rata-rata rakyat terhadap falsafah dan tema perjuangan ‘Membangun Bersama Islam’.
Tiap-tiap pilihan raya umum parlimen dan negeri pada tahun-tahun berikutnya 1995, 1999, dan 2008 begitu selesa dilalui parti kecuali tahun 2004, membuktikan ketersohoran perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang bersendikan falsafah kepemimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran sehingga dapat menjulang nama Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri’.
Betapa tidak, sejak bangkitnya semula kepemimpinan ulama dalam parti mulai 1983, maka penghayatan dan pengamalan ciri kepemimpinan Islam merujuki al-Quran, Sunnah, ijmak, dan qias dalam proses penyatuan keputusan dengan tindakan jelas ketara begitu meluas lebih-lebih pada zaman pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz.
Tetapi sebelum itu, khususnya tahun-tahun 1977-78, Pas mengalami perubahan yang agak radikal terutama berhubung dengan nasionalisme. Ada dua faktor ketara di sebalik perubahan drastik ini. Yang pertama disebabkan oleh kemasukan bekas pemimpin Abim, Fadzil Mohd Noor, bersama-sama dengan Ustaz Nakhaie Ahmad, dan Abdul Hadi Awang, sementara yang kedua faktor perletakan jawatan Asri Haji Muda selaku presiden sesudah bertali arusnya krisis kepemimpinan parti pada 1982.
Pemimpin baru ini yang terdiri dariapda ulama telah bergabung diri dengan ulama sedia ada seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Yusof Rawa. Mereka telah memperjuangkan prinsip Islam yang lebih murni dan tulen yang terpaksa memisahkan semangat Melayu dan nasionalisme.
Hasil dorongan guru agama yang berkarismatik tinggi seperti Ustaz Abdul Hadi Awang dari Terengganu sekali gus diperkuat pula oleh reaksi di sebalik penyertaan Anwar Ibrahim dalam Umno pada tahun 1982, maka Pas mulai membina dan memperbaharui agenda Islam, berbeza daripada yang diperjuangkan Umno. Parti telah berjaya membina tapak berpijak baru di Kedah dan Perlis serta memperluas pengaruhnya di pusat-pusat bandar dan universiti-universiti menjelang pertengahan tahun-tahun 1980an. (Hilley, John. (2001: 183).
Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah tokoh ulama tersohor di sebalik perubahan drastik ini di Kelantan. Beliau telah merealisasikan model kepemimpinan ulama moden yang teruji dengan jayanya sehingga kini. Ertinya beliau mulai memperkenalkan budaya hidup Islam biarpun secara beransur-ansur. Misalnya, hasil daripada sumber haram seperti ternakan babi dan lesen anjing diasingkan daripada hasil yang halal, justru yang haram digunakan untuk kepentingan bukan Islam sahaja. Judi dan minuman keras turut diharamkan kepada umat Islam.
Tarian Mak Yong biarpun tidak begitu digalakkan tetapi masih menjadi amalan masyarakat desa. Beliau juga telah memperkenalkan bekerja lima hari seminggu lantaran beliau sedar kerapuhan dan kepincangan rumah tangga berpunca daripada kesibukan wanita yang bekerja.
Tuan Guru Nik Aziz memberi nafas dan status baru kepada suasana politik dan nilai moral dalam kalangan masyarakat setempat. Kemenangan teramat besar Pas tahun 1990 itu terukir bersama-sama APU, berfaktor daripada sini. Justru tokoh ulama ini tidak tamak kuasa, maka saf anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengandungi tokoh-tokoh ketiga-tiga parti gabungan – Pas, Semangat 46, dan Berjasa.
Mereka terdiri daripada lulusan agama Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Idris Ahmad, dan seorang lulusan undang-undang Datuk Abdul Halim Muhammad, keempat-empatnya mewakili Pas; Datuk Rozali Isohak (bekas pegawai tadbir negeri), Datuk Daud Jaafar (tokoh perniagaan), dan Zainon Abdin Ali (bekas pegawai bank), ketiga-tiganya mewakili S46; dan Datuk Wan Hashim Ahmad (lulusan undang-undang) mewakili Berjasa.
Justru tidak hairanlah barisan saf berkelulusan agama dan undang-undang ini dapat dan bersetuju menerima slogan ‘Membangun Bersama Islam’, hasil cetusan pemikiran dan keputusan pimpinan Tuan Guru Nik Aziz sebagai manifesto Pas Kelantan menghadapi pilihan raya 1990.
Pada waktu itu, Datuk Nik Aziz ialah Pesuruhjaya Pas Kelantan merangkap Ketua Dewan Ulama Pusat. Jawatankuasa Manifesto Pusat Pilihan Raya dipengerusikan Ustaz Abdul Halim selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri. Sesudah memperoleh kemenangan besar dan mutlak, parti-parti APU bersetuju menerimanya sebagai slogan ‘perancangan dan pembangunan negeri’.

No comments: