Wednesday, March 9, 2011

"Dunia di Pergelangan Tanganku" (1)

Latar waktu : Julai 2057
Latar tempat : Wimbledon

Aku hendak memaknakan kemerdekaan satu abad negaraku dengan mengungguli kejohanan tenis remaja Wimbledon. Azam ini sudah kupacakkan kukuh-kukuh dalam sanubari sejak menginjaki pesawat udara MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, berangkat bersama-sama ibu bapaku dengan iringan doa restu penuh syahdu.
Bawalah siapa sahaja daripada keturunan William Renshaw, atau Laurie Doherty, atau Renggie Doherty, aku tidak gentar. Ketengahkanlah warisan Fred Perry dari Great Britain atau Ken Rosewall dari Australia, atau Bjorn Borg dari Sweden, aku tidak gentar.
Tampilkan juga jaguh-jaguh sehebat Pete Sampras, Anthony Wilding, Rod Laver, dan Roger Federer, aku tidak takbur.
Kekuatan telaga batin dan teluk rasa yang hadir dalam diriku sudah cukup bersedia menghadapi persaingan sengit getir di ombak cabaran.
Sekarang aku terpacak di gelanggang utama Wimbledon. Dalam usia 12 tahun, keceriaan benar-benar menerjah tebing hatiku, mencengkam cabaran terakhir sebelum meraih kejuaraan. Di seberang gelanggang sudah tersedia lawanku, tegap sasa terpacak bagai tembok besi yang angkuh kukuh teguh, dengan keazaman sama.
Riuh-rendah tiap-tiap sudut gelanggang rumput ini, bagai sorakan untuk juara peserta tuan rumah, bakal dikalungi Henman Jr. Pertemuan ini semacam pertemuan rundingan empat mata perjuangan dan rundingan rombongan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan Chin Peng, seperti diceritera moyang kepada datuk dan kemudian kepada ayahku sebelum diturunkan kepadaku.
Sentimen kebenuaan menyulit usaha pemupukan persefahaman sejagat biarpun perkampungan global selalu heboh dalam retorik bicara forum antara benua entah bilakah nokhtahnya.
Aku mengesani sentimen itu seawal cucu Tim Henman itu mendepangi dadanya memasuki gelanggang, di tengah-tengah gemuruh sorakan khalayak. Pemain muda tinggi lampai ini semacam hendak menebus kekalahan datuknya yang langsung tidak pernah melepasi pusingan kedua kejohanan Tenis Wimbledon akhir sembilan puluhan dan awal dua puluhan.
Al-kisah keturunanku orang baik-baik daripada jalur Raja Iskandar Zul-Karnain, pahlawan terkenal gagah lagi gah. Keturunan demi keturunan hingga sampai kepada Raja Suran. Perkahwinan baginda dengan puteri dari negeri bawah laut menguakkan tangisan tiga putera dinamai Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama.
Berkat daulat ketiga-tiga putera raja serta keramat lagi bertuah bumi hijau hutan belantara Bikut si Gunung Mahamiru, memakmurkan rezeki pencarian berkat ketekunan gerak kudrat dan panjatan doa ke hadrat Ilahi, Wak Empuk dan Wan Malini. Padi mereka subur jadinya, berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa, manifestasi daripada kegigihan membanting kudrat dan mencerna akal fikir memakmur rezeki diri dan negeri.
Bukan aku hendak memandai-mandai datang bertarung dengan gergasi dunia di sini. Aku sudah melepasi ujian mengungguli kejohanan, berkat keramatku bermain sejak kecil dengan anak jiran di Lancester, United Kingdom.
Setengah abad lampau, Roger Federer mengungguli kejohanan berprestij ini. Enam kali berturut-turut dia menjadi juara, mengalahkan kehebatan Bjorn Borg. Tahun keramat kemerdekaan seabad negaraku, kini aku terpaksa mendepani cucunya pada peringkat separuh akhir dengan kemudahan mudah, di luar jangkaan, justru terima kasihku kepada kehebatan acesku ketika membuat servis demi servis, sesuatu dominasi yang amat penting dalam pertandingan seperti ini.
Aku piut datukku, peminat setia dan sejati Roger Federer. Aku dilahirkan di bumi kuasa penjajah utama dari Barat ini ketika ayah ibuku menelaahi penemuan saintifik untuk selembar ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.). Ketika ubun-ubun masih lembut dalam usia tujuh tahun, hati kecilku terusik oleh sentuhan raket anak jiran. Namanya Roddick, menelusuri ingatanku kepada coretan datuk dalam hariannya, pemain tenis AS sezaman dengan Federer.
Kami sekeluarga berangkat pulang apabila ayah ibu meraih keputusan cemerlang lagi terbilang untuk ijazah mereka. Kemahiran bermain tenis terasa dengan Roddick memaknakan kehadiranku dalam kalangan warga Putrajaya. Cemuhan kuterima bersama-sama ejekan dan usikan yang tidak bertebing biar ke mana sahaja wajahku berpaling.
“Bukan bangsa kita dapat menerjah dunia dengan kejuaraan tenis. Belum ada pemain Asia dan Afrika yang mengungguli kejuaraan besar dan hebat seperti terbuka Australia, Peranchis, Wimbledon, dan AS,” sindiran itu masih terakam dalam rongga telingaku.

No comments: