Sunday, March 27, 2011

Kebebasan Berkreativiti Wajab Diberikan kepada Karyawan

Seni bermaksud hasil kreativiti manusia seniman melalui pelbagai genre seperti sastera, muzik, lukisan, tarian, kraftangan, seni tampak, seni lakonan dan nyanyian. Kesemua hasil kreativiti manusia seniman ini diperlukan hatta seberapa tinggi sekali pun kemajuan sains dan teknologi sesebuah negara untuk menjadi santapan rohani dan halua telinga rakyat. Tanpa seni, jiwa rakyat akan menjadi kosong dan lesu.
Justru, peranan seni dan pembangunan negara tidak dapat dipandang ringan kerana negara tanpa seni akan menjadi negara tanpa jiwa.
Manusia seniman perlu dan malahan wajib diberi kebebasan semutlak mungkin dalam proses pengkaryaan mereka. Apabila keaslian hasil kreativiti mereka dipinda, diubahsuai, dan dipancung di sana sini, ertinya kebebasan berkarya itu sudah tidak wujud lagi.
Manusia memerlukan tuntutan sepadu di antara santapan rohani dengan jasmani. Aspek kerohanian menuntut pemenuhan citarasa segi dalaman, menyentuh aspek moral dan kejiwaan. Individu yang semata-mata mementingkan teknologi contoh teknologi maklumat dan komunikasi seperti yang meledak hebat sekarang, akan menjadi manusia robot, yang pincang, serba resah gelisah, kasar, bengis, dan biadap. Natijahnya dapat diperhatikan daripada tindakan ganas sampai melakukan pembunuhan hatta terhadap kanak-kanak, tanpa ada rasa ehsan, belasan kasihan, dan perikemanusiaan.
Tamadun silam seperti yang dibuktikan oleh tamadun Islam bermartabat seni lantaran ketinggian mutu seni kreatifnya termasuk seni sastera, ukiran, dan muziknya. Contohnya dapat diperhatikan daripada ketinggian mutu seni ukiran Islam pada masjid dan bangunan bersejarah di seluruh dunia. Ketinggian seni kreatif ini memancarkan kekuatan akaliah dan ketajaman intelektual si penciptanya. Penghayatan terhadap ketinggian nilai ukir Islam pada masjid-masjid ternama di negara kita dapat mengubati hati yang luka, menenteramkan jiwa yang resah, meredahkan ketegangan akibat buruan teknologi canggih.
Koleksi seni yang terpelihara dengan baik dapat dijadikan khazanah warisan bangsa dan negara demi kepentingan generasi akan serta daya tarikan kepada pelancong. Dalam konteks ini, peranan seni dapat diangkat untuk memenuhi cita rasa kebendaan sebab dapat menghasilkan tukaran wang asing melalui kedatangan pelancong asing.
Akhirnya, karya seni sebenarnya dapat mendidik insan berjiwa murni, beretika, dan bermoral. Banyak andaian mendakwa bahawa ICT yang berkembang pesat menjadi faktor keganasan dan kepincangan moral di kalangan muda-mudi. Yang ditonton melalui internet misalnya mengajar kanak-kanak berjiwa kasar dan sehingga sampai menjadi pembunuh. Kalau begitu, pendidikan seni dapat mengimbangi keganasan ini dengan nilai budi dan peri kemanusiaan yang mendalam.

No comments: