Tuesday, March 15, 2011

"Chong Wei hargai sumbangan dana unitt saham PNB RM100,000"

Foto Bernama di sebelah menunjukkan keceriaan wajah jaguh Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei semasa mempamerkan jam tangan sumbangan peribadi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Peristiwa paling bermakna buat pemain utama berusia 29 tahun dunia itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut menghargai sumbangan kerajaan berupa Unit Saham Perbadanan Nasional Berhad PNB bernilai RM100,000 yang disampaikan sendiri Datuk Seri Najib pada majlis sama. Sumbangan besar ini amat signifikan demi masa depan Chong Wei sendiri.
Majlis jamuan sarapan pagi itu berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya semalam (15 Mac 2011) kerana meraikan kejayaan Chong Wei merangkul kejuaraan perseorangan Kejohanan Badminton All-England dengan menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan di Arena Tertutup Birmingham, sejurus sesudah tengah malam pada hari Isnin.
Sebaik pulang ke tanah air, awal pagi kelmarin, Chong Wei masih memerlukan Datuk Misbun Sidek, sebagai mentor dan jurulatih peribadinya dalam usahanya hendak memburu dua gelaran iaitu Kejuaraan Dunia di Wembley Ogos depan dan pingat emas Olimpik di London 2012.
Pemain bersemangat kental ini menyuarakan keyakinannya bahawa Misbun akan kembali membimbingnya demi misi negara.
Misbun yang meletak jawatan sejak 31 Disember, tahun lepas masih membisu walaupun pelbagai pihak sudah menemui jurulatih perseorangan itu bagi merungkai kemelut yang bergelut.
Kepada Cheong Wei, kemenangan menewaskan Lin Dan dan sumbangan dana kerajaan
RM100,000 itu semacam menyuntik semangat baru kepadanya untuk memburu kedua-dua kejuaraan berkenaan.
Beliau menyuarakan keyakinan besar itu pada majlis sarapan pagi bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya.
Beliau percaya pencabarnya, Lin Din pasti akan menukar corak permainan pada pertemuan akan datang dan justru beliau berjanji terus gigih berlatih secara konsisten bagi membina kekuatan daripada segi mental dan fizikal yang lebih ampuh dan kental.
Chong Wei berjanji akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memenangi lebih banyak kejohanan pada masa akan datang.
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengucapkan tahniah kepada jaguh badminton negara itu, kerana mampu mempertahan mahkota kejuaraan berprestij Seluruh England selepas menumbangkan Lin Dan pada perlawanan final, kelmarin.
“Kegigihan serta semangat Malaysia Boleh yang dimiliki Datuk Lee ternyata menjadi tunggak kepada beliau untuk sekali lagi menjuarai kejohanan berprestij bagi sukan badminton. Kejayaan ini membuktikan sifat tidak mudah mengalah dalam menghadapi cabaran, akan membuahkan hasil yang diidamkan.
“Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan Datuk Lee harus dijadikan contoh rakyat Malaysia khususnya ahli sukan lain supaya terus berusaha mengecap kejayaan bagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pesanan Muhyiddin ini perlu diberi perhatian serius dan penuh prihatin golongan muda melalui pengangkatan Chong Wei sebagai idola mereka dalam usaha gigih hendak melahirkan barisan pelapis arena badminton negara yang selamanya tersohor sejak era Ong Peng Song dan Eddy Chong lagi.

No comments: