Saturday, March 12, 2011

"Hala Tuju Sukan Negara menjelang 2020"

Kemajuan sukan negara tanggungjawab bersama membabitkan semua pihak prihatin lagi bertanggungjawab daripada segi sosial dan komitnen kewangan khusus tokoh korporat dan sektor swasta.
Kepada saya secara peribadi, hala tuju sukan perlu seiring dan sealur dengan objektif Wawasan 2020 untuk merealisasikan cita-cita menjadikan Malaysia negara maju mengikut acuan sendiri dalam tempoh sembilan tahun akan datang.
Hala tuju sukan juga perlu berpremiskan Dasar Sukan Negara, yang sepatutnya sudah tergubal cantik sesudah menyaksikan kemajuan dan kemerosotan negara sejak 53 tahun merdeka.
Status negara maju kepada kita perlu melihat perkembangan dan status sukan dalam periode sembilan tahun ini berada pada tahap dan piawaian global, cemerlang, gemilang, dan terbilang, persis prestasi cemerlang China sebagai kuasa besar ekonomi global abad ini, pada temasya Sukan Olimpik Ogos 2008.
Ertinya hala tuju sukan negara patut mencontohi negara maju yang pantas melahirkan atlit unggul dalam disiplin tertentu seperti badminton, squsy, hoki, bola sepak, bowling dan bowling padang.
Kita sudah dapat berbangga dalam arena badminton dan squsy, tetapi kejayaan jagoan yang ada kini perlu diperkejapi dengan kelahiran bakat baru sebagai sandaran ayam tambatan masa depan untuk meraih emas pada apa juga temasya sukan seperti Komanwel dan Olimpik.
Bukan nak katalah, arena badminton wanita semacam ketandusan pemain sedangkan bahagian laki-laki nampaknya bergantung bulat-bulat kepada Datuk Lee Chong Wee, yang kini bergelut hendak mempertahankan gelaran All-England di Birmingham, yang dimenangi tahun lepas (2010).
Selisih faham kalangan pegawai bakal melunturkan semangat pemain jagoan kita.
Seandainya permainan Datuk Nicol David merosot, kepada siapakah kita hendak menggantungkan harapan dalam arena squasy?
Serentetan dengan ini, hala tuju sukan perlu melihat kepada kelahiran ‘modal insan’ kelas pertama negara khusus kalangan penggerak dan penggiat sukan lebih-lebih lagi kalangan atlit.
‘Modal insan’ kelas pertama menuntut kepemimpinan dan kejurulatihan tinggi seperti yang dibuktikan oleh kejaguhan dunia selama ini.
Kepemimpinan sukan perlu profesional dalam urus tadbir badan sukan serta latihan dan kejurulatihan. Latihan pula perlu memberi penekanan kepada aspek psikologi selain taktik dan strategi menghadapi lawan di tengah-tengah gelanggang.
Pengalaman itu penting tetapi tidak sepertinya wajib dan justru pendedahan kalangan atlit kepada kejohanan berprestij peringkat global perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Tengok sahaja China, pemain utama mereka, Lin Dan sengaja disimpan tanpa pendedahan, dalam keadaan terus giat berlatih secara profesional. Tengoklah hasilnya. Tetapi kita tidak begitu. Selagi ada pertandingan tahap antarabangsa, selagi itulah Chong Wei menjadi taruhan.
Sebagai contoh, pengalaman kurang bersekali dengan taktik dan helah tidak menjadi membawa padah kepada Andy Murry, pemain berusia 23 tahun dari England, tersekat pada peringkat separuh akhir biarpun sebelumnya dapat menjinakkan pemain pilihan utama Roger Federer, dalam pertarungan sengit peringkat kumpulan tahun 2008.
Impian Murry untuk menamatkan kemarau negaranya selama 62 tahun pada kejohanan tenis Piala Masters di Shanghai, tidak menjadi disebabkan keghairahannya hendak menumpaskan bekas pemain nombor satu dunia itu, sedangkan dia sendiri sudah layak ke peringkat separuh akhir.
Pada awal tahun 2011, dia sekali lagi kecewa dalam keghairahannya hendak memburu kemenangan pada Kejohanan Terbuka Australia di Melbourne, apabila tewas mudah kepada Djokovic pada pertandingan akhir.
Kejurulatihan dan latihan perlu memberi penekanan kepada aspek psikologi dan taktik menikam diri seperti contoh Murry ini dalam kalangan atlit negara.
Akhirnya hala tuju sukan negara perlu berpremis kepaduan dan kesatuan kalangan rakyat pelbagai kaum kerana semangat setiakawan dan kerjasama padu sahaja dapat menerjah imej dan maruah negar-bangsa ke persada global melalui prestasi dan pencapaian terbilang dalam sukan.

No comments: