Wednesday, March 30, 2011

"Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Aziz" (6)

(6)
Pas selamanya berminat kepada gagasan mewujudkan perpaduan ummah bersendikan agama Islam biarpun tiap-tiap pemimpin berkenaan membawa gaya kepemimpinan tersendiri.
Hakikat inilah yang wajar disedari dan diambil ikhtibar oleh perwakilan yang bakal menghadiri muktamar parti tahun demi tahun.
Memang ada kecenderungan Pas hendak berbaik-baik dengan Umno tetapi nampaknya keikhlasan parti Pas itu semacam diperlukan apabila parti lawan sudah terdesak.
Datuk Asri telah menunjukkan keikhlasan ini era Tun Razak tetapi di bawah Hussein Onn (Tun), Pas disingkirkan sesudah kedudukan Umno begitu selesa. Sesudah tsunami politik nasional dalam keadaan naïf dan nazak, Umno semacam hendak menagih simpati daripada Pas. Sewajarnya Pas yang menjemput Umno bekerjasama.
Pastinya muktamar dapat menjadi ukurtara dalam penentuan hala tuju masa depan parti lebih-lebih lagi sesudah mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum kedua belas pada 8 Mac 2008 lepas.
Maka berkatalah Datuk Husam Musa selaku Naib Presiden Pas ketika berlangsungnya Muktamar ke-54 Pas di Ipoh mulai 15 Ogos 2008: “Keputusan Pas menolak apa juga bentuk kerjasama dengan Umno dan BN untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada pada peringkat Pusat mahupun negeri bukan sahaja untuk masa sekarang malah buat selama-lamanya”.
Seperti akuan Abdullah Ahmad Badawi yang melepaskan jawatan Perdana Menteri pada bulan Jun 2010, setidak-tidaknya sudah berlangsung tiga kali pertemuan apa yang disebut sebagai muzakarah pemimpin peringkat tertinggi kedua-dua parti terbabit.
Sebelum itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayang kesediaan parti hendak berunding dengan Umno ke arah pembentukan kerajaan campuran di Perak, biarpun pada tahap awalnya, beliau diberitakan amat keberatan hendak mengadakan pertemuan berkenaan demi keperitan dan kepahitan pengalaman disingkirkan daripada BN era Hussein dahulu dengan pengisytiharan undang-undang darurat di Kelantan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Sambil menyifatkan pertemuan Pas-Umno satu anjakan paradigma, Presiden parti Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang berkata, “Sekutu Pas atau parti lain dalam Pakatan Rakyat tidak perlu bimbang kerana pertemuan berkenaan langsung tiada kaitan dengan soal Pas mahu bergabung dengan Umno ataupun masuk BN.
"Tidak ada perpecahan dalam PR. Kenyataan saya sebelum ini, kita tidak buat muzakarah.Yang ada cuma muqabalah. Kita tidak adakan perdebatan, yang ada Cuma kita kemukakan masalah yang berlaku. Dulu ketika timbulnya isu Bosnia, Palestin, dan Majlis Pembangunan Ekonomi Negara (Mapen), kita adakan pertemuan dengan kerajaan dan kita kemukakan idea untuk selesaikan masalah.”
Beliau membuat penjelasan begitu pada sidang media sesudah merasmikan Konvensyen ke-13 Pas Perak, di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, Ipoh, Perak pada 26 Julai 2008.
Dalam pada itu, Dewan Ulama Pas Pusat yang bimbang akan nasib dan kedudukan orang Melayu-Islam dalam situasi politik semasa di negara ini, mahu pendekatan muzakarah atau muqabalah dengan Umno diterima dengan ‘dada yang lapang’.
Malah, ketuanya, Datuk Muhammad Daud bersetuju jika ada cadangan hendak menyatukan umat Melayu-Islam bernaung di bawah satu parti demi perpaduan ummah lebih-lebih lagi sesudah tsunami politik nasional 8 Mac 2008. (Mingguan Malaysia. 27 Julai 2008: 3).
Sewaktu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Mohd Tajul Rosli Ghazali mempelawa Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas terus diterima menjadi Menteri Besar. Beliau juga diberitakan tidak mahu memegang jawatan Exco.
Ironinya dalam keadaan nazak dan sesudah memburuk-burukkan Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar baru Perak, maka kemudian timbul pula tawaran untuk berbaik-baik demi kononnya perpaduan Melayu. Benar seperti kata Datuk Nik Aziz, “Politik mesti buat berhati-hati … takkan 50 tahun punya kes nak selesai dalam sehari.”
Begitu sinis beliau berkata yang hanya dapat difahami mereka yang arif akal-budinya dan jauh pandangannya: “Kita tengok dunia sekarang ini pun tak selesai masalah, mesti ada orang tengah macam Israel nak damai dengan Syria dan Turki”.
Benar juga seperti kata Datuk Husam Musa lagi: “Jika membawa Malaysia memasuki dimensi dan hala tuju baru, negara sebenarnya memerlukan pembentukan sebuah kerajaan baru dengan membabitkan gabungan Pakatan Rakyat terdiri daripada Pas, Parti KeADILan Rakyat dan DAP.”
Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan, dan Kebajikan Kelantan di bawah kepeimpinan Datuk Nik Abdul Aziz sendiri.
Tetapi pujian patut diberikan kepada kerajaan Perak pimpinan Datuk Seri Ir Nizar kerana bertegas menolak pelawaan bekas MB Perak itu dengan ikrar terus bersama PR.
Sebenarnya satu penghormatan kepada kerajaan Perak pimpinan Pas dan malahan parti itu sendiri peringkat negeri apabila muktamar parti berlangsung di Ipoh mulai 15 Ogos 2008.
Peristiwa bersejarah ini di luar lingkaran perkiraan rata-rata penganalisis politik, pastinya berpunca daripada kejatuhan kerajaan BN pada tsunami politik 8 Mac 2008.
Agenda utama mengisi perbincangan dan perbahasan sepanjang muktamar tiga hari 2008 itu tidak lain daripada muzakarah dan muqabalah Pas-Umno yang konon ceritanya sudah terintis sejak kegawatan teruk Umno dan BN lagi.
“Muzabalah boleh, politik jangan lagi… tolak ke tak tolak (penggabungan dengan Umno) kita kena bincang dulu,” kata Nik Aziz sesudah melancarkan tabung penambahbaikan Masjid al-Baroah serta ceramah Israk Mikraj di Kota Baru. Hebat! Demikianlah peribadi yang dituntut hadir dalam kalangan ummah Islam sejak dua dekad lampau!

No comments: