Monday, March 28, 2011

Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Aziz (2)

(2)
Pengalaman teradun dalam sanubari dan fakulti fikiran sejak terpilih menjadi anggota parlimen kawasan Kelantan Hilir pada pilihan kecil 1967, meranumkan keyakinan diri untuk mendepani rakyat Kelantan dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’.
Tuan Guru Nik Aziz menewaskan calon BN Tengku Noor Asiah dengan majoriti 3,259 undi pada pilihan raya kecil itu. Kerusi parlimen berkenaan terus dipertahankannya pada 1969 dan 1974, kemudiannya berubah nama kepada Pengkalan Chepa.
Akibat krisis dalaman ketika bersama-sama BN, akhirnya Pas tersingkir pada 13 Disember 1977, dan terpaksa bersendirian menghadapi pilihan raya khas parlimen Kelantan pada 8 Julai 1978, akibat undang-undang darurat diisytiharkan kerajaan Persekutuan ke seluruh negeri.
Tragedi pedih ini menyaksikan Pas hanya memenangi dua kerusi parlimen termasuk Pengkalan Chepa yang dipertahankan Tuan Guru Nik Aziz. Derita Pas ini bertambah parah pada pilihan raya DUN 11 Mac 1978 apabila parti cuma dapat mempertahankan dua kerusi daripada 36 kerusi dipertandingkan, sementara BN mengungguli 23 kerusi dan Berjasa sebelas kerusi.
Tuan Guru Nik Aziz tidak berputus asa dengan prestasi buruk itu, sebaliknya selaku Pesuruhjaya Pas negeri, beliau kian gigih berusaha menyusun strategi baru mendepani pilihan raya berikutnya pada 1982.
Berkat Allah ta’ala Yang Maha Berkuasa, parti dapat membaiki prestasinya memenangi empat kerusi DUN dan 10 kerusi parlimen termasuk kerusi Pangkalan Chepa yang dipertahankannya.
Suasana politik Pas di Kelantan sudah berubah pada pilihan raya 1986 apabila parti menjalin permuafakatan serta kerjasama politik dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan Parti Nasionalis Malaysia (Nasma).
Pas mempertaruhkan Tuan Guru Nik untuk kerusi DUN Semut Api dan parlimen Bachok, meninggalkan Pengkalan Chepa. Beliau hanya dapat mempertahan kerusi Semut Api tetapi tewas parlimen Bachok. Pada keseluruhannya, Pas memenangi 10 kerusi DUN dan kerusi parlimen Pengkalan Chepa.
Pengalaman pahit ini juga memberi pengajaran kepada Pas untuk membuat dan mengatur persiapan rapi lagi terperinci dengan menonjolkan imej Tuan Guru Nik Aziz sebagai tokoh ulama bakal menerajui kerajaan negeri pada pilihan raya umum 21 Oktober 1990.
Ada rahmatnya pemilihan Majlis Tertinggi Umno (MKT) 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan satu lawan satu jawatan presiden parti.
Umno berpecah kepada dua sesudah diisytiharkan ‘haram’ oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ada Umno Lama dan ada Umno Baru. Pas merebut peluang daripada kesempatan ini dengan bertindak secara bijaksana menghadapi pilihan raya 1990, melalui “pengemukaan manifesto yang dikatakan merangkumi kesemua perancangan pembangunan negeri yang bakal dilaksanakan sekiranya Pas terpilih menerajui kerajaan negeri.” (Wan Nik Wan Yusoff Ngah. Harakah. Op.cit. : F13).
Janji-janji Pas dalam manifestasi ini memang disenangi seluruh rakyat sehingga mencapai kemenangan mutlak merebut kesemua 39 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen. Demikianlah terlantiknya Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, dengan menjadikan manifesto pilihan raya 1990 itu sebagai slogan perancangan dan pembangunan negeri.
Beliau sesungguhnya jadi lambang dan idola di sebalik prestasi cemerlang parti kerana “nyata tindakan beliau menggabung diri dengan tindakan Pas itu tidak sia-sia.
Dengan berbekalkan keikhlasan dan iltizam yang teguh, pimpinan Pas mula dapat melihat betapa pada diri sosok ulama ini ada mutiara yang dapat dimanfaatkan untuk perjuangan parti keseluruhannya”. (Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain. (2010:16).
Kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz diterima rakyat Kelantan sehingga kini berpunca daripada sikap pragmatik dan keterbukaannya terhadap nilai Islam khususnya kepada bukan Muslim.
Di bawah kepemimpinannya, Kelantan menawarkan contoh praktikal di sebalik komuniti yang bersedia bertolak ansur berasaskan ajaran Islam. Nilai ini termasuklah keperluan mewujudkan hubungan baik sangka dan saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat menunjukkan imej baik ajaran Islam.
Beliau amat percaya masyarakat Cina dan etnik lain akan dapat menerima nilai murni ajaran Islam menurut semangat bekerjasama dan persefahaman. Misalnya ialah slogan ‘Membangun Bersama Islam’.
Falsafah di sebalik konsep ini ialah “memajukan matlamat pentadbiran yang dipacu oleh keyakinan terhadap Islam sebagai ad-din dan ad-daulah (beragama dalam pentadbiran), berpaksi misi menegakkan agama dan mentadbir negeri dengan berpandukan ajaran Islam (iqamatiddin wa siasatudduniabih). Sehubungan itu, agenda perancangan dan pembangunan negeri berkonsepkan pembangunan insan dengan mengutamakan pemerkasaan iman, takwa, dan amal Islamiah., di samping mentadbirkan sumber yang ada (tanah, air, flora dan fauna, serta hasil mahsul) ke arah memenuhi keperluan dan cita rasa semua lapisan rakyat”. (Wan Nik Wan Yusoff. (Harakah, 23 – 25 Okt. 2009: F3).
Pentadbirannya menerapkan tiga prinsip dikenali sebagai UMI, iaitu ubudiah, mas’uliah, dan itqan.
UMI bermaksud menjalankan pentadbiran sebagai ibadah demi keredhaan Allah ta’ala (ubudiah), melaksanakan tugas pentadbiran beramanah dan penuh pertanggungjawaban kepada Allah Yang Maha Esa, diri, keluarga, dan kerajaan.
Tiap-tiap tugas yang diamanahkan dan dijalan adalah dipacu dengan keazaman yang tinggi bagi mencapai hasil terbaik, demi kesempurnaan tugas dan ganjaran pahala yang setimpal (itqan).
Pada hakikatnya, kesemua urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas mesti mendahulukan keperluan rakyat dan mengutamakan pencapaian hasil terbaik demi meraih tahap pengikhtirafan diri pada siri Allah Yang Maha Esa.
Rata-rata rakyat Kelantan menguntum senyum yang melebar kerana berpuas hati dengan pendekatan pentadbiran sebegini sebab terrbukti dalam masa dua dekad pembuahan hasil pembangunan rohani dan jasmani, sesuatu yang tidak terkecapi sebelumnya.

No comments: