Monday, March 21, 2011

"Akar ceritaku memerihalkan diabetes"

Aduhai ‘akar cerita’, ngapa baru sekarang kita berjodoh? Baru kini ya, tidak pertengahan 1990-an ketika aku disahkan doktor berpenyakit diabetes – ada zat gula dalam air kencing? Istilah mudahnya ‘kencing manis’.
Ketika itu, bacaan kandungan gula dalam air kencingku di luar lingkaran. Lantaran tidak puas hati, aku pergi lagi ke klinik panel dan diberitahu bacaannya 29.5.
Ngapa tidak terima saja hakikat? Oh tidak, hidup mesti berikhtibar. Aku temui seorang teman yang banyak mengurutiku bagi memecahkan ketulan angin dalam badan.
Berkat keyakinan diri dan tidak pula mudah berputus asa, si teman, Musa namanya, memberi minuman rempah-ratus segelas kepadaku. Tanpa berlengah-lengah lagi, dengan lafaz bismillah dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, aku teguk sampai licin.
“Bilakah nak jumpa doktor lagi?” si Musa bertanya serius.
“Dua minggu,” jawabku selamba.
“Lepas tu, datang jumpa saya lagi. Jika tak baik potong kelinkingku”. Dia bersuara tegas, sambil menasihatiku makan beras kanji. “Enak berlaukkan ikan kari pedas-pedas,” tambahnya.
Allah Taala mentakdirkannya begitu. Bacaan gula dalam air kencingku sudah berada dalam lingkaran, kini dalam lingkungan 10.
Masih ada, bicara doktor. Tetapi keyakinan tepat bertakhta dalam sanubariku, ketika itu baru bergayut pada usia 50 tahun.
Minggu-minggu berikutnya, kukunjungi doktor panel lagi. Bacaan turun lagi kepada lapan, kemudian turun lagi kepada tujuh, turun lagi kepada enam, dan akhirnya berada pada tahap di bawah lima.
Entah macam mana, bacaan itu naik dan bertahan pada paras 11 – 16. Memang bahaya tetapi aku tidak putus ikhtiar.
Aku balik kampung isteri di Tualang Sekah, Malim Nawar. Anak saudaraku menghadiahiku beberapa batang pokok ‘akar cerita’ bersama beberapa helai daunnya. Kurebus panas-panas minum airnya. Aduh, segarnya tenagaku biarpun pahit macam cuka. Jangan risau, jus apel hijau jadi penawar juga diabetes.
Badanku tidak lagi lemah-lemah dan letih-letih. Tekakku tidak lagi kehausan.
Kini aduhai ‘akar cerita’, kautumbuh segar di sudut rumahku. Daunmu macam daun sirih. Kupetik tiga empat helai apabila perlu. Kurebus dan minum airnya seteguk demi seteguk puas-puas. Kutak ambil beras kanji lagi.
Kutoleh rak buku, bersusun kotak ‘equal’, pengganti gulaku untuk kopi O kegemaranku, iaitu ‘low calorie sweetener’ ataupun ‘pemanis rendah kalori’.
Cubalah! Allah Taala mentakdirkan segala-galanya, sebagai manusia, kita hanya mampu berikhtiar dan mengatur rancangan!

No comments: