Wednesday, March 30, 2011

"Dua dekad Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Aziz" (7)

(7)
Proses penggabungan dengan parti lawan yang selamanya mengamalkan sikap bermusuh menuntut perjalanan masa yang panjang. Pas sendiri pasti membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan perwakilan yang menghadiri muktamar tahunannya.
Hal demikin berpunca daripada perselisihan kecil di antara Tuan Guru Nik Aziz dengan Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa. ‘Ribut dalam cawan ini berlaku lantaran kecenderungan Nasharudin menyambut helah politik Umno berkait Kerajaan Perpaduan” (Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain. (Ibid.: 151).
Sehubungan dengan itu, tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencabar Nasharudin agar melepaskan segala jawatan dan seterus keluar meninggalkan parti jika beliau benar-benar ingin bersama Umno.
‘Tuan Guru Nik Aziz tidak sesekali membenarkan perjuangan suci Pas berlandas Islam, dicemari oleh racun Kerajaan Perpaduan sebaran Umno kerana beliau yakin padah buruk bakal menimpa parti kelak’ (Ibid.).
Dua dekad menyaksikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berganjak daripada perjuangan Pas berpijak kepada ajaran suci Islam.
Sebagai insan yang istiqamah terhadap perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, ulama tersohor ini dikatakan sebagai pemimpin menghayati keperibadian dan gaya kepemimpinan yang pernah dipamerkan Umar Abdul Aziz (63H – 101H).
Khalifah yang pendek tempoh pemerintahannya ini iaitu dua tahun lima bulan ini berwatak baik, beridea bernas, berpolitik secara bijaksana. Beliau sangat mementingkan keadilan dan beliau pasti melakukannya semampu yang boleh.
Kezuhudannya sukar dicari ganti sementara kemewahan tidak menjadi keutamaan dirinya. Betapa tidak seperti yang diceritakan, beliau akan hanya menggunakan lilin kerajaan untuk urusan rasmi kerajaan sahaja. Apabila ada urusan peribadi, khalifah ini memadamkan lilin kerajaan lalu menggantikannya dengan lilin peribadi.
Begitulah Umar Abdul Aziz sebagai ulama yang kuat beramal, menjalankan kepemimpinan khalifah penuh amanah dan pertanggungjawaban.
Justru memang tepatlah Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain membandingkan kesederhanaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan kezuhudan Umar Abdul Aziz dengan membuat kesimpulan begini:
“Hal demikian ini menunjukkan bahawa bagi seorang pemimpin yang zuhud dan menumpahkan segala keyakinan terhadap wahyu Allah ta’ala, Nik Aziz tidak pernah takut untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dalam melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin.
Sama ada sebagai pemimpin kerajaan mahupun pemimpin gerakan Islam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah lupa pada prinsip keadilan dan kebenaran. Dengan kata lain, Tuan Guru Nik Aziz adalah pemimpin yang sentiasa bersikap berani kerana benar. Sifat inilah juga yang hadir dalam diri Umar Abdul Aziz, khalifah tersohor yang pernah menerajui pemerintahan sebuah kerajaan Islam ketika Dinasti Muawiyyah menggantikan pemerintahan Khulafau-ar-Rasyidin” (Ibid.: 152).
Sebagai Menteri Besar yang telah memimpin dan menerajui kerajaan negeri Kelantan lebih dua dekad lamanya, Tuan Guru Datuk Nik Aziz berjaya cemerlang lagi penuh komited membawa negeri Cik Siti Wan Kembang itu bersama-sama dengan rakyatnya yang begitu selesa dengan kesederhanaan dan kesantunannya, ke mercu kemajuan, kesejahteraan, dan pembangunan, memerangi kedhaifan, kemiskinan, kesyirikan, dan kekhurafatan, persis kegigihan ayahandanya, ulama progresif yang gigih membanteras khurafat, bidaah, syirik, dan penyelewengan agama dalam kalangan ummah Islamiah.
Quovadis Tuan Guru Nik Abdul Aziz sesudah ini?
Sama-samalah kita tunggu di samping mendoakan kelanjutan usianya dalam keadaan sihat walafiat demi kelangsungan hidup ummah bertitipkan ajaran Islam sepanjang hayat.

No comments: