Monday, March 14, 2011

"Angkara Sebiji Buah Durian"

Sesekali aku menjengahi kampung kelahiran tempat aku dibesarkan dan mengaji sekolah rendah dengan memandu kereta gah, berjenama, lagi berpretij seperti Honda di sebelah, sekali-kali itulah pula, aku terusik dengan kenangan nostalgia masa kecilku.
Nostalgia itu lebih memilu dan menghiris jantung hati lagi apabila bersalaman dan memohon ampun dan maaf daripada Wan Cu, adik bongsu papa semasa menyinggahi rumahnya.
Bapa dalam usia lewat lapan puluhan dan ibu awal tujuh puluhan, sudah lama meninggal dunia, moga roh mereka dicucuri rahmat Ilahi.
Kutatapi wajah ayah Cu yang sudah hampir 90 tahun usianya sedang terlantar, ketika itulah pula Wan Cu menitis air mata lalu bersuara putus-putus “Aku minta ampun banyak-banyak Lias kerana banyak mengasari engkau masa kecik-kecik dulu”.
“Buat apalah nak dikenangi peristiwa lama tu, tidak ada budak yang tidak nakal, dan tidak ada orang tua yang kacak dan tampan. Memang saya dah ampunkan dan maafkan perilaku Wan Cu dulu-dulu tu,” semacam berat suara itu hendak keluar daripada rekahan bibirku.
Wajah Wan Cu masih jernih dan tenang seperti dulu, wajah bersolat sunat tahjud, dalam ingatan masih mekar, tidak seperti suaminya, yang dapat kukatakan sudah nyanyuk, ingatan sudah luput sehingga diriku yang sudah berusia 66 tahun inipun tidak dikenalinya.
“Lias … Lias … Lias,” kata Wan Cu kuat-kuat di cuping telinga. Ayah Cu mampu menyeringai sahaja.
Semasa kecil, aku memang terkenal nakal. Emak saudaraku yang seorang lagi (arwah, moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya) pernah merotani kakiku beberapa kali kerana lewat tiga petang baru pulang dari sekolah. Bondaku tersayang yang membuat aduan.
Aku pernah merosakkan bubu orang semata-mata kerana sakit hati tetapi kemudiannya, bubuku pula dimasuki seekor ular besar sehingga aku takut hendak mengambil ikannya.
Tetapi yang paling sedihnya, aku pernah menjolok durian muda milik Wan Cu. Kubelah dan betapa lemak isinya.
Wan Cu nampak kejadian itu lalu memarahiku semahu-mahunya. Setiba di rumah, bapa pula memantai aku dengan pelepah daun pinang. Aduh, sakitnya.
Kesalahanku itu berbalas kemudian apabila aku terhumban ke dalam batas ban yang dalam airnya ketika terlanggar seorang perempuan dalam perjalanan ke SekolahMelayu Chikus. Yang mula-mula kucapai dan dakapi ialah beg sekolah.
Ketika kutatapi wajah keruh Ayah Cu dan wajah tenang Wan Cu kini, aku merangkaikan semua peristiwa kenakalanku itu dengan keberanian dan kegigihanku belajar sehingga mendaki tangga kejayaan setapak demi setapak.
Kucium tangan Ayah Cu dan Wan Cu ketika hendak beredar pulang. “Wah hebat dan cantiknya kereta abang Yang,” sapa anak saudaraku ketika membuka pintu kenderaan. “Macam kereta orang muda-muda, penuh stail dan bergaya,” tambahnya sambil menyeringai.
Aku tersenyum selamba sambil melepasi brek tangan dan menginjaki minyak, pelan-pelan menggerakkan kenderaan meninggalkan perkarangan rumah ayah dan emak saudaraku itu. Moga Allah Ta’ala memanjangkan usia mereka dalam keadaan sihat walafiat! Amin!

No comments: