Rata-rata berpendapat bahawa ‘Bukit Kepung”, “Embun” dan “Paloh” filem-filem tempatan yang bermutu tinggi baik dari segi cerekanya mahupun teknik penggambaran dan penataan bunyi. Ketiga-tiganya memperlihat gabung-jalin teranyam dengan cukup intim di antara faktor teknologi dengan bukan teknologi.
Filem bermutu berbeza daripada filem popular dan mendapat sambutan hangat. Yang bermutu filem mantap dari segi persembahan dan pembikinannya sekaligus mantap pula dari segi jalinan cerita dengan mengangkat persoalan kemanusiaan sejagat yang benar-benar hebat lagi menyentuh hati dan perasaan. Yang penting ada nilai keabadiannya.
Filem-filem keluaran Holywood misalnya mementingkan keseimbangan di antara skrip bermutu dengan pembikinan tercanggih. Faktor teknologi memperlihat kreativiti penerbit dan pengarah filem memperaga kecanggihan teknologi dan komunikasi terkini dalam pembikinan filem. Penghasilan filem seperti Titanic ataupun The Da Vinci Code misalnya menuntut kos berjuta-juta dolar yang bagi penerbit filem tempatan amat sukar hendak dipenuhi seperti terbukti kegagalan memfilemkan peristiwa sejarah Pasir Salak dan Pahlawan Naning..
Filem-filem besar dan bermutu dari Barat sejak dulu lagi bersandarkan kepada skrip bermutu. Nampaknya yang gah seperti “Ten Commandments” bersendikan peristiwa sejarah yang hebat, seperti “Bukit Kepung”, “Embun”, dan “Paloh”. Malangnya khalayak negara kita kurang meminati filem seperti ini sebab didakwa terlalu ‘berat’ hendak diikuti, difahami, dan apatah lagi dihayati.
Filem perlu diusahakan secara serius dengan penuh komited seperti dibuktikan oleh “Embun”, yang memaparkan kekejaman askar Jepun ke atas penduduk tempatan khususnya gadis tempatan tanpa berdosa. Pastinya yang dituntut dalam konteks masyarakat majmuk seperti kita ialah cereka berunsur sejarah yang tidak membohongi fakta-fakta sedia terlakar.
Sebab itulah, filem dokumentari, “Lelaki Komunis Terakhir” ditolak untuk tontonan khalayak pelbagai bangsa. Perhitungan yang tersalah hemat bakal mengundang padah, persis jolokan kemarahan pengganut agama Kristian akibat pembohongan sejarah dan fakta dalam filem The Da Vinci Code.
Penonjolan wira negara dalam perjuangan penuntutan dan pengisian kemerdekaan lebih dapat menyemarakkan semangat patriotik dan cinta akan negara. Kecelekan sejarah kalangan generasi terbaru terlakar melalui pendekatan filem seperti ini yang bakal menerjah keluhuran peribadi dan kecanggihan diri.
Seperti juga dengan karya seni yang lain, filem memerlukan cerita yang dapat memenuhi ciri pengkaryaan khusus. Tema besar seperti nilai kemanusiaan dan perjuangan terhadap sesuatu objektif tidak akan bermakna seandainya elemen yang mendasari karya kretif bermutu tidak terpenuhi.
Presiden Ekesekutif KRU Berhad Norman Abdul Halim mengakui hakikat ini lalu beliau memilih Hikayat Merong Mahawangsa untuk filem terbarunya, yang dipersembah dalam interpretasi moden. Benar, Norman telah mengusahakan filem secara serius. Komitmen yang begitu tinggi ada pada KRU Berhad.
Dalam konteks antarabangsa, filem penuh aksi ini mempertemukan putera-puteri Raja Rom dan China bersatu di tanah air baru sahaja ditubuhkan, dinamai Langkasuka, iaitu negeri Kedah Tua. Fantastik dan penuh futuristik.
Kepada KRU, filem bukan sekadar membuat filem tetapi juga satu perniagaan atau entertainment business. Selain kreatif membuat filem, kita juga kena kreatif untuk dapatkan dana sama ada sektor swasta mahupun kerajaan.
Baginya, yang penting kita kena keluar dari pasaran tempatan dan tidak begitu bergantung kepada kepompong tempatan sahaja.
Risikonya amat besar. Khalayak biasanya suka akan filem penuh aksi mempertahan diri seperti kungfu. Justru terbitan filem begitu perlu diperbanyakkan. Filem animasa ya, animasi mungkin ada pasaran tetapi masalahnya kos yang tinggi selain agak sukar hendak menyaingi syarikat gergasi seperti Pixar dan Disney, yang canggih dan tinggi teknologinya.
1 comment:
Filem Hikayat Merong Mahawangsa dikatanya Karya Teragung 2011, tapi masih banyak kekurangan. Jalan cerita masih lemah. Terlalu banyak bende nak tunjuk, jadi nampak macam tergantung sana sini ceritanya. Menyaksikan trailer filem ini saja sudah mula membuatkan semua berasa teruja untuk menonton filem ini. Semuanya gara-gara kerana penggunaan teknik CGI yang cukup berkesan yang digunakan di dalam filem. Ada juga yang mengkritik tentang ketulenan sejarah melayu termasuk bilah-bilah keris yang dikatakan bukan mencerminkan melayu..tapi apapun kita harus menyokong dan berbanggan dengan KRU yang berani untuk terus memperjuangkan seni..
Post a Comment