(7)
Seminggu berlalu. Aku ikuti suami berpindah ke Kuala Lumpur. Dia bekerja dengan Utusan Melayu. Gajinya sudah bertambah RM80 menjadi RM280, tahun kedua dia bekerja.
Sewa rumah kami RM80, di Setapak Garden, rumah teres setingkat milik tauke Cina, baik orangnya dan tidak banyak cerewet. Rumah sudah dicat semula dan cantik kemas macam rumah baru.
Pada satu hari, aku berterus terang kepada suamiku: “Jangan marah jika dinda berterus terang kepada kanda”.
Nampaknya dia selamba sahaja, memberi ruang kepadaku untuk terus berbicara: “Jikalah cikgu sekolah menengah tu dekat di sini, ada di Kuala Lumpur, saya akan pergi cari dia”.
“Tak apa, jika jodoh kita setakat ini sahaja,” suaranya tegas seolah-olah tidak langsung berbunga kekesalan.
“Terus terang kanda, dinda asyik teringat-ingat dan terbayang-bayang wajahnya. Hati dinda meronta-ronta hendak mencarinya”.
Bicaraku ternokhtah setakat itu sahaja apabila suamiku bersikap endah tak endah dan langsung tidak memberi respon.
Dia nampaknya lebih sibuk sekarang, kerana kerja ikut giliran, pagi, tengah hari, dan malam sampai jam 12.00.
Rezeki anak sulung kami ada. Suami sudah berpindah mendapat tawaran kerja di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai penolong penyunting dapat RM450 sebulan.
Ketika ini, perintah berkurung masih berkuatkuasa akibat tragedi 13 Mei 1969. Pun begitu, ketika perintah berkurung dilonggarkan, kami ke pasar besar Chow Kit Road juga.
Selain itu, suami juga bekerja sambilan sebagai penterjemah berita secara sambilan di bilik berita Radio RTM, biasanya syif malam. Pendapatannya dalam lingkungan RM300 – RM400 sebulan.
Kami sudah meninggalkan rumah sewa di Setapak Garden kerana jiran-jiran kurang menyenangkan. Kini menyewa rumah teres di Taman Perwira pula sehingga memperoleh anak kedua, yang kuat menangis.
Ada kira-kira setahun kami di rumah ini, kemudian terpaksa berpindah lagi, selang sepintu jaraknya, sewa bertambah. Tetapi tak apa, kata seniman Tan Sri SM Salim, rezeki anak-anak ada. Ketika bujang, ikut ceritanya, suamiku pernah tinggal dua bulan di bawah tangga rumah Salim ini, dengan sewaan RM30 sebulan, terletak di Kampung Baru.
Sesudah itu, dia berkongsi rumah sewa, rumah kayu dengan Nordin Cina, wartawan Utusan, ketika kuutusi telegrem mengatakan rombongan datang meminang dulu.
Tidak lama di sini kerana kemudiannya, dia berpindah lagi menyewa rumah batu empat pintu dua tingkat juga di Kampung Baru, tak jauh dari rumah lama tetapi lebih dekat dengan perhantian bas.
Di rumah inilah, ayah mentuaku datang memujuk anaknya agar terus bertunang dan menikahiku. Rumah inilah juga kami sekeluarga kunjungi sesudah kami diijabkabul (bernikah gantung).
Kami terpaksa pindah kerana rumah sewaan kami sudah dilelong bank. Pemilik rumah menawarkan harga paling murah kepada kami untuk menebus lelongan bank itu. Malangnya kami tidak mampu membelinya kerana simpanan tidak cukup.
No comments:
Post a Comment