Saturday, April 9, 2011

Pelancaran Kelab Membaca Buku Sekolah (2)

MODEL KARANGAN JENIS UCAPAN
Yang Berbahagia tuan pengerusi majlis, dif-dif Kehormat, dan sekalian pelajar yang saya hormati,
Saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala dengan limpah izin dan kurnianya-Nya jua, Majlis Pelancaran Kelab Membaca sekolah ini dapat kita langsungkan pada petang berbahagia ini. Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian tetamu hadir untuk memeriahkan majlis.

Dif-dif kehormat,Tuan-puan dan hadirin yang saya hormati,
Buku adalah segala-galanya. Melalui lembaran kertas berjilid terungkap pelbagai tulisan berisi ilmu pengetahuan dalam disiplin berbagai-bagai. Kandungan ini seandainya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bakal mendewasakan insan daripada segi berfikir, berhujah, berbincang, berdiskusi, dan berseminar seumpamanya. Malangnya, masyarakat kita yang diaur-aurkan mahu menjadi warga memiliki minda kelas pertama, kurang berminat membaca buku, lebih-lebih buku yang serius dan akademik sifatnya serta yang berat-berat kandungannya.
Agaknya memang begitulah klise sifat masyarakat kita, yang perlu diubah segera. Buku dengan segala macam kandungan dan kaedah persembahannya dapat mendekatkan langsung memesrakan rakyat pelbagai etnik bagi mewujudkan semangat patriotik, kecintaan mendalam terhadap negara-bangsa, dengan pemupukan semangat kepunyaan dan kekitaan yang tulen lagi murni. Biarpun kempen gerakan membaca buku dilancarkan secara berterusan sepanjang tahun, tetapi kesannya kurang menyengat seperti kekeli yang sudah kepatahan sengat apabila rata-rata rakyat membaca sebuah buku setahun.
Majlis Industri Buku Melayu Malaysia menganggarkan RM1bilion dibelanjakan rakyat tiap-tiap tahun bagi membeli buku. Angka ini amat rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk yang sudah melepasi angka 26 juta orang. Ertinya tiap-tiap keluarga sekadar berbelanja RM50 setahun bagi membeli buku dan itupun termasuk pembelian buku kerja tambahan persekolahan anak-anak. Begitu juga dengan keanggotaan perpustakaan yang dianggarkan sekitar sembilan peratus sahaja. Bagi peringkat nasional, kita belum lagi mampu menunjukkan indikator menggalakkan untuk mengangkat masyarakat membaca sebagai satu ciri signifikan ke arah pewujudan negara maju.
Kelab Membaca tercetus atas semangat dan kesedaran bahawa untuk sesebuah negara-bangsa mencapai puncak kejayaan maka asasnya ialah rakyatnya mesti rajin membaca sejak di bangku sekolah. Kewujudan kelab seumpama ini diharapkan masyarakat terutamanya golongan pelajar ketagih dan menjadi ulat buku. Proses ini hendaklah berterusan sepanjang hayat agar potensi anak-anak kita dapat dipupuk dan dikembang menjadi modal insan yang unggul kebijaksanaannya lagi mulia keperibadiannya.
Tingginya martabat sesuatu negara-bangsa bergantung kepada penerokaan dan penguasaan ilmu oleh masyarakatnya. Ilmu itu sentiasa berubah dan berkembang tanpa mengira batas waktu dan sempadan geografi. Selaras dengan itu, pelajar sendiri mesti bergerak seiring dengan perubahan tersebut. Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang dalam dunia global masa kini yang serba pantas lagi mencabar.
Akhir kata, izinkan saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit bagi penganjuran Majlis Pelancaran Kelab Membaca Buku 2010. Moga kita dapat terus tanpa jemu berganding bahu dalam menganjurkan program berkaitan pembudayaan amalan membaca secara berterusan. Ibarat maksud pepatah: ’Bulat air oleh pembentung, bulat manusia oleh muafakat’ Maka dengan itu, saya dengan sukacitanya melancarkan Kelab Membaca Sekolah Menengah Sri Intan ini. Sekian. Terima kasih.
(471 perkataan)

ULASAN FORMAT DAN ISI UCAPAN DI ATAS
• Karangan berbentuk ucapan di atas ditulis menurut format yang betul. Ada kata-kata sambutan kepada pengerusi dan dif-dif yang hadir. Pengucap juga menjelaskan tujuan majlis diadakan iaitu pelancaran Kelab Membaca Buku 2010.
• Isi pengucap bermula dengan pengenalan tentang buku kerana rata-rata khalayak tahu buku tetapi gagal hendak menakrifkan maknanya.
• Kemudian pengucap menyebutkan faedah-faedah bermakna di sebalik pembacaan buku.
• Isunya di sini ialah masyarakat termasuk pelajar tidak berminat membaca biarpun peruntukan besar dan kempen galakan membaca dilancarkan sepanjang zaman.
• Ucapan mengandungi angka-angka yang dipetik daripada sumber rasmi bagi membuktikan kelesuan masyarakat hendak membaca buku.
• Tujuan penubuhan Kelab Membaca Buku peringkat sekolah juga relevan untuk melahirkan warga pelajar yang ‘ulat buku’ dan bermaklumat.
• Sebagai pengukuhan kepada harapan ini, pengucap mengutarakan idea bernas bahawa ‘Tingginya martabat sesuatu negara-bangsa bergantung kepada penerokaan dan penguasaan ilmu oleh masyarakatnya’.
• Memang patutnya begitu kerana ucapan yang memikat perhatian khalayak ialah yang mengandungi idea bernas mengundang mereka berfikir serius.
ULASAN ASPEK GAYA BAHASA UCAPAN DI ATAS
• Karangan ini terungkap dalam laras bahasa sains sosial menurut kadar keterbacaan yang sesuai dengan tahap Tingkatan Lima.
• Kadar keterbacaan bermaksud kemampuan khalayak memahami ucapan secara spontan, tidak perlu berfikir panjang.
• Dalam konteks ini, pengucap berjaya menyampaikan ucapan yang bernas, mudah difahami, dan mesejnya sampai kepada kelompok sasaran.
• Contoh bahasa dan ungkapan indah ialah keselarian pengucapan seperti ‘daripada segi berfikir, berhujah, berbincang, berdiskusi, dan berseminar’ dan ‘penerokaan dan penguasaan ilmu’.
• Karangan menjadi cantik dan indah melalui selitan simpulan bahasa ’ulat buku’ yang bermaksud ’sangat suka membaca’.
• Begitu juga dengan penyelitan pepatah: ’bulat air oleh pembentung, bulat manusia oleh muafakat’. Maksudnya ’kata sepakat didapati melalui rundingan’. Penampilan pepatah ini tepat sebab galakan dan kempen membaca adalah tanggungjawab dan kerjasama semua pihak.

No comments: