Monday, April 11, 2011

"Berdosakah Daku kepada Suamiku?" (2)

(2)
Pengayaman perkenalan kami bertunas sejak 1962, tanpa pengetahuan sesiapa kecuali kawan karibku, bernama Da (bukan nama sebenar).
Si Dalah yang memberitahuku akan kehebatan dia berbahas mewakili Sekolah Alam Shah ketika rancaknya sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan BBK, melalui siaran radio ke sekolah-sekolah pada awal enam puluhan.
Aku terpegun mendengar suara lantang, petah berbicara si dia mematahkan hujah lawan.
Kebetulan aku sendiri menjadi juruacara pertandingan syarahan daerah Malim Nawar, berlangsung di Sekolah Kebangsaan Malim Nawar, tempat ayahandaku berkhidmat sebagai guru besar.
Sesudah majlis penuh meriah itu, aku menerima surat tidak kurang 15 pucuk banyaknya daripada anak-anak muda, ingin berkenalan. “Macam juruhebah dan pembaca warta berita Radio Malaysia,” antara yang memuji suaraku.
Teluk hatiku langsung tidak terbuka hendak membalas surat-surat penuh rayuan itu sebab cita-citaku hendak menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.
Ketika hendak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM, ayah bertukar ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Tualang. Biarpun jarak dari Malim Nawar tidak sejauh mana, akan tetapi ketiadaan jambatan menyeberangi sungai nan sebatang, menyusahkan perjalanan ulang-alikku ke Sekolah Menengah di Kampar.
Biarpun begitu, dengan segala jerih payah serta berkat doa yang kupanjati tiap-tiap solat fardu, akhirnya aku berjaya dalam SPM, cukup buatku berkhidmat sebagai guru sementara di sekolah tempat ayahku menjadi guru besar.
Maka begitulah kekecohan majlis pertunanganku dengan si dia bermula di sini. Kehadiranku rupa-rupanya mengusik kesentosaan dan ketenangan perasaan dan gelora cinta mendalam seorang guru muda di situ sehingga akhirnya terutus lembaran percintaan melalui tangannya yang terketar-ketar kepadaku.
Sebelum surat terserah, si guru berkenaan mundar-mandir di hadapan kelas aku mengajar. Ibarat kata orang tua-tua “macam cacing kepanasan”.
Aku tidak membalas surat indahnya, penuh pujian dan madah. Antara lain yang masih kuingat ialah “jika cikgu sudi mempersuamikan saya, jangan risau, cikgu tidak perlu masak, riba tangan sahaja”.
Bukan sukar hendak berjanji begitu, mempertautkan kedua-dua rekahan bibir, hitam lebam akibat terlalu banyak merokok.
Soalnya berdosakah daku kerana tidak memberitahu si dia yang akhirnya menjadi suamiku yang sah?
Lembaran itu tidak menjadi kudis kepadaku kerana beberapa bulan kemudian akhir tahun mengetuk pintu. Tahun baru menjanjikan harapan baru apabila aku ditawarkan jawatan guru sementara oleh sekolah menengah di pekan Kampar tempat aku belajar dulu.
Segala-galanya kerana sokongan abang sulungku Aun bin Harun. Anak sulungnya, Hishamuddin menjadi wartawan atas sokongan suamiku juga, sehingga akhirnya diangkat jadi ketua editor kumpulan akhbar tersohor di negara ini ketika era pentadbiran dan pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kusangkakan sudah terlepas ujian seperti di sekolah kebangsaan, yang sebenarnya belum lagi terungkai. Rupa-rupanya tidak. Ujian datang lagi melingkari diriku, yang sudah memasuki gerbang keremajaan awal dua puluhan.

No comments: