(4)
Suatu hari, ayahanda mengizinkan aku bersua wajah empat mata dengan si guru sekolah rendah bagi merungkaikan kekalutan yang tersidai.
“Mengapakah cikgu tolak pinangan saya?” dia bertanya.
“Saya terima dia sebab kami sudah berkawan lama,” tingkah daku sambil menumpahkan pandangan kepada wajahnya.
“Saya tidak pernah ternampak surat untuk cikgu,” tingkahnya.
“Rahsia kami ayahandapun tidak tahu,” jelas daku.
“Maksudnya?”
“Si dia mengirimi saya surat melalui sahabat karib saya di Malim Nawar”.
Jawapan itu merungkai kemustahilannya selama ini, menoktahkan perbualan singkat di bilik guru sesudah kelas bubur.
Ibu tersayang amat berat hendak menerima pinangan si polan ini. Memang sudah takdir, bukan kami menghina, lututnya terpaksa ditusuki besi akibat kemalangan jalan raya.
Bisik-bisik ibu kepada ayah tetapi terbias ke gegendang telingaku: Bagaimanakah hendak rukuk dan sujud?
Cikgu Yusuf, mirip guru agama di sekolah rendah dulu, berpesan “pasangan yang ingin berkahwin perlu menitikberatkan agama dan iman daripada kecantikan dan kekayaan sebagai keutamaan”.
Semakin matang pengalaman dan semakin mendalam ilmu di dada, aku percaya amat nasihat cikgu Yusuf itu.
Jodoh yang dicari hendaklah yang beriman, berbaik sangka kepada Allah SWT agar jiwanya menjadi lapang dan tenang.
Seseorang ummah perlu mencari jodoh yang tidak melanggar syariat Allah SWT.
Antara jalan memperoleh jodoh ialah melalui perantaraan ibu bapa, sahabat, dan orang salih. Justru, aku berpendapat tindakanku menyerahkan perkara jodoh ini kepada ibu dan ayah, yang kemudiannya mewakilkannya kepada Pakcik Mahmud.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14 yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan, dan anak pinak, dan harta yang banyak terdiri daripada emas dan perak”.
Dalam surah an-Nur, ayat 32, Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Dan kahwinkanlah orang bujang (laki-laki dan perempuan) dalam kalangan kamu dan orang yang salih daripada hamba kamu, laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Aku banyak berdoa dan bermunajat kepada-Nya agar berjodoh dengan si dia. Justru aku tidak henti-henti bertaqwa kepada-Nya.
Si Da (bukan nama sebenar) memaklumiku bahawa cikgu sekolah menengah reda akan ketentuan Ilahi seandainya aku berjodoh dengan si dia, tetapi jangan sekali-kali dengan cikgu sekolah rendah yang dimusuhinya.
Maklumat sulit ini tersampai kepada Da sebab abangnya bersahabat karib dengan guru itu.
Mujurpun Pakcik Mahmud merestui permintaanku biarpun bukan mudah hendak meleraikan kekusutan di sebalik bukti persahabatan intim yang dituntut, ibarat menarik rambut dalam tepung: rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
No comments:
Post a Comment