(3)
Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas dan Menteri Besar telah membuktikan kejayaan besarnya sebagai pentadbir dan peneraju kerajaan Terengganu daripada kalangan ulama tersohor.
Beliau tidak keseorangan dan bersendirian dalam urus-tadbir negeri malah kekisi perjuangannya diperkejap oleh sokongan padu dan jitu golongan profesional dalam pelbagai disiplin dan bidang bersekali dengan golongan aktivis.
Maka sesungguhnya keberhasilan beliau terletak di sini, mampu menyatukan ulama, profesional, dan aktivis biarpun ulama selaku penggerak utama berada di barisan hadapan pucuk pentadbiran dan pemerintahan negeri.
Idea dan pemikiran politik beliau begitu mudah dijengahi melalui ucaputama merasmikan muktamar Pas tahun demi tahun.
Pada muktamar ke-50 tahun 2004 dengan tema ‘Memartabatkan Kedaulatan Rakyat’, beliau berkata “Kita hendaklah sedar bahawa Pas bukanlah parti politik semata-mata, bahkan satu gerakan yang memperjuangkan Islam secara syumul.
"Pembabitan Pas dalam pilihan raya hanya satu juzuk daripada agenda perjuangan yang besar. Apabila Pas belum mencapai kemenangan dalam satu-satu pilihan raya, bukanlah bererti parti gagal dalam perjuangannya. Skop perjuangan kita masih luas”.
Setahun berikutnya, ketika berlangsung Muktamar ke-51 bertemakan ‘Paksi Kebangkitan Perjuangan’ di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi perjuangan Pas kepada tujuh paksi besar seperti berikut:
“Yang berteraskan fitrah Islam yang ‘somimah’, jati dan suci diolah secara terkini’, ‘strategi parti dan pelan tindakan realistik serta mampu menangani tuntutan-cabaran saingan politik semasa’, ‘kesepaduan dan gandingan kepemimpinan yang serasi dengan konteks realiti dan tahap perjuangan kini’, ‘penggemblengan keiltizaman seluruh anggota mendukungi perjuangan parti’, ‘pemantapan pentarbiyahan dan juga latihan bagi meningkatkan ketrampilan’, ‘pengurusan parti yang mantap’, dan ‘program dakwah dan siasah yang melebarkan sokongan merentasi semua kelompok dan segmen rakyat dan malah pengundi’.
Kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang masalah masyarakat majmuk di Malaysia dapat diatasi dan diselesaikan melalui kaedah Islam sebab Islam agama sejagat yang universal.
Beliau yakin dan percaya bahawa jika Islam diberi peluang untuk dilaksanakan, maka masalah kaum dan apa juga masalah di negara ini dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.
Sebab itulah, ketika merasmikan muktamar ke-54 di Ipoh, Perak pada tahun 2008, beliau menegaskan keterbukaan Pas kepada semua dengan “berteraskan keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan parti hendak memakmurkan sekalian alam.
"Perjuangan Pas tetap kekal utuh dan dapat bertahan sampai hari ini kerana penubuhannya bersifat universial untuk seluruh umat manusia, dan membawa keadilan sejagat”.
Begitulah biarpun satu penggal sahaja Pas memerintah Terengganu di bawah Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tetapi periode sesingkat itu membuktikan ketersohoran pemimpin dan kepemimpinan ulama.
Firman Allah ta’ala dalam Surah al-Ahzaab, ayat 72 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.
No comments:
Post a Comment