Tuesday, April 12, 2011

"Berdosakah Daku kepada Suamiku?" (5)

(5)
Genap seminggu sesudah dia kuutusi lembaran, maka ayahanda mengunjukkan bungkusan kepadaku. “Budak itu hantar bungkusan,” tingkah ayah pendek.
Bungkusan surat-surat cinta kami selama enam tahun perkenalan, langsung merimbuni tasik kegembiraanku yang selama ini membeliti diri. Lantar kuserahkan kembali surat cinta yang sudah bertaip dan berfail cantik itu kepada ayahanda untuk dipanjangkan kepada pakcik Mahmud.
Majlis pertunangan berlangsung senyap-senyap di rumah kami, dengan tersarungnya sebentuk cincin belian di jari manisku. Cincin bernilai RM150 itu kupakai sepanjang masa biar ke mana sahaja terutama ketika mengajar. Baik guru sekolah rendah mahupun guru sekolah menengah, kedua-duanya sudah berkaca mata hitam.
Berdosakah aku kepada suamiku?
Si dia berasa bersalah mengambil kekasih orang, ketika pertemuan kami membeli cincin pertunangan di Ipoh, ketika aku sendiri ditemani abang ipar.
Dia berasa amat bertuah kerana cincin itu dibeli hasil hadiah saguhati bernilai yang sama, peraduan mengarang cereka rekaan sains anjuran DBP dengan tajuk “Mengejar Sebuah Ijazah”.
“Dinda mana tahu, mereka mencintai dinda,” tegasku untuk meredakan kegusaran sanubarinya.
“Mereka mencintaimu secara diam-diam, senyap-senyap, berat nak nyatakan hasrat yang terpendam dan terbuku di hati”.
Aku tidak mahu menegakkan benang basah dalam konteks ini sedangkan pertunangan belum berlangsung.
Sebentuk cincin belian sudah berbeli untuk disarung ke jari manisku pada majlis pertunangan nanti.
Memang majlisnya sederhana sahaja, pada hari Sabtu. Petanda awal itu menunjukkan rezeki kami murah. Kesemuanya 31 bekasan pihak kami dihantar kepada rombongan peminangan. Ikut ceritanya, si dia terbahak-bahak menegur air sirap merah, manis katanya kepada sanak saudara dan keluarga yang melingkarinya.
Persandingan bakal berlangsung setahun atas alasan keluarga bahawa si dia baru sahaja berkerja untuk menyiapkan hantaran seribu ringgit dan emas kahwin RM103. Aduh, hebatnya, agaknya diriku ini puteri turun dari kayangan.
Esoknya tersiar berita pertunangan kami dalam Utusan Malaysia. Minggu depannya, hari Ahad, termuat pula sajak khas ciptaan bakal suamiku untuk pertunangan kami juga dalam Utusan Zaman. Hebat. Topik itu menjadi perbualan hebat minggu itu dalam bilik guru.
Si dia mahu kami diijabkabul dulu sebelum persandingan. Ayahanda keberatan hendak menerimanya. Lantaran begitu, tercetuslah pergaduhan dikemuncaki dengan utusan bertaip dakwat merah kepada ayahanda hendak diputuskan tunang.
Coretnya kemudian bahawa bakal ayah mentuaku datang sendirian ke rumah sewanya di Kampung Baru Kuala Lumpur, memujuknya. Bonda pula beria-ria benar memohon supaya perkahwinan diteruskan kerana belum pernah terjadi dalam keluarga kami, peristiwa hitam seperti itu.
Rumah sewa itulah juga yang kami sekeluarga jengahi sesudah bertunang dan bernikah gantung.
Majlis persandingan berlangsung akhir tahun 1968 di rumah kami yang sederhana. Sahabat handai, saudara mara, dan rakan taulan, jauh dan dekat semua hadir memeriahkan majlis persandingan kami.
“Cerah masa depan budak-budak ini,” tingkah Pak Lang dari Alor Setar, Kedah kepada ayahanda. Pak Lang sudahpun arwah, tetapi jika ke Alor Setar, tidak jadi tidak kami singgah di rumahnya.
Guru sekolah menengah itu ada datang dengan rakan sekerjanya, mengejek-ngejek kami ketika bersanding di atas pelamin. Sinap dan kelibat yang seorang lagi tidak terusik oleh pandangan. Jauh-jauh di hati kami mendoakan mereka cepat bertemu jodoh yang sesuai dan sepadan. Amin!

No comments: