Monday, April 11, 2011

"Berdosakah Daku kepada Suamiku?" (3)

(3)
Sepasang mata seorang guru muda menitip senyap-senyap dari kejauhan. Mata bundarnya melirik mengekori ayunan pinggulku ketika berpayung melintasi padang sekolah ke perhentian bas untuk pulang ke rumah.
Aku sendiri tidak perasaan diperhatikan sebegitu rupa. Di luar kudratku hendak ambil tahu hal titik bengik seperti itu. Kami tidak pernah bersapa, sekadar kupernah sekali diteguri: “Dah nak pulang cikgu?”. Tidak kuendahkan.
Begitulah rutinnya. Aku lewat ketika si dia memanaskan enjin kereta. Sedar akan diri sebagai guru sementara, aku tidak toleh kiri kanan.
Perhubunganku dengan si dia di Kuala Lumpur tetap berarusan seperti biasa, malah lebih intim, persis dua sejoli yang sedang mengadun kasih, menganyam kemesraan dan menghitung hari depan serba mungkin dan penuh kebarangkalian.
Bukan macam teruna-dara era teknologi maklumat dan komunikasi sekarang, mereka boleh berutus-utus sms, melayari internet, dan facebook. Kami sekadar berutus-utus lembaran sahaja, akhir enam puluhan.
Warkah terbarunya memaklumiku bahawa dia sudah bekerja di Utusan Melayu, sebagai pemberita kadet, jaga meja luar negara untuk Utusan Malaysia, yang baru sebulan menemui khalayak. Pilih berita penting dan relevan dan kemudian terjemahkan kepada Bahasa Melayu.
Dapat gaji RM200 sebulan, berkat usaha gigih abang A Samad Said, kemudiannya Sasterawan Negara bergelar Datuk, mencarikannya kerja. Dapat lagi kira-kira RM200 melalui tulisan dan rencana untuk mengisi dada Utusan Malaysia, baru terbit pada 31 Ogos 1967.
Editor rencana Utusan Malaysia, Nora memintanya menulis esei luar negara boleh dikatakan selang sehari.
Ustaz Subky Latiff selaku editor Utusan Zaman, memintanya menulis esei tiap-tiap minggu dalam mingguan bertulisan jawi itu.
A.R. Kamaluddin pula menjemputnya sebagai penulis tamu majalah Mastika, selang sebulan.
Namanya kian mercup sebagai penulis, yang asal-usulnya sudah pun berkarya khusus puisi sejak Tingkatan Dua lagi.
Dalam keulitan menatapi sajak-sajaknya dalam Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, tiba-tiba aku tersintak, terharu, hiba, dan serba tak kena seperti lirik lagu popular Tan Sri SM Salim berjudul ‘Apa Nak Jadi?’
Ketika di rumah kakak angkat di Parit Buntar, kuutusi dia sepucuk telegram begini: ‘Kanda, ada rombongan masuk meminang’.
Dua teruna datang serentak. Yang mula-mula mengadu nasib guru sekolah menengah, tempat aku mengajar sementara. Yang kedua guru sekolah rendah, tempat pernah aku mengajar awal mencari pengalaman berhadapan anak murid.
Ayahanda mahu yang kedua, lantaran malu berdepanan dengannya tiap-tiap hari di sekolah. Lagipun, ayahanda pernah sama-sama belajar dengan ayahandanya di Maktab Perguruan Sultan Idris SITC, Tanjung Malim.
Kekalutan ayahanda dan bonda membuat keputusan, mereka mewakilkan waris terdekat, Pakcik Mahmud, yang disegani dan dihormati di Kuala Dipang, merisik berita daripadaku.
“Yang mana satu ni Zakiah?” suara Pakcik Mahmud terngiang-ngiang masih di cuping telingaku.
“Yang kemudian datang meminang,” tingkahku tegas persis gadis pingitan yang sudah keluar dari kepompongnya.
“Sebabnya?”
“Kami sudah hampir enam tahun berkenalan. Dia pernah datang jumpa nenek, emak dan ayah di Malim Nawar dulu,” sekali lagi tingkahanku berumbai ketegasan daripada satu perhitungan sudah lama dibuat.
“Mana buktinya kau orang berdua dah lama berkawan?”
Pertanyaan yang terakhir daripada bibir tebal Pakcik Mahmud ini tidak dapat kujawab.
Aku seperti biasa mengajar di sekolah menengah di pekan, tempat si peminang pertama juga mengajar.
Aduh, kalut dan kacaunya fikiranku apabila si dia di Kuala Lumpur sepi tanpa berita. Agaknya fikirannya juga kusut hendak mencari bukti perkenalan intim kami selama ini.

No comments: