(8)
Rezeki kami bertambah murah di rumah sewa baru. Suami ligat bekerja mengumpul wang untuk membeli rumah. Dia dapat tawaran menulis skrip drama radio dan ulasan buku di radio selain sudah dinaikkan kepada penyunting berita di bilik berita radio, syif malam tadi. Satu syif dapat RM35.
Gaji di Bernama juga sudah berada pada tahap melebihi RM700 sebulan dalam masa tiga tahun perkhidmatannya. Peningkatan gaji agak mendadak daripada RM450 (mula-mula bekerja) kepada RM550, kepada RM580 dan kepada RM770. Aku memanjat syukur ke hadrat Ilahi atas kemurahan rezeki itu.
Pada suatu malam, jiran sebelah mengajak kami bertandang ke rumahnya. “Bawa sama anak yang kuat menangis tu,” pintanya.
Entah mengapa, anak kedua kami kuat menangis malam. Begitu juga dengan anak ketiga yang lahir lapan tahun kemudian, juga kuat teriak malam.
“Budak ini sewa sawan tangis,” kata tamu yang hadir di rumah jiran sebelah.
Sejak itu, anak kedua kami itu sudah tidak menangis malam lagi. Kami memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi. Amin! Allah ta’alalah yang mengizinkan dia jadi begitu. Kelenaan tidurku tidaklah terganggu seperti selalu sesudah dia juga lena tidur dalam dakapan malam.
Si tamu langsung merungkai mistri di sebalik kepucatan dan kelesuan wajahku. “Adik ni, macam terkena buatan orang. Dendam tak sudah,” tidak segan silu dia bersuara spontan.
Beberapa jurus kemudian dia bertanya kepadaku: “Barang ni nak hantar balik kepada tuannya, ataupun buang begitu sahaja?”
Spontan itu pula, aku menjawab: “Buangkan sahaja”.
Ketika itu kami sudah membeli rumah baru teres dua tingkat di Desa Minang, Jalan Batu Caves melalui simpanan kami sekitar RM10,000. Rumah bernilai RM47,500 itu kami duduki tahun 1976, melalui pinjaman perumahan sekitar RM30,000, huluran agensi berita Bernama, tempat suamiku berkhidmat.
Lima belas tahun berlalu dan rezeki kami bertambah lagi. Kami membeli sebidang tanah sekitar RM40,000 dekat rumah sewa lama di Taman Perwira, kononnya hendak membina bonglow. Cerita konon-kononnya sahaja pada waktu itu.
Jawatan terakhirnya di Bernama ialah Ketua Penyunting bertaraf superskil G sesudah lulus kepujian kelas pertama Program Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Jabatan Pengajian Melayu. Suami hanya diberi cuti tanpa gaji selama tiga tahun oleh Bernama.
Si suami selalu bersungut tentang perkara ini kerana sudah ada teladan staf diberi ganjaran gaji penuh semasa belajar untuk ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia USM di Pulau Pinang. Katanya, mengapakah mesti ada pilih kasih dan ‘double standard’ dalam soal ini?
Dia nampaknya berkecil hati lalu nekad memindahkan khidmatnya ke organisasi lain. Biarpun dengan perasaan berat dan sedih, akhirnya, dia terpaksa juga meninggalkan khidmatnya selama 16 tahun di Bernama pada awal 1987.
Justru warga fakulti seharusnya tidak berasa cemburu dan irihati dengan kedudukannya sebagai pensyarah kanan, sambungan daripada jawatan kanannya di Bernama.
Suami sedang menyiapkan tesis Sarjana Sastera (MA) secara sambilan dengan Universiti Malaya, sebelum mohon dipindahkan ke Institut Teknologi Mara kampus Melaka (Kini Universiti Teknologi Mara UiTM) pada 1990.
Begitu banyak fitnah dan tohmahan dilemparkan terhadap dirinya selaku Dekan Fakulti Sebaran Am. Desas-desus yang kedengaran ke cuping telinganya termasuklah “MA pun tak ada, nak jadi dekan”.
Begitulah dunia Melayu, tak kira insan biasa, berpendidikan separuh tiang, dan berpendidikan tinggi, sama sahaja PHD mereka tak lekang dek panas dan tak luput dek hujan.
Jika tidak sampai hajat di hati, ha, bukan dikatakan anggur itu masam, malah dibomohi seperti yang terjadi kepada diriku selama lima tahun.
“Biarkan mereka bertunang dulu, lepas itu tahulah kami apa yang patut dibuat,” suara sindiran ini terngiang-ngiang mengusik telingaku, suara yang disampaikan emak saudara kepada emak.
Emak saudara itu mendengarinya ketika dalam bas, terlontar oleh suara emak saudara pihak laki-laki yang gagal hendak memilikiku sebagai isteri.
Bonda pula menyerahkan segala-galanya kepada kudrat Ilahi.
Berdosakah daku kepada suami dengan suratan takdir hidupku begini?
No comments:
Post a Comment