Thursday, April 7, 2011

Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang (2)

(2)
Jentera kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas pimpinan Tuan Guru Hadi Awang ialah jentera ‘merakyatkan pentadbiran’ demi kepentingan masyarakat. Proses pengilmuan masyarakat dilakukan dengan pelbagai kaedah seperti penerusan kuliah di Masjid Rusila, masjid, penubuhan Unit Pembinaan Insan (UPI), Unit Mubaligh, Unit Mubalighat, kelas Tafaquh Fid Deen untuk imam dan bilal menguasai ilmu agama, kem kejurulatihan pembacaan khutbah, taklimat isu semasa, dan kem pemantapan bacaan al-Quran.
Maktabah al-Imamah wal Khitabah ditubuhkan di Kusza bagi melatih imam-imam sedia ada dan imam-imam muda agar mereka dapat menjadi daie demi penjagaan agama Allah swt.
Pentadbiran yang baik lagi telus melalui penyusunan semula anak-anak sementara Tuan Guru Hadi sendiri selaku ketua pentadbir negeri terus tinggal hidup sederhana di rumahnya di Rusila.
Rumah kediaman rasmi MB di Batu Buruk dijadikan tempat bermesyuarat dan kunjungan tamu dari luar.
Tuan Guru Haji Hadi bersama-sama dengan kepemimpinan yang lain dalam parti dapat merealisasikan pendaulatan undang-undang Islam di seluruh negeri melalui pelulusan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Pindaan 2003).
Pindaan enakmen ini memberi laluan kepada pendaulatan al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias sebagai hokum tertinggi bagi Negeri Terengganu, selaras dengan cita-cita perjuangan Pas sejak penubuhannya lagi. Sehubungan dengan ini, kerajaan negeri memperkasa pendidikan Islam khusus dalam kalangan generasi muda melalui penubuhan institusi seperti Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (KOSTAQ), dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB).
Tuan Guru Abdul Hadi sendiri mengasaskan pusat pendidikan Islam Maahad Darul Quran Rusila. Dewan Ulama Pas negeri pula diberi amanah mengendalikan sekolah rendah Islam di tiap-tiap kawasan seperti Darul Taqwa, Darul Bayan, Darul Ehsan, dan Darul Eslah.
Kesan pindaan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu ini bersama-sama dengan pemerkasaan tarbiah rakyat dapat diperhati daripada keprihatinan hidup beragama dalam kalangan masyarakat sekali gus pelakaran sejarah murid negeri Terengganu sebagai pelajar terbaik seluruh negara dalam peperiksaan awam seperti UPSR dan PMR tiap-tiap tahun.
Kelantan di bawah pemerintahan Pas juga menerima kesan seumpama ini malah pernah melahirkan calon terbaik SPM peringkat nasional. Kata peribahasa orang tua-tua, didik nelayan memancing ikan dan berikan mata pancing nescaya mereka dapat membaiki taraf hidup.
Begitulah, kerajaan Pas Terengganu telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan negeri biarpun memerintah negeri sepenggal sahaja. Pada akhir 2001, kadar kemiskinan negeri telah turun kepada 14%, berbanding 17.3% ketika mengambil alih teraju pemerintahan negeri.
Selaras dengan pentadbiran baik lagi telus, yang berpaksikan pemerkasaan tarbiah rakyat, maka kerajaan negeri di bawah pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi telah membuat pembaharuan yang melegakan hati rakyat seperti penyusunan semula jualan arak dan pengharaman perjudian, penghapusan cukai pintu bagi rumah kediaman serta tunggakannya, pelepasan cukai pintu sebagai bonus tahunan, penghapusan kutipan tol Jambatan Sultan Mahmud, pengenalan kerja lima hari dan cuti dua hari seminggu, penguatkuasaan cuti bersalin 90 hari dan cuti seminggu bagi suami, pembukaan Pusat Perubatan dan Rawatan Islam, penubuhan Pusat Pertumbuhan K-Komuniti (P2K2) di daerah-daerah seluruh sebagai pemanfaatan daripada kepesatan ICT, peningkatan elaun imam dan bilal, dan pengecualian cukai bakul dan lesen beca.

No comments: