Monday, April 25, 2011

Pemartabatan Tinggi Islam kepada Insan Berilmu

Pendidikan seimbang duniawi dengan ukhrawi ini memang tuntutan ajaran Islam, lebih-lebih lagi sesudah mencapai markah cemerlang pada Ujian Prestasi Sekolah Rendah (UPSR) untuk memberi keyakinan padu kepada mereka melangkah masuk ke sekolah menengah pada tahun 1915 jika tidak ada apa-apa halangan yang merintang.
Titipan pendidikan seimbang selalu dikaitkan dengan subjek agama bagi murid beragama Islam dan pendidikan moral bagi yang bukan Islam bakal menunas putik segar kelak meranum menjadi buah harapan di taman negara dengan semangat perpaduan dan kerjasama intim menjulang gagah dan gah nama dan imej negara-bangsa di persada antarabangsa.
Ketika itu nanti, pengajian agama Islam sudah melepasi Tingkatan Lima bagi Maktab Rendah Sains Mara MSRM kerana mulai tahun ini, subjek ini diperkenal di MSRM Besut dalam usaha melahirkan pelajar seimbang seperti disebutkan tadi.
Kebetulan itu, serentak itu, Kementerian Pelajaran bercadang hendak memperkasa sekali gus memartabatkan dan menaik taraf Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM sama seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM, dengan menjadikannya sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.
Cadangan drastik itu memang kena pada tempat dan bakal membuka peluang dan alternatif lebih luas kepada lulusan STAM melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Setakat ini, mereka melihat Universiti al-Azhar serta beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini sebagai alternatif hendak meraih pendidikan tahap ketiga sesudah menengah.
STAM diperkenalkan pada 1999 untuk menyeragamkan pelbagai sijil yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri sesudah mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu sekali gus dipersetujui Universiti al-Azhar, Mesir.
Dengan tindakan yang sudah bermula serta cadangan yang bakal terlaksana, ertinya pendidikan agama Islam dalam konteks negara ini sudah tidak terabai dan terpinggir lagi, suatu tindakan yang sepatutnya sudah berjalan sejak lama dulu.
Malah negara ini sendiri sudah dianggap sebagai hub kepada pendidikan tinggi melalui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM di Gombak, situasi amat kontras dari masa lampau apabila tumpuan pelajar kita terarah kepada Universiti al-Azhar.
Dengan asuhan dan didikan seimbang kepada lebih 500,000 murid tahun satu sekarang, yang dipermantap dengan pengajian Islam tahap sekolah menengah, pastinya pada tahun 2020 nanti, mereka menjadi asset penting lagi komprehensif dan holistik kepada pencapaian objektif negara maju nanti.
Mereka ini bakal memasuki gelanggang menerapkan gagasan besar jika diizinkan saya mengutip pandangan rencana pengarang Al-Imam tahun 1906 bermaksud:
“Hendak memperjuangkan kemajuan umat menerusi gerakan pemurnian, pemahaman dan penghayatan agama. Kejatuhan dan kemunduran umat Islam bukan kerana agama itu sendiri tetapi akibat kesilapan dan kecuaian dalam memahami dan menghayatinya.”
Nah, mereka diharapkan dapat membina kekuatan intelektual dan kekuatan dalaman mulai sekarang untuk kelak dapat pula membangun daya fikir umat menerusi unjuran berijtihad dan pembasmian amalan taqlid.
Sesungguhnya pendidikan menurut perspektif Islam sudah pun dibincangkan dalam berkala tertentu seperti Al-Imam dan Neracha sejak awal abad lampau lagi.
Neracha keluaran 22 Jan 1913 misalnya memberi ulasan tentang pentingnya pendidikan untuk kemajuan. Katanya: “Kelemahan bangsa Melayu disebabkan kurang atau tiada berpelajaran.”
Ulasan ini dilanjutkan dalam keluaran 16 April 1913, yang antara lain mengungkapkan “Pelajaran yang berguna itu adalah sebesar-besar modal pada kehidupan dunia ini. Tiada didapati bangkit dan maju sesuatu kaum itu melainkan pelajaran dan pengetahuan itu.
“Bangsa Eropah telah menjadi guru pada tamadun. Maka sekarang telah kita lihat jasa tamadun itu. Adakah patut kita mengambil teladan dan memilih untuk kaum kita mana-mana yang tiada faedah?”
Dalam hubungan ini, Neracha turut menyiarkan surat-surat pembaca khususnya daripada kalangan pelajar negara yang menuntut di Makkah dan Mesir yang mengupas isu-isu semasa ketika itu.
Misalnya pelajar Malaysia di Mesir mengajak anak-anak muda tanah air belajar bahasa Arab di sana kerana katanya “Tiada sempurna pengetahuan kita pada agama itu melainkan dengan pengetahuan bahasa Arab.” Cadangan ini tersiar dalam Neracha keluaran 6 Dis 1912.
Seorang pembaca dari Pahang, Haji Mohd Tahir menganjurkan pendidikan agama Islam diajarkan di sekolah-sekolah Melayu, dalam usaha hendak menggalakkan masyarakat menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu.
Antara lain, beliau berpendapat “Jika tiada diluluskan atau tiada dibenarkan pelajaran agama Islam diajar di dalam sekolah-sekolah Melayu yang ada ini, maka nyatalah pemerintah negeri kita ini hendak membuang agama Islam dengan jalan memaksa anak-anak Islam ini biar menjadi fazik jahil. Dan bebal dalam ikhtikad agama Islam”, lihat Neracha, 10 Julai 1912.
Keprihatinan mereka tertumpu pada kepentingan masyarakat Islam seluruhnya berilmu. Ke arah ini, kaum Muslim dianjurkan menuntut ilmu secara seimbang bukan semata-mata untuk kepentingan akhirat, tetapi kemajuan dunaiwi, dan menuntut ilmu hatta sampai ke negara Jepun.
Seawal zaman Neracha lagi, umat Islam tidak menolak ilmu-ilmu dari Barat tetapi “apa juga ilmu boleh terbit faedahnya dengan amal (membuat pekerjaan), maka dengan amal itu bertambah-tambah pengetahuan dan mendapat beberapa percubaan dan memberi faedah yang ramai.” Neracha, 22 Jan 1913.
Perbincangan ini dilanjutkan dalam keluaran 7 Mei 1913 tentang perlunya umat Islam menuntut ilmu biar ke mana saja, tanpa terbatas ke Mesir dan Eropah. Katanya “Jika orang-orang kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu kepandaian itu di Eropah atau di Jepun nescaya hendak menyamai atau melebihi orang Mesir pun boleh maka jika tuan berkehendakkan yang demikian itu hendaklah tuan serukan menuntut ilmu kepandaian itu di Eropah atau di Jepun dan tentang itu agama di Mesir atau di tempat-tempat lain.”
Sudah berabad lamanya cetusan pandangan dan cadangan ini berlalu tetapi masih tetap relevan sampai sekarang. Seluruh generasi muda umat patut mengambil ikhtibar daripada ide ini kerana pemartabatan tinggi Islam kepada umatnya yang berilmu pengetahuan dapat turut sama memartabatkan negara-bangsa pada pandangan komuniti global.

1 comment:

Anonymous said...

this is really a stupid post. open your eyes please, islam is the cause of terrorism in the world. Islam supports Jihad, islam is not a way of life.