Saturday, April 23, 2011

Faktor-faktor Kepupusan Spesies Flora dan Fauna

Hutan hujan tropika contohnya memang kaya dengan spesies flora dan fauna. Di Semenanjung, kira-kira 8,000 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga yang direkodkan sementara 2,500 daripadanya ialah spesies pokok. Dari segi faunanya pula, ada 200 spesies mamalia, 115 spesies ular, 80 spesies katak dan 80 spesies lagi cicak, yang telah disenaraikan.
Sehubung dengan itu, hutan bukan sahaja berfungsi sebagai habitat flora dan fauna, akan tetapi mempunyai fungsi lain seperti sumber ubat-ubatan serta kawasan tadahan air.
Justru itu, tidak hairanlah apabila kawasan hutan kian pupus akibat pelbagai faktor seperti pembalakan haram, pembakaran hutan, pembukaan tanah baru, pemburuan secara haram, dan peningkatan suhu dunia.
Sebagai misalan, dalam jangka masa lima tahun sehingga Jun 1990, keluasan hutan yang ditebang menjangkau angka 500,000 hektar, jauh melebihi had yang dibenarkan 320,000 hektar sahaja.
Pembalakan turut dijalankan di kawasan hutan simpan dan Taman Negara serta membabitkan spesies yang dilindungi seperti meranti dan cengal.
Pembakaran hutan secara terbuka serta pembukaan tanah baru turut memusnah tumbuh-tumbuhan yang sedia ada di hutan. Keadaan ini diperburukkan oleh tindakan pemburu tanpa lesen yang telah mengaut keuntungan besar. Permintaan yang tinggi melalui pasaran antara bangsa dan tempatan terhadap binatang tertentu menjadi punca utama berleluasanya pemburuan haram ini. Kalau begitu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terbabit dengan aktiviti ini.
Akhirnya peningkatan suhu dunia turut menjadi faktor kepupusan flora dan fauna. Sejarah membuktikan kepupusan ‘dinasour’ pun berpunca daripada perubahan cuaca dunia.
Fenomena Elnino yang meningkatkan suhu dunia secara mendadak telah mengancam sesetengah spesies haiwan dan tumbuhan yang tidak tahan dengan cuaca panas.
Sementara faktor tabii ini di luar kemampuan manusia hendak mengawalnya, akan tetapi faktor lain akibat kerakusan manusia perlu diberhentikan segera untuk mengelak kepupusan flora dan fauna yang penting kepada kehidupan manusia.
Tindakan memelihara spesies flora dan fauna ini membabitkan kesemua pihak termasuk Jabatan Perhutanan, Kerajaan Negeri, Jabatan Pengaliran dan Saliran, dan hatta individu yang terbabit.
Ada spesies tertentu yang perlu dikategorikan semula daripada ‘terancam’ kepada ‘hampir pupus’ seperti yang terjadi pada burung botak upeh.
Kawasan perlindungan spesies tertentu perlu diperluaskan sekaligus mengisytiharkannya sebagai kawasan santuari burung dan sebagainya.
Kajian terperinci perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan jumlah sebenar populasi flora dan fauna negara. Yang penting orang ramai perlu dididik dan ada rasa tanggungjawab terhadap spesies ini.
Kita masih ingat lagi akan peristiwa pahit yang patut dijadikan pengajaran akan kepupusan burung Merak Hijau dari bumi Malaysia pada tahun 1960-an dulu.

No comments: