Thursday, April 7, 2011

Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang - Presiden PAS (1)

Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang
Menteri Besar Terengganu (29 Nov. 1999 – 21 Mac 2004)
Dalam sistem demokratik, hak rakyat hendaklah dihormati. Mereka menggunakan hak ini dengan sebaik-baiknya melalui kertas undi. Pemimpin perlu menerima keputusan mereka.
Pilihan raya umum kesepuluh 29 November 1999, menyaksikan kejatuhan kerajaan BN di Terengganu. Presiden Pas Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar pada tarikh keramat, menggantikan Wan Mokhtar Ahmad daripada BN.
Penggantian ini memang pada tempat dan waktunya memandangkan BN di bawah terajui telah begitu lama memerintah negeri Terengganu. Malah dapat dikatakan bahawa rata-rata tokoh veteran dicalonkan semula untuk pilihan raya umum 1999 itu sebagai faktor terkuat di sebalik kekalahan teruk BN pada kali ini.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dikenali sebagai Syeikh Abdul Hadi di luar negara, telah dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, kampung nelayan terletak dekat dengan bandar Marang.
Sejak kecil, Abdul Hadi menerima asuhan dan didikan agama daripada ayahanda sendiri, ulama dan aktivitis politik terkenal di Terengganu. Pendidikan rendahnya bermula tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila sebelum melanjutkan pendidikan menengahnya di Sekolah Agama Marang dan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (Smuza).
Beliau melanjut pelajaran di Universiti Islam Madinah untuk ijazah Sarjana Muda dengan biasiswa kerajaan Arab Saudi dan kemudian ijazah Sarjana Sastera (1976) dalam bidang Siasah Syariah di Universiti al-Azhar.
Semasa di Al-Azhar inilah, beliau terpengaruh dengan pemikiran pertubuhan Ikhwanul Muslimin melalui Profesor Dr. Muhammad al-Wakeel dan Syeikh Said Hawa berasal dari Syria selaku mentor politik dan pemikiran Islamnya. Sekembalinya ke tanah air, beliau terus diangkat kepada jawatan Ketua Pemuda Pas negeri Terengganu sekali gus pada waktu yang sama, beliau diminta oleh Anwar Ibrahim menjadi ketua Abim negeri memandangkan ketokohan dan pengaruh kuat beliau dalam kalangan generasi muda.
Namun begitu, penonjolan beliau dalam Pemuda Pas lebih ketara sehingga menenggelamkan peranannya sebagai ketua Abim negeri. Sebab itulah dalam tempoh setahun saja, Abdul Hadi diangkat duduk dalam jawatankuasa Pas Pusat.
Malah pada tahun 1978 inilah, beliau mencuba nasib bertanding merebut kerusi DUN Marang biarpun tewas kepada calon BN, Tengku Zaid Musa dengan majoriti 64 undi sahaja. Justru tidak hairanlah pada pilihan raya empat tahun kemudian (1982), beliau dapat menebus kekalahan di tangan tokoh yang sama dengan majoriti 320 indi.
Pada tahun 1983, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Pas selaras dengan peralihan kepemimpinan ulama dalam parti. Malaha dikatakan bahawa “Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tokoh ulama muda paling popular dalam era kepemimpinan golongan ulama” (Riduan Mohamad Nor).
Kemasyhuran nama beliau sebagai tokoh pemidato yang petah, pintar mengupas isu-isu semasa serta fasih menyebut ayat-ayat al-Quran kian terserlah tahun-tahun berikut sehingga pada 1986, tertubuhnya Maahad Darul Quran di kampung kelahirannya, Rhusila.
Lantas begitu, kemenangan besar beliau pada pilihan raya umum tahun-tahun 1986, 1990, 1995, dan 1999 bagi merebut kerusi DUN Rhu Rendang memang sudah diramalkan awal-awal lagi.
Tuan Guru Hadi Awang juga memenangi kerusi parlimen Marang (1995) dan (1999). Pemerintahan Pas di Terengganu adalah kali kedua dalam sejarah sesudah berjaya buat kali yang pertama tahun 1959 yang hanya mampu bertahan sehingga 1961 akibat pengkhianatan.
Semasa tempoh jawatan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang diberitakan amat popular dengan ‘pemerkasaan tarbiah rakyat dan jentera pentadbiran negeri’ yang ‘baik lagi telus’ melalui ‘pengembalian Terengganu kepada Undang-undang al-Quran dan As-Sunnah’ dan ‘pemerkasaan pendidikan Islam’.
‘Tarbiah’ yang bermaksud ‘pendidikan’ dan ‘pengasuhan’ semestinya syumul seperti jua syumulnya Islam. Kepada Tuan Guru Abdul Hadi, “tarbiah mestilah meliputi tarbiah rohaniah, tarbiah ijtima’iyah, tarbiah jihadiah, dan sebagainya berdasarkan kesyumulan Islam dalam aspek aqidah dan kaedah, syariat dan nizam. … Tarbiah menjadi agenda terpenting dalam Pas kerana parti ini berlandaskan aqidah Islamiah, perjuangannya pula berasaskan Islam yang syumul.
Demi keanggotaan parti kian meningkat dengan kepelbagaian latar belakang pendidikan dan fikrah, maka agenda dan manhaj terbiah hendaklah diulang kaji, berteraskan istiqamah kepada aqidah perjuangan, serta mampu meneruskan perjuangan dalam semua keadaan dan bersedia untuk memerintah dengan memenuhi ciri-ciri parti Allah”.

No comments: