Friday, April 22, 2011

Contohi Kegigihan dan Kekuatan Semangat Federer

Apabila Roger Federer tewas mengejut kepada pemain Austria, pilihan ketujuh, Juergen Melzer 4-6,4-6, peringkat suku akhir Monte Carlo Masters di Monaca, Ahad lepas, maka pemain Grand Slam 16 kali itu tergelincir kepada kedudukan ketiga menurut ranking dunia.
Ranking Rafa Nadal sebagai pemain nombor satu dunia kian melebar berbanding Djokovic, yang mengambil alih ranking kedua dan apatah lagi Federer, yang setakat ini baru mengungguli kejuaraan Doha awal Januari sahaja.
Tetapi kita masih ingat akan peristiwa berjuta-juta peminat di seluruh dunia menyaksikan lelehan air mata membasahi pipi licin-gedu Federer dalam dua suasana Grand Slam tenis yang berbeza selang empat bulan awal tahun 2009 dulu.
Pada awal tahun 2009 itu, pemain nombor dua dunia berasal dari Switzerland itu tidak dapat menahan kesedihan teramat sangat lantaran kecundang kepada muruh tradisinya, Nadal pada pertandingan akhir Terbuka Australia di Melbourne.
Lima bulan kemudian, beliau sekali lagi tidak dapat menahan sebak kegenangan air mata membasahi pipinya tapi kali ini dalam suasana gembira teramat ceria ketika menjuarai kejohanan Terbuka Peranchis, gelaran pertama seumpamanya untuk menyamai rekod 14 juara utama yang dipegangi Pete Sampras, sekali gus pemain keenam dapat melengkapi karier Grand Slamnya.
Federer dengan gaya permainan yang amat mantap, penuh taktikal dari segi atur gerak-langkah dan pukulan bola di segenap gelanggang dapat menewaskan Robin Soderling, ketika itu selaku pemain pilihan ke-23 dari Sweden, 6-1, 7-6 (1), 6-4 pada pertandingan akhir di Roland Garros
Dalam tiga pertandingan akhir Terbuka Peranchis sebelum ini, Federer kalah kepada Nadal, tetapi juara bertahan empat tahun berturut-turut dari Sepanyol itu dikecewakan Soderling dalam pusingan keempat tahun 2009.
Federer telah memenangi lima tahun berturut-turut kejohanan Wimbledon kecuali tahun lepas dan Terbuka AS serta tiga Terbuka Australia. Sampras memenangi ketiga-tiga Grand Slam itu tetapi tidak termasuk Terbuka Peranchis.
Justru Sampras yang turut menonton perlawanan akhir itu secara langsung di rumahnya di Los Angeles menyifatkan Federer pemain teragung dalam sejarah tenis selepas dapat menyamai rekod Grand Slamnya selama ini.
Federer memasuki gelanggang penuh keyakinan dengan langkah seorang juara. Ramalan memang berpihak kepadanya sesudah tumbangnya Nadal, Muray, dan Jokovic. Masa rehat sehari sesudah menewaskan Del Petro lima set peringkat separuh akhir memberi kesempatan kepadanya mengkaji kelemahan lawan.
Kelebihan Federer terletak pada aces 16-2 berbanding Soderling. Kekuatan inilah juga yang memihakinya kepada 13 gelaran Grand Slam selamanya.
Bintang Switzerland dan Sweden masing-masing terkenal dengan pukulan kencang, demi sedar akan hakikat, Federer sekali sekala mengubah taktik permainan membolehkannya banyak memperoleh mata di jaring.
Set kedua menyaksikan Federer unggul melalui tiebreaker dianggapnya terbaik sepanjang kerjaya tenisnya. Soderling mengakui kehebatan permainan lawannya pada pertandingan akhir itu sehingga diakuinya “Dia mengajari saya bagaimana hendak bermain tenis”.
Yang ini pertandingan akhir Gland Slam ke-19 buat Federer, menyamai rekod Ivan Lendl, sementara yang pertama buat Soderling. Soderling bukan sahaja mengejutkan Nadal, tetapi juga pemain No. 10 ketika itu Nikolay Davydenko, No. 12 Fernando Gonzalez dan No. 14 David Ferrer.
Ketabahan menghadapi gemuruh penonton memberi sokongan padu kepada pemain tuan rumah seperti Gael Monfils, gangguan penonton yang memasuki gelanggang seperti pertandingan akhir, dan kesungguhan menebus kekalahan dua set pertama seperti penentangan Federer terhadap Tommy Haas dari Jerman, berakhir dengan kemenangan 6-7 (4/7), 5-7, 6-4, 6-0, 6-2, adalah pengajaran berguna kepada pemain bukan sahaja bertanding dalam kejohanan Grand Slam seperti Terbuka Peranchis tetapi kejohanan lain yang tidak kurang unggulnya.
Djokovic dan Federer tidak bermain pada kejohanan terbuka Bacelona sekarang, pastinya memberi kesempatan kepada Nadal untuk melebarkan jarak perbezaan mata daripada mereka. Soderling, finalis 2010, tewas mengejut 2-6, 4-6, kepada pemain Croasa Ivan Dodig, sesudah terpaksa berehat dua minggu kerana kecederaan lutut.
Pemain Sweden itu akan mencuba nasibnya pada kejohanan Estoril, Portugal, minggu depan.

No comments: