Sunday, April 10, 2011

"Berdosakah Daku kepada Suamiku?" (1)

Kekecohan majlis pertunanganku dengan si dia pada tahun 1967 masih tergambar jelas dalam lipatan nostalgiaku.
Kami sudah menganyam perkenalan sejak awal tahun 1964, ketika aku berada dalam Tingkatan Tiga sementara si dia dalam Tingkatan Empat.
Agak melucukan bagaimanakah kami boleh berkenalan. Minat mendalam dan ghairah menunjang dalam diri memberanikan daku mengutus lembaran kepada si dia yang kebetulan menjadi Monitor kelasnya di Sekolah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak.
Lembaran ringkas itu kualamatkan kepada monitor kerana aku sendiri tidak tahu namanya sedangkan diriku sendiri menggunakan nama samaran Mass Kiah.
Rakan karibku bernama Da (bukan nama sebenar) mengajariku menggunakan nama itu, menyamar sebagai teruna dengan kegemaran suka bermain bola sepak dan takraw.
Nawaitu yang tersemat dalam sanubari semata-mata hendak tahu tentang perkembangan pelajaran aliran Melayu yang waktu itu baru setahun bermula.
Menurut rentetan ceritanya sesudah kami sah sebagai suami isteri, dia begitu gementar menerima lembaran berkenaan yang diunjukkan Guru Tingkatan, Cikgu Ghazali.
Nama Monitor itu disebuti guru dengan suara lantang dan katanya, dia lantas ke muka kelas mengambilnya. Dia tidaklah begitu ghairah hendak membacanya ketika itu.
Dia sendiri tidak pernah menerima surat seperti itu. Biarpun begitu, dia ada mengutus surat kepada dua gadis, pertama puteri sekelas, bernama Fauziah, cantik orangnya dan putih warna kulit, dan seorang lagi Norkiah, kelas sebelah, manis orang dan berekor kuda, terbuai-buai ketika berbasikal berulang-alik ke sekolah.
Apa boleh buat, katanya, kudrat Ilahi menentukan lembaran-lembarannya tidak berbalas.
Yang sedihnya, lembaran-lembaranku dipulangkan. Jauh-jauh di sudut hati, dia berazam menjadi budak cerdik, pintar, dan cemerlang!
Sebaliknya kami berutus-utus surat sehingga rahsia diri sebagai teruna terlerai, dan si dia pun sudah melanjutkan pelajaran Tingkatan Lima di Sekolah Alam Shah, sekolah berasrama penuh, di Cheras, Kuala Lumpur, pada tahun 1963.
Perkenalan bertunas dan langsung berputik menjadi cinta ketika si dia belajar dalam Pra-Tingkatan Enam Rendah, Enam Rendah dan Enam Atas di sekolah yang sama.
Yang anehnya, aku mulai menatapi wajahnya melalui kakinya kerana badannya terlindung oleh pemidai buluh menghambati sinar suria memanasi ruang kedai.
Datanglah si dia menemui nenek, ayah, dan ibu di rumah, atas dalihanku, dia guruku.
Sepulangnya, aku sendiri dimarahi ayah semahu-mahunya. Sindiran ini masih terngiang-ngiang di cuping telinga kembangku: Jika ayah tahu tak mahu belajar, dari dulu lagi ayah terima pinangan anak polis itu.
Aku sendiri tidak tahu menahu lamaran itu. Maklumlah gadis sunti yang terpingit di rumah, berulang-alik ke sekolah sahaja, pun ditemani si ayah.
Dengan kudrat Ilahi juga, kami bertunang tetapi aku sendiri semacam berasa bersalah atas kekecohan yang berlaku sehingga hampir putus tunang. Berdosakah aku kepada si dia yang kemudiannya berjodoh juga kami pada akhir 1968?

No comments: