Saturday, April 2, 2011

Proses Pengantarabangsaan Filem Melayu

(2)
Antara ciri yang wajar dihalusi oleh penulis ataupun panel penulis ialah rentetan plot yang menuju puncak sehingga berakhir dengan peleraian penuh dramatik, sesuatu yang tidak didugai khalayak. Pastinya skrip seperti ini bernilai puluhan ribu dan malahan ratusan ribu ringgit, bukannya sepuluh ataupun lima belas ribu ringgit seperti yang ditawarkan oleh badan tertentu melalui peraduan menulis skrip filem.
Sehingga ini nampaknya tiada lonjak kemarahan karyawan seni filem tempatan terhadap keputusan juri mengangkat Gubra arahan Yasmin Ahmad sebagai filem terbaik pada Festival ke-19 Filem Malaysia, suatu kontradiksi daripada keributan penuh gelora akan keputusan juri tahun 2005. Gubra sesungguhnya filem terbaik memenuhi ciri-ciri kreativiti filem gemilang biarpun tidak tersohor.
Penerbit dan pengamal filem bergantung harapan dan sokongan kewangan daripada Finas yang diberitakan mendapat peruntukan RM50 juta. Peruntunan besar ini dikatakan dapat menghasilkan 20 hingga 25 buah filem berdasarkan kos penghasilan sesuatu filem sekitar satu juta hingga satu setengah juta ringgit, jumlah amat kecil berbanding dengan kos pembikinan filem barat.
Maka berbicara lagi bos KRU, Norman Abdul Halim, “Kami juga kemudian dapat tahu ada inisiatif daripada Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) yang dinamai geran e-content. Kami kemukakan cadangan kerana daripada segi budjetnya memang agak besar RM8 juta dan kami tidak mampu.
“Kami juga terpaksa mencari penaja seperti Celcom dan Malaysian Philharmonic Ochestra dan modal dalaman sendiri.”
Namun begitu yang penting ialah pengagihan yang saksama dan seadil mungkin agar semua pihak terbabit dan yang berminat dapat sama-sama mengecapi kemewahan dunia perfileman sekarang. Karyawan filem patutnya dapat mengangkat pengalaman baik daripada Suhaimi Baba yang diangkat Pengarah Terbaik melalui Pontianak Harum Sundal Malam 2 jika mahu menjadikan perfileman profesion yang menjanjikan pada masa depan.
Ketua Pengarah Finas dilantik daripada kalangan calon yang ada pengalaman dalam dunia perfileman. Dulu-dulu Ketua Pengarah ini diangkat daripada kalangan kaki tangan awam, yang dalam beberapa hal tidak ada latar belakang perfileman. Hal begini diperlukan kerana Finas harus ditadbir urus sebagai organisasi pengeluaran filem, bukan sebagai jabatan kerajaan.
Ada cadangan memperkemas Akademi Filem Malaysia (AFM) bagi memasti institusi ini mampu menjadi pusat latihan pengeluaran filem berkesan. Tindakan begini wajar dilakukan demi kelahiran modal insan minda kelas pertama dalam bidang perfileman. Rata-rata pelakon filem barat terlatih secara akademik sebelum mereka diketengahkan membintangi filem. Hakikatnya di sini lain kerana keberhasilan pelakon menjiwai watak tertentu nampaknya lebih didasari oleh bakat yang terasuh secara inisiatif sendiri.
Sesungguhnya filem menuntut gabung-jalin pelbagai elemen teknologi terserap ke dalam karya dengan adunan yang cukup intim dan ampuh. Sambutan khalayak menuntut komited cukup tinggi lagi berdisiplin pengarah, penulis skrip, penerbit, pengadun suara, penata muzik, dan penggubah lagu dalam pembikinan filem penuh keabadian persis filem Seniman Agung allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Teladani usaha gigih yang dilakukan oleh KRU pimpinan Norman dalam usaha hendak memecahkan tembok filem Melayu pada tahap antarabangsa. Mereka telah mulakan usaha mengantarabangsakan filem Melayu sejak 2006 apabila mereka pergi ke Hong Kong, Bangkok, dan American Filem Market. Usaha awal pemupukan kenalan ini bertujuan hendak mendapatkan pasaran antarabangsa.
Begitulah akhirnya mereka berjaya. Filem Hikayat Merong Mahawangsa sudah terjual, biarpun belum siap sepenuhnya. Kata Norman, “Dari situ, kami juga dapat modal untuk menampungi kos selebihnya”.
Ringkasnya, pembikinan filem perlu disertai usaha pemasaran melalui konteks peringkat awal penjualan skrip kepada ajen pemasaran filem antarabangsa.

No comments: