Sunday, April 17, 2011

Model Karangan: "Hemat berbelanja, hikmatnya tidak terhingga"

‘Hari tidak berbelanja’ pernah dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Kepada saya, langkah berkenaan dapat dianggap bijaksana dalam usaha mendidik pengguna lebih berhemat dan pintar berbelanja dalam situasi kenaikan amat tinggi harga barang keperluan. Penganjuran program berkenaan sebenarnya langkah permulaan bagi masyarakat melatih diri jimat berbelanja sepanjang masa.
Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, tuan Pengarah Pelajaran Daerah, Tuan Pengetua, wakil FOMCA, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian. Ceramah saya pada pagi mulia ini berbunyi : ‘Hemat berbelanja, hikmatnya tidak terhingga’.
Sebelum saya meneruskan bicara, ada baiknya terlebih dahulu saya takrifkan dua kata kunci ceramah ini iaitu ‘hemat’ dan ‘hikmat’ untuk merungkai kekeliruan yang mungkin bertakhta dalam fakulti fikiran khalayak sekalian. Kedua-dua diksi ini saling berangkai kerana tanpa hemat berbelanja, tidak akan ada hikmat yang diharap-harapkan.
‘Hemat’ bermaksud ‘berhati-hati, cermat, dengan teliti, jimat, dan tidak boros ataupun membazir daripada segi penggunaan wang atau menggunakan sesuatu’. ‘Hikmat’ pula bererti ‘kepandaian, bijaksana, erti dan tujuan sebenar daripada sesuatu tingkah laku dan perbuatan’. Dengan itu dapat saya simpulkan bahawa ‘kecermatan, kepandaian, dan kebijaksaan berbelanja (amalan) bakal mendatangkan hikmat dan berkat’.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Pemulauan sampai ‘tidak berbelanja’ dapat memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab seperti penyorok barang keperluan khususnya beras dan gula pasir serta pemanipulasian harga kepada tahap melampau. Tindakan begini nampaknya begitu berkesan apabila harga ayam basah telah turun kepada paras biasa kerana penawaran melebihi permintaan. Keberhasilan ini tentunya berpunca daripada pemantauan pihak berkuasa terutama di pasar-pasar besar di bandar. Begitulah hikmatnya daripada bijak berbelanja secara cermat lagi berhemat.
Mengapakah kita perlu berhemat berbelanja melalui penyediaan bajet rapi sebelum membeli-belah di pasar-pasar raya dan sebagainya? Ya, pengaturan bajet awal-awal lagi pasti akan mengekang pengguna bertindak boros, melebihi perancangan awal. Wang lebihan dapat ditabung demi kepentingan dan kegunaan masa depan terutama ketika berlaku kecemasan dan kesusahan membeliti diri dan kehidupan keluarga. Lebihan wang dapat dimanfaatkan membeli buku kerja dan bacaan tambahan demi kepentingan pelajaran anak-anak. Kata orang tua-tua ‘sediakan payung sebelum hujan’ hendaklah dimanfaatkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Penghematan pada segi berbelanja dapat mengelakkan keborosan dan pembaziran sebab kedua-duanya menjadi teman syaitan. Kesederhanaan itu sebaik-baik tindakan yang perlu diambil dalam apa juga aktiviti dan ragam kehidupan. Makan secara sihat dan berimbang dapat menjaga kesihatan dan menjamin hidup sihat. Contohnya, gejala kegemukan badan terutama dalam kalangan kanak-kanak dapat dielakkan. Amalan hidup sihat berpunca daripada ambilan makanan seimbang.
Ya, masyarakat kita selalu terpesona dengan tawaran jualan murah atau harga runtuh. Tawaran melampau ini biasanya dibuat peniaga pada musim-musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina. Signifikan sambutan Aidilfitri misalnya lebih kepada kejayaan umat menunai amalan berpuasa dan ibadat lain yang dituntut sepanjang Ramadan, tidak diukur pada hiasan rumah yang melampau dan juadah hari raya yang keterlaluan sampai tahap pembaziran. Akibat berbelanja di luar tahap kemampuan ini ialah bebanan hutang yang banyak sesudah itu.
Ingatlah akan baris-baris puisi Imam al-Ghazali ini:
“Aku ialah sebutir mutiara yang keluar dari sarungnya, sarung merupai penjara dalam keadaan memenjara hidupku dalam duka nestapa. Aku seekor burung dan jasad ini sangkarku …. Hari ini aku berpesta dengan para auliya’ di tempat yang tinggi”.
Begitulah ceramah saya yang tidak sepertinya pada pagi ini. Saya berharap isi-isi ceramah ringkas ini dapat dimanfaatkan supaya sikap berbelanja secara berhemat akan akhirnya membawa berkat dan hikmat tidak terhingga. Saya akhiri ceramah ini dengan serangkap pantun: ‘Jika ada jarum yang patah, jangan disimpan dalam peti; jika ada silap sepatah, jangan disimpan dalam hati’.
(568 perkataan)

No comments: